Tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah

Saya memaparkan kembali pandangan seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina dan beragama Islam mengenai beberapa isu berbangkit mengenai bangsa Melayu di Malaysia. Dr Ridhuan Tee Abdullah telah memberikan satu pandangan jujur yang tidak memihak apabila memperkatakan tentang nasib bangsa Melayu di Malaysia. Walaupun tidak bersetuju sepenuhya dengan pandangan beliau, namun tulisan beliau ini cukup menarik dan wajar dibaca.

RENCANA 1 – NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan suruhanjaya bebas diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock. Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini. Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina MCA, Gerakan (BN) dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan. Saya tidak nafikan ada yang tidak kena dengan cara SPRM mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan yang lebih ekstrim mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang bakal lahir yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock ‘dibinkan’ atau diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah ketua wanita MCA bahawa betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini?

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfucius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan ketua wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan bersekedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah. Saya masih tidak faham kenapa hari ini, terlalu ramai di kalangan kita suka menjadikan wanita sebagai mangsa dengan melakukan hubungan seks (sehingga mengandung) sebelum dinikahkan? Ajaran agama manakah yang membenarkan hubungan haram ini? Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrim. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami. Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebalik. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1988. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah? Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan parti PAS dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Kes yang hampir sama berlaku, saya masih teringat pada November 2005, kononnya tahanan warga Cina telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambar-gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar-akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat saya, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat dari kejadian tersebut. Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrim MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga Cina tetapi seorang gadis Melayu.

Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina. Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikan dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita? Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum.

Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibarat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau. Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uigur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini? Hanya kerana orang Cina itu beragama ISLAM, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat seperti cacing kepanasan.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu Murtad (Lina Joey), berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad. Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad. Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrim ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit. Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntung sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

~Utusan Malaysia, 26 Julai 2009

RENCANA 2 – BILA KACANG LUPAKAN KULIT

Saya dikecam hebat, apabila salah satu laman blog menyiarkan semula artikel saya minggu lalu dalam Mingguan Malaysia, bertajuk ‘Nasib Melayu di Bumi Melayu’. Saya dituduhkan sebagai penulis upahan UMNO, lupa asal usul diri, lebih Melayu daripada Melayu, Cina tidak sedar diri, rasis dan berbagai kecaman dilemparkan oleh golongan ultra kiasu ini. Saya mengucapkan terima kasih atas yang respon yang telah disampaikan. Saya tidak berhasrat untuk memberikan respon, kerana saya malas melayan idea-idea picisan yang menyerang peribadi dan tidak langsung menampakkan bahawa mereka ini seorang yang profesional. Orang sebegini tidak selayaknya untuk dilayan, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Lagipun saya tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak, artikel yang saya tulis dalam bahasa Melayu, atau mungkin juga mereka lebih memahami bahasa Inggeris atau bahasa ibunda, daripada memahami bahasa kebangsaan itu sendiri sehingga mereka tidak faham apa yang saya maksudkan.

Begitu juga dengan akhbar Cina, China Press dan Nanyang Siang Pau berniat jahat dengan secara sengaja memaparkan sebahagian kecil artikel saya berkaitan Beng Hock, mengenai anak luar nikah yang dikandung oleh teman wanitanya. Sedangkan simpati dan pembelaan saya terhadap mendiang tidak disiarkan langsung. Ini menunjukkan betapa rasisnya akhbar Cina. Saya dituntut oleh keluarga mendiang untuk meminta maaf. Terus terang, saya tidak perlu meminta maaf kerana saya berkata yang benar. Bersekedudukan sebelum nikah adalah haram di sisi agama apa sekalipun. Kenapa agama Islam sahaja yang dipersoalkan, adakah agama lain menghalalkan perbuatan sedemikian. Sebelum memeluk Islam, saya dahulunya pernah menganut agama Buddha dan Kristian. Kedua-dua agama ini mengharamkan sama sekali bersekedudukan sebelum nikah. Persoalan sama ada mereka yang melakukan perbuatan sedemikian akan bertanggungjawab atau tidak, itu tidak berbangkit. Apakah kita mahu menghalalkan perkara ini sehingga menjadi budaya masyarakat kita? Apakah kita mahu ia turut berlaku kepada anak atau adik-beradik kita?

Justeru, bila saya menulis, saya selalu meletakkan diri saya sebagai rakyat Malaysia atau bangsa Malaysia, bukannya orang Cina. Ini bertujuan supaya pandangan saya tidak berat sebelah atau bias. Jika orang Islam melakukan kesalahan saya akan tegur, begitu juga yang lain. Adakah kerana hanya saya berbangsa Cina, maka saya patut selindungkan sesuatu keburukan yang berlaku pada bangsa saya? Sudah tentu tidak kerana saya perlu berkata benar. Jika orang Cina baik, saya akan puji sebab itu kenyataan. Begitulah sebaliknya, jika ada kelemahan, kita terpaksa terima walaupun pahit.

Pada saya, hujah yang dikemukakan mesti dibalas dengan hujah berasaskan fakta dan ilmu, bukan menyerangkan peribadi. Untuk makluman semua, saya mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang politik dan kerajaan. Tajuk tesis saya berkaitan dengan ‘persepsi orang Cina terhadap gerakan politik UMNO’. Hujah yang saya lontar itu adalah datang daripada dapatan sebahagian kecil kajian yang dibuat terhadap politik silang budaya kedua kaum ini secara kuantitatif dan kualitatif. Apakah saya tidak layak untuk memperjelaskan isu ini? Apakah yang berkokok itu pernah membuat kajian atau sekadar emosi yang menghantui diri sehingga tidak sedar diri?

Itupun nasib baik saya tidak rekod-rekod yang buruk sebelum ini seperti ahli politik dan penulis yang lain. Jika tidak, semua peribadi buruk akan diungkit dan digunakan sebagai senjata untuk mengecam saya. Inilah budaya perkauman dan budaya ‘pandir’ yang telah dicanangkan sejak sekian lama, terutama apabila kerajaan gagal mendidik mereka memahami sejarah sehingga menjadi manusia yang tidak mengenang budi ini. Malah mereka menjadi semakin ultra kiasu dan tidak mahu menerima hakikat yang sebenar.

Saya hanya cuba mengatakan yang benar. Saya tidak mendapat satu sen daripada UMNO apabila artikel tersebut disiarkan. Begitu jua saya tidak mendapat satu sen pun wang zakat setelah 24 tahun memeluk Islam. Saya tidak ada banglo mewah, kereta mewah dan lain-lain kemewahan. Saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang ada, hidup sebagai rakyat biasa. Malangnya, bila ada komen saya menyebelahi kerajaan/UMNO saya akan dituduh bermacam-macam. Bila idea saya menyebelahi pembangkang, saya akan dipuji melambung. Saya bukanlah dalam kategori yang mudah lupa diri bila dipuji. Saya sentiasa memuhasabah diri apabila dikeji. Sifat ini perlu ada pada semua manusia.

Saya menulis atas kebenaran. Saya adalah kalangan orang Cina yang celik sejarah dan celik perlembagaan. Saya tahu asal usul saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang saya tulis sama ada di dunia mahupun di akhirat. Saya tidak fikir tulisan sedemikian rupa akan menyebabkan Allah SWT mencampakkan saya ke dalam neraka, berbanding mereka yang selalu mengumpat dan menyerang peribadi orang tidak sudah-sudah.

Saya menulis apa yang benar, apa yang salah. Saya tidak menuding jari terhadap siapa yang benar atau siapa yang salah. Saya tidak ada masalah untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja untuk berhujah secara ilmiah dan akademik, bukan berasaskan sentimen, politik sempit dan jumud. Janganlah jadi pengecut, melepaskan geram yang menampakkan kebodohan diri sendiri. Janganlah terlampau ultra kiasu kepada kaum sendiri. Tindakan ekstrem tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. Malah akan mengusutkan lagi sesuatu yang telah kusut.

Terus terang saya katakan, setelah membanding Malaysia dengan negara-negara lain di dunia, ternyata Malaysia adalah sebuah lain dari yang lain. Amat unik dan toleransinya amat tinggi, terutama kalangan orang Melayu. Selaku rakyat berbangsa Cina, saya amat berasa bertuah hidup di bumi bertuah ini. Orang Cina (juga India) bernasib baik kerana kerajaan Malaysia sejak sebelum dan selepas merdeka, tidak banyak berusaha sama sekali mengasimilasikan mereka walaupun kerajaan berhak melakukannya terhadap mereka yang berhijrah. Mereka adalah seperti orang Cina seadanya seperti mereka di negeri China. Bersekolah, berbudaya, bertutur dan semua cara hidup berasaskan keCinaan (atau keIndiaan). Mana ada negara di dunia seperti ini?

Berbanding dengan negara lain, seperti Thailand dan Indonesia serta lain-lain negara dunia, mereka yang berhijrah mesti diasimilasikan dahulu sebelum menjadi warga negara di sana. Kita lihat di Thailand, pada tahun 1930an semua identiti kaum Cina dihapuskan termasuk meroboh semua sekolah Cina. Hari ini, orang Cina di Thailand sudah tidak seperti orang Cina. Mereka telah diasimilasikan menjadi orang Thai (Siam). Tidak ada beza antara orang Thai dan orang Cina. Cina yang sudah tidak ada semangat Cina. Malah mereka tidak ada keinginan langsung untuk pergi ke negeri China. Begitu juga di Indonesia. Banyak lagi contoh lain yang boleh saya ketengahkan. Ini yang menjadikan saya sedar diri dan bersyukur.

Berbeza dengan di Malaysia, sudahlah namanya bertukar daripada Tanah Melayu kepada Malaysia, keadaan masih tidak banyak berubah. Orang Cina tetap dengan kecinaannya. Lebih menyedihkan ada di kalangan mereka (ramai) tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mereka langsung tidak mahu diasimilasikan. Mereka tidak mahu ambil tahu langsung tentang adat budaya Melayu. Malah, mereka malu berbahasa Melayu sebab mereka memandang rendah pada orang Melayu. Istilah-istilah yang digunakan terhadap orang Melayupun istilah-istilah menghina yang tidak perlu saya tulis di sini, kerana sebagai orang Cina saya tahu apa yang berlaku. Justeru, dapatan kajian saya tidak mengejut, orang Cina akan berjuang habis-habisan sebarang percubaan untuk mengasimilasikan mereka dan percubaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan kepada satu sekolah. Pendek kata, hidup mati orang Cina adalah dengan sekolah Cina dan semangat keCinaan mereka.

Saya merasa bersyukur kerana dilahirkan di kampung Melayu, tetapi dibesarkan dalam keluarga yang begitu kuat berpegang kepada tradisi Cina. Alhamdulillah, saya dapat memahami orang Melayu dengan lebih mendalam melalui pergaulan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Saya tahu sensitiviti orang Melayu dan cara hidup Melayu. Latar belakang sebegini, tidak semestinya menjadikan saya orang Melayu, kerana saya adalah orang Cina yang dijadikan Allah SWT, darahnya tetap darah Cina. Jika saya ditakdir lahir di kawasan orang Cina, saya fikir saya tidak banyak berubah, sebab saya celik sejarah, celik perlembagaan serta sedar diri. Pokoknya, kita mesti sedar diri dan memahami sejarah negara.

Sejarah Malaysia adalah berakarkan kepada sejarah Melayu. Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan bangsa Melayu. Sejarah inilah yang tidak dapat dipisahkan juga dengan istilah ketuanan Islam dan ketuanan Melayu. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu. Tetapi jika istilah ini digunakan untuk menunjukkan bahawa penduduk Melayu adalah pribumi asal, pada saya ia tidak salah sepertimana yang pernah ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketuanan Melayu bukanlah merujuk kepada hubungan antara ‘tuan’ dan ‘hamba’. Saya tidak fikir istilah ketuanan Melayu akan digunakan jika sekiranya nama Malaysia kekal seperti nama asalnya dahulu iaitu Tanah Melayu. Nama Malaysia tidak menampakkan identiti Melayu. Dengan sebab itu, istilah ketuanan Melayu digunakan. Justeru, tidak salah penggunaan istilah ini jika dengan maksud dan tujuan yang baik dan bukan menghina bangsa lain.

Pada hemat saya, jika istilah ketuanan Melayu hanya digunakan untuk merujuk kepada sejarah Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan hak-hak istimewa Melayu dan Islam yang termaktub dalam perlembagaan dan sebagainya berkaitan dengan Melayu, saya fikir itu tidak salah. Identiti ini sekadar hendak menunjukkan bahawa inilah keadaan Malaysia yang sebenar, sebelum dan selepas merdeka. Apa yang penting perlaksanaan dasar mesti tidak mendiskriminasikan semua kaum yang ada di negara ini. Jika ada pun diskriminasi atau ketidakadilan yang berlaku, yang patut dipersalahkan mereka yang melaksanakan dasar, bukannya menolak sesuatu dasar yang telah dipersetujui bersama. Adakah saya rasis apabila memperkatakan perkara ini?

Saya masih teringat apabila Teresa Kok dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor, perkara pertama yang beliau ucapkan adalah idea untuk mewujudkan sebuah bandar Cina di mana di situ ada kawasan perindustrian Cina dan institusi pengajian Cina untuk menarik pelabur-pelabur daripada negara China. Adakah idea ini tidak rasis? Adakah saya yang membangkitkan isu ini rasis? Bila saya membela Cina tidak rasis, bila mana saya membela Melayu dan Islam, saya dituduh rasis. Jangan jadi gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak begitu jelas. Bila isu menyebelahi Cina atau India, kita senyap.

Bila isu menyebelahi Melayu, bagaikan nak runtuh satu Malaysia? Adakah politik sebegini tidak rasis? Saya harap kita jangan bertindak seperti kacang lupakan kulit.

Tolak ansur yang berjalan selama ini tidak ada tolok bandingnya. Saya masih tidak lupa, ketika segelintir pertubuhan Cina mahu mendirikan tugu Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun atau Malayan People’s Anti- Japanese Army (MPAJA) di Taman Peringatan Nilai, sebagai memperingati pejuang-pejuang Cina yang gugur menentang Jepun ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945. Tugu tersebut telah didirikan atas alasan memperingati mereka yang telah terkorban mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu. Fakta ini salah dan menyeleweng.

Ketika tugu ini sedang didirikan, beberapa pertubuhan Melayu dan juga bukan Melayu yang memahami sejarah (lihat artikel saya dalam Utusan Malaysia 26.12.2006), mahukan fakta sejarah tersebut diperbetulkan dan tugu tersebut tidak dibina. Mereka bukan pejuang kemerdekaan tetapi mereka bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun.

Ini disebabkan oleh sejarah politik/perang/permusuhan antara Jepun-China pada tahun 1894, 1895 dan 1937. Jepun dan China saling berperang dan berdendam antara satu sama lain.

Penentangan Cina terhadap Jepun dan penganiayaan Jepun terhadap orang Cina, lebih kepada isu membalas dendam bukannya perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. MPAJA adalah alat PKM. Justeru, kita lihat apabila Jepun meninggalkan Tanah Melayu, PKM mempunyai cita-cita tinggi untuk memerintah Tanah Melayu. Pada masa sama sebelum itu, MPAJA diperalatkan British untuk menentang Jepun. Dalam hal ini, tidak timbul langsung isu MPAJA memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Jikapun benar, kenapa MPAJA tidak menentang Malayan Union yang diperkenalkan British selepas Jepun menyerah kalah?

Malangnya, hari ini tugu MPAJA telah berdiri megah di Taman Peringatan Nilai, dan menjadi pusat penyembahan. Apakah saya membangkitkan isu ini bermakna saya rasis. Adakah yang membina tugu itu tidak rasis?

Adakah kewujudan bandar Cina atau China Town di setiap bandar itu tidak rasis. Pernahkah kita dengar ada Malay Town di negara bertuah ini. Atau terdapatkah universiti kepunyaan UMNO di negara ini? Tetapi kita ada Kolej/Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Asian Institute of Medical Science and Technology (AIMST-MIC) dan bermacam-macam lagi institusi berasaskan kaum. Adakah ia tidak rasis? Siapakah sebenarnya yang rasis? Cuba kaji berapa banyak peruntukan yang diberi oleh kerajaan terhadap universiti kepunyaan MCA, Gerakan dan MIC ini?

Ini tidak termasuk nama-nama jalan yang ingin diubah kepada nama individu tertentu dan menggunakan nama jalan pelbagai bahasa atas alasan agar pelancong dapat tahu nama-nama jalan tersebut. Perlukah kita mengajar pelancong ini dengan bahasa mereka sendiri. Bukankah pelancong datang ke sini untuk memahami budaya dan bahasa rasmi di sini. Bukankah kita ada satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan yang boleh difahami oleh semua kaum, yang perlu didaulatkan. Adakah ini tidak rasis?

Ke manakah kita nak bawa negara Malaysia? Apakah akar Melayu perlu dibuang langsung. Pada hemat, apapun yang berlaku kita perlu menghormati orang Melayu selaku penduduk asal di negara ini dari segi sejarah. Manakala orang Melayu juga perlu menghormati orang bukan Melayu. Pendek kata, kita perlu saling hormat-menghormati perlembagaan yang telah dipersetujui secara bersama, walaupun ia nampak lebih menyebelahi orang Melayu. Tetapi hak kita sebagai bukan Melayu tidak diabaikan.

Saya bangkitkan isu kuil dan rumah ibadat kerana itulah hakikat yang sebenar. Saya tidak fikir semua rumah ibadat dibina sendiri, menggunakan wang sendiri mereka. Kebanyakan rumah ibadat kaum-kaum lain dibina di atas tanah kerajaan. Bukan Melayu tidak boleh membandingkan agama mereka dengan Islam, kerana terdapat peruntukan istimewa kedudukan Islam dalam perlembagaan. Perkara ini telah dipersetujui secara bersama ketika perlembagaan digubal. Justeru, keistimewaan agama Islam perlu dihormati. Sudah pasti dalam hal ini hak bukan Islam tidak terabai kerana Islam menghormati hak agama-agama lain.

Begitu juga dengan DEB. Ia tidak boleh dilihat dari perspektif negatif semata-mata. Berapa ramai orang bukan Melayu mendapat habuan daripada kejayaan orang Melayu dalam DEB? Sila baca buku yang ditulis oleh Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan dalam bukunya the Chinese Malaysian Contribution. Mereka melihat bagaimana orang Cina mendapat habuan apabila orang Melayu turut berjaya. Jika orang Melayu berjaya melalui DEB, sebahagian besar pengeluar adalah orang Cina. Ini bermakna, bila orang Melayu berjaya, orang Cina dapat percikan dan kejayaan sama. Adakah kejayaan Cina disebabkan usaha mereka semata-mata. Jawabannya tidak, banyak faktor yang menyumbang seperti dasar-dasar kerajaan, kejayaan DEB dan sebagainya. Janganlah anggap apa yang kita ada hari ini semata-mata kerana usaha kita sendiri tanpa melihat bagaimana kejayaan itu dicapai.

Dengan sebab itu, sebelum kenyataan dihamburkan, mereka mesti mengetahui asal-usul sejarah Malaysia terlebih dahulu. Bagaimana Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia. Bagaimana identiti sesebuah negara tercabut disebabkan oleh tolak ansur meraikan semua pihak. Sedangkan kita tahu bahawa Tanah Melayu, boleh terus kekalkan menjadi nama Tanah Melayu. Begitu juga di Singapura, boleh terus kekal menjadi salah sebuah negara Melayu di kepulauan Melayu. Kenapakah sebuah negara Melayu boleh terlepas menjadi negara Cina di kepulauan Melayu. Pernahkah kita terfikir betapa beruntungnya nasib kita berada di sini.

Kita perlu ingat, bermasyarakat majmuk bukan berlaku secara semulajadi. Tidak ada satu negara di dunia bermula dengan masyarakat majmuk. Semua negara bermula dengan satu bangsa. Nama bangsa tersebut, biasanya akan menjadi nama sesebuah negara itu. Misalnya, Melayu – Tanah Melayu, Cina – China, India – India, Siam – Siam (Thai), Vietnam – Vietnam, Arab – negara-negara Arab, barat – negara-negara kulit putih dan sebagainya. Kemajmukan sesebuah negara berlaku disebabkan oleh penghijrahan. Justeru, kaji sejarah ini. Kenapa ia boleh berlaku sedemikian rupa? Setelah dikaji, bandingkan, siapakah atau negara manakah yang lebih bernasib baik? Orang Melayu tidak ada lagi tempat dituju melainkan di negara-negara kepulauan mereka sendiri. Sedangkan orang lain mungkin ada tempat yang hendak dituju.

Bandingkan juga dengan Singapura. Sebuah negara Melayu yang telah jatuh kepada orang majoriti Cina. Adakah nasib Melayu terbela? Adakah kerajaan Singapura mempercayai orang Melayu? Berapa ramai orang Melayu dilantik menjadi menteri dan jawatan-jawatan tinggi dalam tentera, polis, imigresen dan lain-lain? Kerajaan Singapura lebih mempercayai orang India yang majoritinya lebih kecil daripada Melayu? Orang Melayu merempat di bumi sendiri. Adakah kita mahu ia berlaku di Malaysia?

Dalam isu Beng Hock, saya sudah terus terang mengatakan bahawa kematian beliau perlu dibela. Cuma, saya timbulkan janganlah kita mengeluarkan pandangan-pandangan yang boleh mengguris hati orang lain. Orang Melayu tidak hanya ada dalam PKR dan PAS sahaja, Melayu juga dalam UMNO, parti-parti lain dan ada yang tidak menyertai mana-mana parti politik. Adakah kerana kita berada dalam Pakatan, bermakna kita hanya perlu menjaga hati bukan Melayu dalam PR sahaja. Bagaimana dengan yang lain? Saya mengaitkan isu Beng Hock dengan agama, kerana kita adalah masyarakat yang beragama. Mana ada satupun agama yang membenarkan hubungan seks sebelum berkahwin. Jika adalah orang Islam yang terlibat dalam seks bebas sebelum berkahwin, itu adalah salah individu. Jangan pula agama disalahkan. Agama itu terlalu suci. Kalau tidak faham agama sendiri, belajarlah, jangan jadi jahil. Bila saya bercakap seumpama ini saya dituduh tali barut UMNO.

Apakah UMNO terlalu buruk? Apakah UMNO tidak ada jasa langsung terhadap orang Cina atau Melayu yang lain? Adakah kejayaan orang Cina ini hari berlaku dengan secara semulajadi? Apakah UMNO itu terlalu buruk sehingga kepentingan kaum lain dinafikan sama sekali? Memang tidak dinafikan bahawa UMNO ada kelemahan, kerana UMNO itu ditadbirkan oleh manusia. Jika ada penyelewengan dan korupsi dalam UMNO, itu adalah segelintir individu, masih ramai orang UMNO yang baik-baik yang masih boleh dijadikan kawan dan didakwahkan. Adakah kita terlampau baik sehingga tidak boleh ditegur? Janganlah seperti kacang lupakan kulit.

~Mingguan Malaysia 2 Ogos 2009

About these ads

18 thoughts on “Tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah

  1. salam
    sy harap saudara hasbie dpt mengulas dan memperincikan apa yg saudara tidak setuju dgn artikel ini supaya tidak ada andaian buruk dibuat terhadap komen saudara.
    tq.

    1. Salam..
      saya hampir sepenuhnya bersetuju dgn pandangan Dr Ridhuan Tee..namun pandangan beliau kelihatan ‘sedikit’ bias kepada UMNO.

      Jika saudara perasaan, artikel beliau walaupun bagi saya jujur dan tidak memihak kepada sesiapa, namun tulisannya sedikit condong untuk membela UMNO.

      Mungkin bagi beliau, UMNO sedang teruk dibelasah.

      Saya yakin, tulisan itu belum bermaksud bahawa beliau adalah ahli UMNO atau penyokong UMNO, namun ia boleh membawa tafsiran yg salah di kalangan pembaca.

      Bagi saya, maksud tulisan Dr Ridhuan sangat murni dan lahir tepat pada masanya.Namun, lebih sesuai jika beliau tidak meletakkan dirinya di kasut mana-mana ahli parti politik, samada pembangkang atau kerajaan.

  2. assalammualikum….Tahniah…sy tertarik dgn artikel Dr. Ridhuan…..sekadar pandangan dr seseorang berilmu…sy sebagai rakyat M’sia dah bosan dgn semua permainan org politik…x mustahil politik akan membinasakan M’sia…kerana politik rakyat akan menderita…Wahai org politik fikirkanlah nasib anak bangsa m’sia akan dtg…kononnya berilmu tetapi perangai org politik lagi buruk..depan baik tapi bila di belakang..mcm2…kami perlukan pemimpin bukan pemain politik yg berilmu tapi x berakal….melakukan perkara2 utk keuntungan sendiri..x fikirkan nasib rakyat yg susah..korang senanglah kalu huru hara msia bole lari luar negara…tapi kami ni org susah….korang bergaduh sama sendiri tapi kami rakyat yg kena tanggung kesusahan…benarkan kami hidup aman dan mencari rezeki halal utk membesarkan generasi ilmuan dan berakal….kami x perlukan pemain politik…AMAN M’SIA

  3. Rithuan Tee ini pemikirannya bercelaru sedikit
    Beliau sedang mencari kebenaran.

    Sebagai orang Melayu saya berterimakasih atas pujian2 nya ke atas kebaikan dan toleransi orang Melayu.
    Ini telah diakui oleh banyak budaya lain. Orang Inggeris menggelar orang Melayu sebagai the gentleman of the east.

    Tetapi malangnya banyak steretaip Melayu kini perlu dibaiki dan diperkukuhkan.

    Terlampau baik kepada Cina dan India menjadikan masyarakat Melayu lemah.

    Oleh kerana dasar kiasu orang Cina dan Hindraf maka orang Melayu tidak lagi boleh begitu toleransi.
    Masyarakat Melayu memerlukan pemimpin dan pemikir yang cerdik untuk mengawal orang2 Cina dan India yang boleh memakan masyarakat Melayu jika tidak dibendung menjadi seperti Singapura.

    Rithuan Tee tidak boleh mengaku untuk mewakili Melayu dalam hal2 bersekedudukan.

    Selari dengan bangsa yang maju, orang Melayu sangat tolerant terhadap anak2 oleh ibu bapa yang tidak berkahwin seperti pelakun Brad Pitt dan ang Jolie di sanjung di akhbar Melayu, dan Jean Todt dan Michelle Yeoh di beri tanah di Trengganu, gelaran Datuk walaupun dia berzina dengan Michelle Yeoh yakni hanya tunang bukan bini.

    Kerajaan Trengganu yg dulu PAS kalah kepada UMNO yg liberal dan sekular. Ini menunjukkan orang Melayu tidak memndang berat seks luar nikah.

    Hanya budaya Arab/Iran yang eksremis terhadap ini. Dengan teknolgi DNA, cara lama mengenal keturunan melalui bin dan surname tidak relevan eg. Michael Jackson.

    Uijian darah senang dibuat. Di UK/US 30% melahirkan anak dari ibu bapa yang tidak berkahwin.

    Sepatutnya anak Teoh adalah non issue. Anak2 perlu dijaga dan disayangi sama ada sijil nikah atau tidak Itu pandangan moden Melayu. Anak tidak haram. Seks itu seronok. Ini mentaliti Melayu sekarang.
    Apatah lagi dgn internet, semua orang boleh menikmati seks yang dia mahu. hehe.

    Pembaca Melayu sepatutnya tidak terperangkap dengan orthodoxy Ridhuan Tee.

    Kadang2 kawan yang bodoh lebih bahaya dari musuh. Sekadar untuk menyakitkan hati Cina2 kuantong dan hainan, mcm paklah, ok lah.

  4. dr.saya sokong anda..saya sudah beberapa tahun mengenali anda dan tahu anda tidak beremosi semasa menulis ini semua..saya tak nak jadi kacang lupakan kulit..

  5. aku tak tahu stand dr. ridwan tee sebenarnye…pandangan yang sangat berani, dan pandangan yang perlu dikaji dan dinilai…kenapa cina dan india jadi naik kepala skang pada aku disebabkan kezaliman pemerintah yang menunjukkan dasar diskriminasi kepada bangsa lain…memang benar bangsa melayu dimalaysia ini, tidak ganas, lebih toleran dan baik la senang…inilah cara dan tindakan yang british ajar, elakkan pertembungan dan konfrontasi..beza dengan bangsa melayu di indonesia, bangsayang sangat radikal, disebabkan itulah hasil didikan penjajah belanda, mereka mendapat kemerdekaan melalui jalan darah, bukan perdamaian, yang akhirnya belanda tunduk dengan penentangan rakyat…

    para pemimpin malaysia, terutamanya melayu, perlu menunjukkan dunia kemajmukan ini dengan nilai2 islam, bukan nilai2 kebangsaan melayu yang ekstrim, asal sahaja ada bangsa marah melayu, kita hunus keris, bukan itu caranya islam ajar…bila menolak islamlah, melayu tersungkur di bumi sendiri…

  6. To the deluded Malays that love to hug n kiss the eaters of the eaters of vile, (oink!) Yes U, I’m talking 2 U, ‘a in the hole’!
    Ur blinded hatred towards UMNO will destroy us all. Shame on U. I’m ashamed 2 have a Malay like U as my brother. Shame on U! All the huggers of the beloved timidly against the rule of Allah, Unconfucious Chinese, but so eager ever willing to kill his own Muslim brothers. Khawarij!

  7. Back at ya Iskandar the Bull! Yeah, U are a typical Khawarij ain’t ya sucker!

    Are U a member of the PIS party? Yeah, Parti Islam SeMalaya, never PAS. What PAS? PAS to Heaven or a PAS to Hell?

    No, I’m not your judge. I’m not as pious as Pok Nik. N I don’t think he is as pious as Prophet Musa a.s either.

    Remember the deadly sins, Ujub, Riak, Takabbur, Sombong!
    None would enter Paradise with an atom weight of Arrogance in his heart, remember?

    Screw U! PAS member that love to hug the butt man! The Great Leader of PKR, but eh, but eh, I’m afraid going to court in case I got eh screwed again of course!

  8. memang ada benarnya apa yang ditulis oleh dr riduan tee, kita pembaca menilai berdasarkan nilai hidup kita la… Bias penulis mesti ada walaupun dikatakan berdasarkan kajian n penyelidikan kerana ia bergantung juga nilai hidup beliau. Dr tee tulis dalam utusan mestilah bias ke UMNO tak payah pk la yang tu…. Kita baca n nilai saja. sekurang kurangnya dr tee lebih baik penulisan dr kita. Dia punya bias n kita punya nilai sama2 kena jawab depan ALLAH. tq

  9. saya terkilan malu bila org bukan melayu merajai isu survival melayu.kita sebenarnya tidak perlu org lain mempertahankan nasib masa depan kita.Sesungguhnya Tuhan tidak mengubah nasib kita jika kita tidak mengubahnya sendiri.Kita sememangnya tidak perlu seorang lagi Lak.Cheng Ho pd kurun ke 21.

  10. dari apa yang dr ridhuan tee kemukakan ini, dapatlah memberi manfaat kepada kita rakyat Malaysia, kususnya orng melayu islam..

    kebayakan Kita semua dah tahu.. dan sedia maklum, tentang apa yang dr ridhuan kemukakan pada kita..malah sebelum ni pun,rata-rata kita dah tahu tentang maslahah isu Dilema melayu,cina atau india dll..
    Tetapi pada pendapat saya tentang kesimpulannya, kita mahukan dan perlukan, (pemimpin), (kerajaan) ,(pendidik) dan (rakyat Muslim) yang kuat agamanya dan berjihad (Dengan Bersungguh2) dalam sentiasa memperbaiki, Apa jua urusan mereka Dengan lebih baik dari Masa ke semasa dan dari hari ke hari..barulah Negara (Malaysia) Kita akan lebih hebat dan dapat selesaikan masalah ini..
    soal melebih-lebihkan bangsa individu dalam sesuatu hal,perlulah mengambil masa yang agak panjang dan teruskan berjihad dan berdakwah demi untuk mengubahnya..
    senjata yang paling kuat untuk berdepan dengan cina dan india dalam soal ini, adalah (seni mempertahankan diri), (doa) dan (berdakwah kejalan allah) dengan (memberikan keadilan islam yang benar dan nyata), dan juga sekurang-kurangnya orang islam melayu itu sendiri, perlu bersungguh2 tunjukkan kehebatan agama islam itu, dengan gayanya yang tersendiri kepada orang bukan islam, berlimu yang setaraf dengan mereka dan tak lupa juga belajar bagaimana cara untuk berhujah dengan mereka dalam soal menjawap agama dengan baik, sekirannya ditanya mereka..
    Sentiasa mesti membuktikan kehebatan orang muslim itu sendiri, lebih hebat dan bagus dari orang bukan islam serta agamanya, melalui akhlak yang baik, tutur kata yang jelas, lembut dan tersusun, serta solat 5 waktu kepada allah s.w,t dan ilmu academic yang baik..
    sekiranya ini dapat dilakukan oleh kita (Muslim) kepada mereka (bukan islam) , saya berpendapat mereka akan kalah dan terus kalah..dan masalah kepentingan bangsa itu akan berkurangan..

    walaubagaimana pun, kita perlukan Pemimpin yang soleh dan tidak menyeleweng dalam menegakkan kebenaran

    -Eiman Badri-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s