Kenapa AUKU dibantah?

11 01 2012

Insiden Adam Adli menurunkan bendera wajah Dato’ Sri Najib Razak di bangunan PWTC serta insiden mahasiswa berdemonstrasi di UPSI awal tahun baru yang lalu sedikit sebanyak membuka mata masyarakat umum tentang isu-isu mahasiswa di Malaysia. Walaubagaimanapun, kedua-dua insiden tersebut hanyalah sekadar ‘tip of the iceberg’.

Saya meneliti komen-komen rakyat Malaysia yang berbilang kaum, fahaman politik dan peringkat umur di laman-laman maya. Sebahagiannya kurang memahami secara mendalam isu sebenar yang diperjuangkan oleh mahasiswa. Komen-komen tanpa maklumat yang mencukupi sebegitu akhirnya membuahkan polemik yang memualkan.

Secara umumnya, perjuangan mahasiswa di Malaysia adalah mengenai beberapa tuntutan. Antaranya adalah tuntutan agar kebebasan mahasiswa berpolitik dijamin melalui pemansuhan atau pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), tuntutan agar autonomi pentadbiran universiti dan kolej universiti dikembalikan,  serta tuntutan kebebasan akademik samada dalam kalangan mahasiswa mahupun ahli akademik.

Tulisan ini akan menumpukan perkara yang pertama iaitu soal kebebasan mahasiswa melalui pemansuhan atau pindaan AUKU.

Read the rest of this entry »





Anwar Ibrahim dibebaskan

9 01 2012

Sah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Komen Saiful Bukhari Azlan melalui twitternya  ”Tidak di dunia, di Masyar pasti. Yg Pasti, jika diambil nyawa, akan pergi dgn tenang, tiada lagi berhutang ‘Kebenaran’ dgn sesiapa. InsyaAllah”

Komen penyokong Najib Razak (fansofnajib) “Maka musnahlah cita cita Anwar nak jadi Mandela”

Komen Anwar Ibrahim “Saya berterima kasih kepada Wan Azizah dan keluarga kerana menyokong dan juga barisan peguam. Saya akhirnya dibebaskan selepas diaibkan sedemikian”

Komen Najib Tun Razak “Keputusan hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa di sebalik apa yang telah didakwa, sistem kehakiman Malaysia adalah sebuah institusi bebas di mana baik politik mahupun ahli politik mempunyai sebarang pengaruh berhubung pelaksanaan keadilan.





Mengkritik atau memperlekeh?

23 12 2011

1. Di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kebebasan bersuara adalah antara elemen yang cukup mustahak. Ia hak yang seringkali lantang diperjuangkan.

2. Antara cabang kebebasan bersuara termasuklah kebebasan untuk mengkritik. Di Malaysia semua orang boleh dikritik termasuk Raja. Akta Hasutan 1948 hanya membataskan agar kritikan kepada Raja tidak berkecenderungan menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia kepada Raja. Selain itu, ia dibenarkan.

3. Dalam konteks politik, adalah biasa untuk mana-mana pihak mengkritik pihak yang lain. Parti A mengkritik parti B dan begitu lah sebaliknya. Kritikan antara parti bertentangan ini sudah tentu bertujuan menjatuhkan atau mendedahkan kelemahan. Wujud juga kritikan oleh ahli parti A kepada pimpinan parti A. Kritikan sebegini kebiasaannya bermaksud memperbaiki kelemahan agar partinya dapat menjadi lebih baik.

4. Ada juga keadaan di mana sesebuah parti dikritik oleh orang luar yang bukan dari parti lawan dan juga bukan ahli parti sendiri. Kritikan sebegini sukar ditentutan tujuannya. Ia mungkin untuk memperbaiki tetapi ia mungkin juga untuk menjatuhkan.

Read the rest of this entry »





Muhyiddin akan tersingkir?

23 12 2011

1. Kebelakangan ini, liputan berita mengenai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin dipinggirkan dalam media massa. Utusan Malaysia dan Buletin Utama hampir langsung tidak memberikan liputan kepada beliau.

2. Umum menyedari bahawa Muhyiddin dan Najib tidak lagi sekepala. Najib membawa gagasan 1Malaysia namun Muhyiddin seakan melakukan silent protest dengan pendirian kerasnya bahawa beliau ‘Melayu pertama manakala Malaysia kedua’.

3. Saya yakin Muhyiddin akan disingkirkan secara perlahan-lahan.

4. Peperangan masih berlangsung di bawah tanah. Pancung-memancung sedang berjalan. Cantas-mencantas juga giat dijalankan.

5. Zahid Hamidi atau Hishammuddin Hussein boleh berlatih menjadi TPM yang baru.





Siapa paling beradab?

21 12 2011

1. Tiba-tiba rakyat Malaysia bercakap tentang adab sopan dan tatasusila. Tiba-tiba beberapa kerat ahli Umno berhimpun dan bersyarah panjang tentang adab. Tiba-tiba juga ada beberapa panglima Umno yang meludah  semata-mata untuk bersyarah tentang adab.

2. Semuanya berpunca daripada tindakan mahasiswa UPSI Adam Adli yang menurunkan bendera gambar Najib di PWTC.

3. Saya tidak pasti sejauh mana ahli Umno taksubkan presiden mereka sehinggakan gambar muka dijadikan bendera dan digantungkan di bangunan mereka.  Perkara ini satu-satunya berlaku di Malaysia. Para penyokong Ayah Pin, nabi palsu Kahar dan lain-lain ajaran sesat pun tidak buat perkara ini.

4. Saya juga tidak pasti samada mereka sedar atau tidak bendera-bendera tersebut terdedah dengan hujan, ribut, petir dan sekali sekala tahi burung. Sudah tentu tindakan menggantungkan bendera wajah pemimpin juga adalah suatu bentuk penghinaan.

Read the rest of this entry »





PRU13 milik siapa?

4 12 2011

1. AGM Umno telah melabuhkan tirainya. Gendang pilihanraya telah dipalu menandakan isyarat jelas bahawa parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.

2. Saya harus jujur mengakui bahawa mood rakyat pada masa ini milik Umno/BN melainkan di beberapa segmen masyarakat. Melayu Kelantan serta Melayu bandar, Cina dan India masih melihat Umno/BN sebagai perompak harta rakyat. Selainnya masih percaya bahawa Umno/BN adalah satu-satunya harapan.

3. Sehingga ke saat ini, Umno/BN telah melakukan segala perkara untuk memenangi hati rakyat. Liberalisasi ekonomi, sosial dan politik serta idea-idea terbaik telah digunakan sebaiknya tanpa menghiraukan samada ia ciplak ataupun kitar semula. Kesemuanya telah dipropagandakan dengan begitu baik oleh media mereka menyebabkan majoriti rakyat percaya bahawa Umno/BN telah benar-benar berubah menjadi lebih baik.

Read the rest of this entry »





Bacaan semasa politik nasional

30 11 2011

1. Jika dilihat pada keputusan beberapa pilihan raya kecil serta penerimaan rakyat terhadap program Transformasi kerajaan, trend sokongan jelas semakin condong kepada parti pemerintah Umno/BN.

2. Undi Melayu akan terus berpihak kepada Umno jika strategi PAS dan PKR masih di takuk yang lama. Kempen PAS ganti Umno (PGU)  serta Anak Muda Geng Kite juga belum mampu memberikan jaminan bahawa undi atas pagar akan beralih arah. Keadaan ini diburukkan dengan kegagalan media alternatif menyaingi media arus perdana yang giat menanam propaganda saban hari tentang isu survival bangsa Melayu.

3. Masyarakat Cina dan Melayu di bandar akan kekal bersama Pakatan Rakyat. Ia diperkuatkan dengan Buku Jingga.

4. Sabah dan Sarawak akan kekal menjadi fixed deposit Umno/BN. Isu ‘projek IC’ dan ‘Taib Mahmud’ belum dimainkan secara optimum.

Read the rest of this entry »





Tips dalam menyelesaikan pinjaman PTPTN

18 11 2011

1. Bagi graduan yang baru menamatkan pengajian, hutang atau pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) adalah antara perkara yang menyerabutkan  fikiran. Peminjam perlu mulai membayar pinjaman selepas enam bulan tamat pengajian. Bagi graduan yang masih menganggur, ia tambah menyesakkan dada.

2. Artikel ringkas ini akan membekalkan beberapa tips dalam menyelesaikan pinjaman PTPTN agar pembayaran yang dibuat tidak menjejaskan kesejahteraan rutin harian kita yang lain disamping memaksimum manfaat dalam penggunaan tunai yang kita lakukan. Saya membuat andaian bahawa anda adalah graduan yang telahpun mempunyai pendapatan tetap.

3. Pertamanya kita jangan sesekali meletakkan prioriti membayar pinjaman PTPTN ini pada kedudukan terakhir dalam senarai belanjawan bulanan kita. Individu yang berhutang adalah individu yang belum sepenuhnya merdeka.

Read the rest of this entry »





Budaya ‘mark-up’ dan Laporan Ketua Audit Negara 2010

25 10 2011

1. Laporan Ketua Audit Negara 2010 akhirnya diedarkan kepada umum walaupun setelah hampir sebulan Belanjawan 2012 dibentangkan. Amalan kebiasaan, ia diedar sebelum Bajet 2012 dibentangkan bagi memberikan maklumat kepada rakyat tentang ketelusan dan kecekapan kerajaan dalam menguruskan peruntukan terdahulu.

2. Apapun, tahniah kepada Ketua Audit Negara dan kakitangan pejabat beliau yang telah menyediakan suatu laporan audit yang cukup telus dan komprehensif.

3. Saya hanya sempat meneliti sepintas lalu kerana keterbatasan waktu yang ada. Namun intipati laporan ini menampakkan masalah yang sama terus berlaku berulang-kali.

4. Antaranya adalah budaya ‘mark-up’ dalam pejabat-pejabat agensi kerajaan. MARA yang pernah menggemparkan negara dalam laporan Katua Audit Negara 2008 yang lalu masih melakukan kesalahan yang sama. Dulu dua buah laptop dibeli dengan harga RM84,640. Kini, seunit ketuhar dibeli pada harga RM1,200 sedangkan harga pasaran hanya RM419 sahaja. Hal ini juga dikesan berlaku dalam jabatan-jabatan kerajaan serta agensi kerajaan yang lain.

Read the rest of this entry »





Ulasan Bajet 2012

8 10 2011

1. Saya mengikuti dengan tekun pembentangan Bajet 2012 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan 1 merangkap Perdana Menteri petang semalam.

2. Seawal Dato’ Sri Najib Razak memasuki Dewan Rakyat, saya teruja melihat warna baju melayu beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin yang serupa. Seakan signal bahawa mereka bersatu hati, sekaligus menafikan dakwaan bahawa mereka sedang bertelingkah. Geliga juga Najib jika beliau memang berniat begitu.

3. Pada hemat saya, bajet kali ini sangat berbeza berbanding dengan sebelumnya. Beberapa tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat telah diumumkan oleh beliau. Juga beberapa polisi yang berbau ‘Negara Berkebajikan PAS’ juga telah diumumkan dengan begitu baik oleh Najib.

4. Pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah, elaun RM100 untuk pelajar, voucer buku RM200, bantuan one off RM500 untuk isirumah berpendapatan bawah RM3000 sebulan adalah suatu yang layak dipuji.

Read the rest of this entry »





Pemilihan 50 Ahli Politik Malaysia Paling Berpengaruh

3 10 2011

Makmal Kajian Politik As-Soff (MKPA), sebuah makmal kajian politik bebas sedang menjalankan projek ’50 Ahli Politik Malaysia Paling Berpengaruh’.

Fasa pertama projek ini adalah melibatkan pencalonan dan undian di laman sosial Facebook (https://www.facebook.com/pages/50-Ahli-Politik-Malaysia-Paling-Berpengaruh/197788963626734). Ahli-ahli politik yang mendapat undian tertinggi akan disenarai-pendekkan seramai 100 orang berdasarkan jumlah undian yang diperolehi.

Seterusnya fasa kedua projek ini melibatkan perbincangan dengan pakar-pakar terkemuka dalam bidang sains politik, pengajian sosial dan sejarah bagi membuat penarafan secara lebih terperinci terhadap 100 ahli politik yang telah disenarai pendek. Antara pakar yang dicadangkan adalah Prof Dr Khoo Kay Kim, Prof Dr Ramlah Adam, Prof Dr Muhammad Abu Bakar, Prof Dr Zainal Kling, Dr Agus Yusoff dan ramai lagi.

Adalah diharapkan agar anda dapat menghebahkan perkara, khususnya link laman sosial Facebook yang di atas ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam projek ini sekaligus membantu meningkatkan keabsahan kajian ini.

Hasbie Muda
Pengarah
Makmal Kajian Politik As-Soff







Follow

Get every new post delivered to your Inbox.