Kerusi Panas MB Terengganu

23 11 2010

1. Terengganu Darul Iman adalah antara negeri yang sengit persaingan politik antara Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Selain Kelantan dan Kedah, ia adalah antara negeri yang pernah dikuasai oleh PAS.

2. Apabila jawatan Menteri Besar mula dipertandingkan dalam pilihanraya tahun 1959, PAS telah berjaya memenangi kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Terengganu. PAS pada 1959 memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu. PAS Pusat pada ketika itu dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Profesor Zulkifli Mohamad. Manakala PAS Terengganu pula dikepalai oleh Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri.

3. Walaupun Ustaz Ahmad Azzam adalah Pesuruhjaya negeri dan berjaya memenangi kerusi DUN Jeram, beliau tidak dilantik menjadi MB sebagaimana amalan siasah biasa kerana beliau bukan berasal dari negeri Terengganu. Sultan Terengganu telah memperkenankan ADUN Setiu iaitu Haji Mohd Daud Abdul Samad sebagai Menteri Besar.

4. Sepanjang menjadi Menteri Besar, Haji Mohd Daud menghadapi cabaran besar kerana pelbagai krisis dalaman yang berlaku. Wujud desakan agar Exco Kerajaan Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar. Speaker DUN Terengganu, Ustaz Taib Sabri Abu Bakar pula beberapa kali membuat ugutan untuk keluar parti. Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu Utara, Senator Tuan Guru Abbas Mohamed bertindak keluar PAS pada 22 Julai 1960. Perikatan (Umno) pula secara berterusan menyerang bertubi-tubi kerajaan PAS termasuk berusaha membeli wakil rakyat PAS.

5. Usaha menguatkan kerajaan dengan menubuhkan kerajaan campuran PAS-Parti Negara telah gagal walaupun ADUN Parti Negara, Ismail Abbas menyertai PAS kerana Timbalan Yang Dipertua Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad membawa tiga lagi ADUN Parti Negara menyokong Perikatan. Dua ADUN PAS iaitu Tuan Guru Abdul Kadir Mohamed (Kuala Terengganu Tengah) dan Tuan Guru Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) telah diculik oleh Perikatan. Akhirnya kerajaan PAS pimpinan Mohd Daud tumbang dalam satu undi tidak percaya di sidang DUN.

6. Oleh kerana ADUN dari Perikatan (Umno) dan Parti Negara membentuk undi majoriti dalam DUN Terengganu, seorang wakil Umno iaitu Ibrahim Fikri Mohammad telah dipilih sebagai MB Terengganu.

7. Tan Sri Ibrahim Fikri Mohammad adalah MB Terengganu yang agak tersohor di antara MB-MB Terengganu Umno yang lain. Sedikit sebanyak perselisihan politiknya dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Razak menjadikan beliau agak diingati dalam sejarah. Isunya adalah berpunca dari perbezaan pandangan tentang projek kelapa sawit yang dimajukan di Sungai Tong. Ketika beliau menjadi Menteri Besar, minyak petroleum di Terengganu belum diterokai. Tanah-tanah di Terengganu masih banyak yang terbiar. Getah adalah komoditi yang penting tetapi prospek getah tidak memberangsangkan.

8. Justeru itu beliau melihat potensi kelapa sawit seperti yang dianjurkan oleh Tan Sri Mohamad Jamil, Menteri Pertanian sebagai jalan keluar bagi meningkatkan hasil negeri. Lalu beliau merangka pelan membuka ladang kelapa sawit besar-besaran. Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin tidak menyokong rancangan kerana ia mahu dikendalikan oleh kerajaan negeri. Tun Razak sependapat dengan Tun Tan Siew Sin dan tidak menyetujui rancangan Menteri Besar Terengganu itu.

9. Ibrahim Fikri bagaimanapun bertegas meneruskan rancangannya walaupun tidak disetujui oleh Tun Razak.

10. Berselisih dengan Tun Razak bukanlah suatu perkara yang mudah. Imej Tun Razak ketika itu berada di tahap yang tinggi. Sekalipun Tunku Abdul Rahman Putra adalah Perdana Menteri tetapi beliau hampir bersara. Tun Razak menjadi harapan semua pihak untuk menjadi pimpinan baru Negara, malah ramai yang merasakan bahawa wibawa Tun Razak lebih ketara dari Tunku. Demikianlah sukarnya keadaan yang dihadapi oleh Tan Sri Ibrahim Fikri berhadapan dengan Tun Razak yang memuncak dan tidak senang dengannya.

11. Ada yang menyebut bahawa Ibrahim Fikri telah diberi pilihan mahu diberhentikan secara keras atau berhenti sukarela. Akhirnya Ibrahim Fikri meletakkan jawatan Menteri Besar di tengah-tengah tidak pengganti yang menonjol.

12. ADUN dari Kuala Berang yang tidak terkenal malah di kalangan UMNO iaitu Dato’ Mahmood Sulaiman telah menggantikan beliau. Dato’ Mahmood hanya sempat memimpin Terengganu selama beberapa bulan sahaja. Beliau dilantik sebagai MB peralihan kerana pada waktu itu Malaysia masih diperintah di bawah MAGERAN.

13. Pada September 1971, Dato’ Nik Hassan Abdul Rahman, bekas Setiausaha Sulit Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pula dilantik sebagai Menteri Besar yang baru. Era Dato’ Nik Hassan Abdul Rahman tidak banyak menyimpan sejarah yang menarik.

14. Pada September 1974, Terengganu sekali lagi bertukar teraju. Seorang intelektual Islam/ulama’ lulusan Sarjana (MA) Universiti Al-Azhar bernama Wan Mokhtar Wan Ahmad yang juga ADUN Chukai telah dipilih sebagai Menteri Besar Terengganu. Sebagai seorang MB berkelulusan agama, beliau telah berusaha mengangkat syiar Islam di Terengganu. Penggunaaan tulisan jawi pada papan-papan tanda dan kepala surat jabatan-jabatan kerajaan negeri dilakukan secara meluas. KUSZA juga ditubuhkan pada zaman beliau.

15. Walaupun Wan Mokhtar telah berjaya mentadbir Terengganu selama 25 tahun di samping kedudukan beliau yang agak kanan dalam parti (pernah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO), beliau akhirnya tumbang dalam pilihanraya 1999. Beliau dan pesaing rapatnya dalam Umno Terengganu iaitu Tan Sri Yusuf Noor hanya sekadar berputih mata apabila keputusan PRU 1999 hanya meninggalkan 4 kerusi DUN untuk Umno.

16. Akibat gelombang Reformasi 1998 yang melanda negara pada ketika itu, Wan Mokhtar akhirnya tewas mengejut. PAS telah memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN dan kemudiannya menamakan Pesuruhjaya PAS negeri iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai MB Terengganu yang baru.

17. Walaubagaimanapun, Haji Abdul Hadi Awang yang juga lulusan Sarjana (MA) Universiti Al-Azhar menghadapi kesukaran dalam menerajui kerajaan negeri kerana kerajaan persekutuan telah menarik balik royalti minyak sebanyak 5% yang menjadi hak negeri Terengganu dan menukarkannya kepada Wang Ehsan. Kekurangan dana yang ketara menyebabkan jentera pentadbiran kerajaan negeri tidak mampu bergerak dengan berkesan.

18. Menarik hak royalti milik negeri adalah suatu tindakan yang di luar jangkaan ramai rakyat yang waras, apatah lagi ia dicadangkan oleh anak jati Terengganu bernama Datuk Awang Jabar (Ketua Umno Bahagian Dungun) dalam sebuah Perhimpunan Agung UMNO. Namun bagi Umno, segala-galanya adalah tidak mustahil asalkan mereka dapat kembali berkuasa. Politik Machiavellian yang diamalkan oleh Umno termasuk menutup MRSM-YT akhirnya berjaya menumbangkan kerajaan PAS Terengganu pada pilihanraya umum 2004.

19. BN Terengganu menang 28 daripada 32 kerusi DUN Terengganu. Kerusi Dewan Rakyat pula ditawan kesemuanya termasuk kerusi Marang yang sebelum itu disandang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Umno mencadangkan Datuk Idris Jusoh sebagai MB Terengganu yang baru.

20. Walaupun kemenangan BN dikaitkan dengan imej bersih Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang masyhur dengan slogan ‘Islam Hadhari’nya, strategi BN di Terengganu sebenarnya banyak memberikan sumbangan. Dikatakan bahawa pemimpin-pemimpin BN Terengganu pernah berkampung sebulan lebih di luar negara untuk menyusun strategi bagi menawan kembali negeri tersebut. Datuk Idris Jusoh sememangnya boleh dinobatkan sebagai pakar strategi yang hebat di kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang ada di Malaysia. Sebab itu tidak hairanlah apabila beliau baru-baru ini dilantik sebagai Pengarah IT Barisan Nasional, suatu jawatan yang lazimnya dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri.

21. Malangnya, kehebatan Datuk Idris Jusoh tetap tidak menjamin beliau untuk terus menjadi MB walaupun BN menang besar dalam PRU 2008, di kala Tsunami Politik melanda hampir seluruh negara.

22. Datuk Idris Jusoh tidak diperkenankan oleh pihak Istana untuk dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu. Pihak Istana kemudiannya memperkenankan ADUN Kijal Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu yang baru walaupun mendapat tentangan keras daripada Umno negeri dan Umno pusat.

23. Walaupun diugut dan dikekang dengan pelbagai usaha oleh Umno (kem Idris Jusoh), Datuk Ahmad Said tetap berjaya menerajui negeri Terengganu sehingga ke hari ini. Beliau berjaya meningkatkan populariti apabila dengan tegas dan terbuka telah mendesak agar hak royalti minyak 5% dikembalikan, suatu usaha yang tidak berani dilakukan oleh MB sebelumnya.

24. Walaupun PRU 13 dijangka semakin hampir, krisis dalaman Umno masih berlanjutan sehingga hari ini. Kem Ahmad Said dan kem Idris Jusoh sedang menyusun strategi untuk memastikan masing-masing bakal mendapat tempat utama dalam PRU 13 nanti. PAS Terengganu pula masih ketandusan calon yang sesuai melainkan beberapa muka lama seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib dan Datuk Mustapha Ali. Strategi dan gerak kerja PAS masih bersifat status quo. Bakal MB Terengganu selepas ini masih menjadi tanda tanya.

25. Siapapun bakal MB Terengganu bukanlah persoalan yang paling penting. Apa yang paling mustahak adalah bakal MB tersebut mestilah sedar bahawa Terengganu masih sebuah negeri yang berada di belakang.

About these ads

Actions

Information

2 responses

24 11 2010
Ahmad Kamal Ihsan

Artikel yang menarik…mungkin hasbie bakal MB ganu akan datang…

28 07 2012
mohamad ridzuan

Terima kasih atas kupasan yang menarik.Kemas dari kaca mata pemuda.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 5,210 other followers

%d bloggers like this: