1. Saya ingin menulis serba sedikit tentang mahasiswa Cina di kampus. Pandangan saya ini mungkin terbatas melalui pemerhatian dan pengalaman saya sewaktu menuntut di Universiti Malaya. Namun, saya yakin senario ini hampir serupa di kampus-kampus lain di Malaysia.
2. Tujuan tulisan ini bukanlah untuk menzahirkan perbezaan antara kaum sebaliknya sebagai pengajaran untuk diperbaiki. Kelebihan kelompok tertentu wajar ditiru oleh kelompok yang lain untuk kebaikan bersama. Kelemahan kelompok tertentu pula sewajarnya diperbaiki agar kita sama-sama dapat membina negara yang kuat.
3. Memang umum maklum tentang kecemerlangan akademik jelas dikuasai oleh mahasiswa Cina. Senarai buku konvokesyen jelas menampakkan dominasi ketara mahasiswa cina bagi senarai pelajar kelas pertama. Mahasiswa Cina sememangnya jauh lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
4. Dari sudut politik, aktivisme mahasiswa Cina tidaklah ketara sebagaimana mahasiswa Melayu. Dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, majoriti mahasiswa Cina lebih cenderung dilihat menyokong kerajaan Barisan Nasional melalui proksinya Aspirasi. Namun jangan terkejut jika sebahagian besar daripada mereka sebenarnya lebih condong kepada Pakatan Rakyat di kertas undi.
5. Kaedah berpolitik mahasiswa Cina cukup strategik dan bijaksana. Keutamaan mereka sewaktu di kampus adalah mendapat keistimewaan untuk menginap di kolej kediaman. Kemudahan ini berkait rapat dengan keselesaan untuk mengulangkaji pelajaran di samping kos sara diri yang lebih rendah berbanding tinggal di luar.
6. Berbeza dengan mahasiswa Melayu, mahasiswa Cina sebenarnya mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap sebarang isu semasa samada politik, ekonomi dan sosial. Kadang-kala pandangan mereka dalam mengulas isu-isu semasa jauh lebih bernas dan jujur daripada media kelas rendah seperti Utusan Malaysia.
7. Walaupun mereka jarang dilihat turun berdemonstrasi di jalanan, pengetahuan sebahagian besar mahasiswa Cina ini kadang-kala jauh lebih baik daripada pengetahuan sesetengah jurucakap demonstrasi jalanan yang ucapannya berapi-rapi.
8. Saya fikir jika mahasiswa Melayu turut sama mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap isu semasa sebagaimana mahasiswa Cina, kampus akan menjadi institusi ilmu yang lebih bermakna.







Komentar