Tun Dr. Mahathir bin Mohamad adalah antara tokoh politik yang berpengaruh dan gemar membuat keputusan yang di luar kebiasaan. Beliau pernah memutuskan tambatan Ringgit dengan matawang Dollar Amerika dalam keadaan ramai yang sangsi dengan keberkesanan dasar itu.
Ramai anak muda hari ini kurang mengenali beliau.Ada yang gemar mencerca sedangkan mereka tidak pun tahu apakah salah Tun.Ada juga yang suka melambung-lambung dan memuji Tun hanya kerana tahu bahawa Tun adalah bekas perdana Menteri terbilang. Sewajarnya kita harus mengenali dengan mendalam biodata tokoh ini sebagai teladan dan ikutan dalam mencaturkan hidup sendiri.
Tun Mahathir Mohamad dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Sejak kecil Mahathir ditimang dengan nama ‘Che Det’.
Beliau merupakan anak bongsu di kalangan sembilan orang adik-beradik. Tun Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.
Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.
Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya, Singapura. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.
Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicine berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Maizura dan Mazhar.
Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.
Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena ‘C.H.E Det’ antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darul Aman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid.
Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku “Dilema Melayu” yang diterbitkan dalam tahun 1970.
Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society.
Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih oleh UMNO untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.
Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.
Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.Antara faktor kekalahannya kepada Allahyarham Ustaz Yusuf Rawa pada ketika itu dikaitkan dengan kepribadiannya yang bersifat ‘ultra malay’.Hal ini menyebabkan masyarakat cina sepakat menolak beliau.
Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.
Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan.AUKU dilihat sebagai satu akta zalim dan mengekang kebebasan mahasiswa. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisiplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini, semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pengajian Tinggi. Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.
Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pada masa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.
Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.
Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.
Dr. Mahathir digelar “Bapa Pemodenan Malaysia” dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Semasa pentadbirannya,beliau berkhidmat bersama-sama 4 orang timbalan iaitu Musa Hitam,Tun Ghafar Baba, Tokoh Karismatik Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.
Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut.
Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu ‘mengikat diri’ kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.
Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.
Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun.
Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.
Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar di mana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara.
Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembangunan industri berat dan yang penting juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB.
Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia). Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia.
Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal.
Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.
Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi.
Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus ‘perniagaan’ sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan.
Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini diilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan.
Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi ‘CEO’ Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.
Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.
Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia.
Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja. Konklusinya, Tun tetap seorang negarawan terbilang walaupun beliau kerap dikaitkan dengan pelbagai kontroversi!









tidakkah saudara berpendapat, pembaziran duit perbendaharaan ketika zaman pemerintahan beliau dgn pembiaan bandar putrajaya sebagai salah satu contoh mengheret M’sia menhadapi zaman kesusahan skrg? Terdapat info mengatakan bangunan di putrajaya bukanlah milik kerajaan, tetapi disewa -wallahu’alam-
Tun juga manusia biasa.Dia tidak boleh elak dgn sebarang kekurangan dan kesilapan.Tentang kedua-dua pandangan itu,saya tiada bukti untuk mengiyakan atau menafikan..
Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana mengurniakan seorang Negarawan Ulung di sebuah negara yang dulunya tidak dikenali oleh warga dunia. Pada era pemerintahan nya saya berbangga sebagai Rakyat Malaysia. Siapa lah ’syazone’, siapalah ‘zaimin’ dan siapalah saya untuk mempertikaikan dan membuat tuduhan kepada seorang yang terlalu besar jasanya pada bangsa, agama dan negara yang tercinta ini. Semoga Allah merahmatinya dan memanjangkan Umur TUN DR MAHAHTIR MOHAMAD. AMIN.
salam..
Artikel yang menarik. Tun memang banyak menyumbang kepada kemajuan negara. Itu fakta yang tidak boleh disangkal, hatta musuh politik beliau pun perlu mengakuinya. Namun, kerosakan yang diwarisinya juga boleh tahan hebatnya!!
Dr.M adalah seorang pemimpin yang amat saya dan anak saya banggakan. Pakar ekonomi yang terlalu cerdik dan menjadi idola saya di setiap masa. Tanpamu mungkin bumi malaysia masih berada di takuk lama, namun tiada siapa yang tahu bahawa beliaulah yang bertanggungjawab membangunakan bangsa melayu di bumi sendiri.Biarlah apa jua pendapat terhadap beliau, saya akan menyokong beliau buat selama-lamanya kerana beliau bangsa malayu berjaya.
Tun merupakan seorang pemimpin yang telah banyak memberi kebanggaan kepada bangsa dan negara. usahlah rakyat malaysia lupa akan jasa-jasa beliau.Biar apapun terjadi saya tetap menyokong beliau kerana beliau telah membuktikan segala kata-katanya dan bukan setakat kata-kata. Kerana tun kita berada di tahap ini dan jika beliau di beri peluang memimpin saya pasti malaysia akan terus berada di mata dunia. lihatlah sekarang, tanpa beliau terassa bahang kesusahannya atau fikirkan saja jika PKR/PAS memimpin malaysia, mungkin bangsa melayu akan terus mundur dan perbalasan sesama bangsa akan terjadi. Tentang Anwar biarlah ia selesaikan masalah personal dia sendiri dan tak perlu nak campur tangan sebab beliau juga tak mungkin akan campur tangan jika kita berada dalam keadaan susah. contohnya selangor…. apa dah jadi., fikir-fikirkanlah. Buat TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, KAMI BANGGA DENGAN ANDA.
Salam.. Tun Dr. Mahathir.. im PROUD of u.. sbgi seorang PEMIMPIN yang agung, saya rasakan, blum ada lgi PEMIMPIN yang setanding BELIAU di negara kita ni,malah di ASIA pun bgitu juga.. kalau la ANWAR IBRAHIM Sekalipun yang sdg SIBUK Menjajah CERITA tntg KEBURUKAN org lain, tp saya rasa ANWAR masih bkn LAWAN Tun Dr. Mahathir.. xguna kalau kita hanya tahu Bercakap tapi, BUATnya tidak.. TAPI lain pula dengan NEGARAWAN TERULUNG NEGARA ini, dia CAKAP dan Alhamdulillah TERBUKTI!! beliau buktikan dgn PERBUATAN.. jika kita nk lihat BUKTI itu,lihatla MALAYSIA sekarang..Yang dulunya, tidaka ada sesiapa pun KENAL apakah itu MALAYSIA??? di manakah Terletaknya NEGARA MALAYSIA.. tpi skrg Alhamdulillah dgn PIMPINAN beliau, MALAYSIA bkn stakat di kenali di MATA DUNIA, malah cukup Di segani oleh DUNIA..
Beliau adalah antara PEMIMPIN ISLAM yang amat d segani sehinggakan beliau telah TERPILIH mnjadi PENGERUSI OIC oleh Negara2 ISLAM dunia.. Sehinggakan beliau di gelar “VOICE OF ASIA” oleh Dunia.. d mana beliau adalah merupakan seorang PEJUANG ataupun PEMIMPIN ISLAM yang Lantang Bersuara demi kepentingan NEGARA, BANGSA mahupun AGAMA…
Allahu Akhbar!!
Syazone ni buta sejarah atau taksub dgan pembangkang kerana Dr. Mahathir adalah Bapa Pemodenan Malaysia. Kalau Syazone nak rasa drive dari Perlis ke Kuala Lumpur tanpa gunakan lebuhraya PLUS silalah kembali ke zaman 70′an yang memakan masa 18 hingga 24 jam berbanding 5 jam sekarang ni.
- Pernah 2 hari perjalanan[sehala] dgan bas rombongan dari Perlis ke Singapura tahun 1983
Tun adalah salah seorang ‘world good thinker’ yang pernah menjadi panel untuk talk berkenaan tentang critical thinking. Talk ini banyak dijalankan di luar negara.
Kos untuk mengikuti talk itu biasanya hampir RM10k/hr.
Cuma untuk slot yang dijalankan di Malaysia tak lama dulu ada diskaun. Mungkin ada subsidi, tak tahulah.
Kalau tak silap, 1k untuk orang biasa dan RM500 untuk student. Talk itu bukan critical thinking yang biasa.
Tun juga rakyat Malaysia pertama yang mempelopori bidang imaging and diagnostics. Teruja apabila senior lecturer Cina di PPUM memberitahu perkara ini dan dia juga kagum dengan Tun.