Isu PTPTN menguji ketulusan kasih Pak Lah pada mahasiswa

ptptn2Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) adalah isu kebajikan mahasiswa yang cukup penting. Ia kerapkali disuarakan oleh pemimpin parti-parti pembangkang dan persatuan-persatuan mahasiswa.

Namun beberapa hari yang lepas, ia telah dibangkitkan oleh Dato’ M. Kayveas dalam mesyuarat agung Parti Progresif Penduduk (PPP), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN). Respon positif daripada Perdana Menteri Malaysia yang mahu mengkaji semula cadangan pemansuhan caj pentadbiran PTPTN telah memberikan harapan baru kepada mahasiswa.

Beberapa sifat dan syarat pinjaman yang ‘tidak mesra peminjam’ telah meletakkan pinjaman PTPTN sebagai pinjaman yang menekan dan menghimpit pelajar. Kadar faedah atau caj pentadbiran yang dikenakan sebanyak 3% setahun (dikompounkan secara bulanan) adalah tidak relevan dalam usaha kerajaan mahu melahirkan modal insan gemilang.

Mahasiswa yang meminjam akan dibelenggu hutang PTPTN selama lebih 10 tahun dengan kadar faedah (caj pentadbiran) melebihi RM3500. Itupun jika peminjam membayar pada masa yang ditetapkan. Bagi peminjam yang gagal atau sukar untuk menepati tempoh pembayarannya, kadar faedah yang dikenakan akan terus berlipat kali ganda, persis pinjaman Along .

Seharusnya, pinjaman PTPTN yang diberikan kepada mahasiswa perlu menjadi antara bukti bahawa negara ini adalah negara berkebajikan yang komited dalam melahirkan tenaga manusia yang berkualiti. Namun, lantaran caj pentadbiran yang tinggi serta tempoh permulaan pembayarannya yang agak singkat telah menampakkan ia sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan bagi pihak tertentu dan menjadikan mahasiswa sebagai lapangan pelaburan yang menguntungkan. Natijahnya, ramai graduan yang terhimpit dan tersepit dengan hutang piutang sehingga melalaikan dan memperlahankan mereka pada tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.

Ironinya, sebagai sebuah kerajaan yang sedang berusaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 dengan Misi Nasional yang cukup mantap, kerajaan harus peka tentang perkara ini. Jika kerajaan menerima 3 tuntutan utama mahasiswa berkaitan isu ini, maka sudah pasti ia akan menjadi bukti utama keprihatinan kerajaan Malaysia pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada golongan mahasiswa.

Tiga tuntutan yang saya maksudkan adalah:
1) Memansuhkan atau menurunkan kadar faedah (caj pentadbiran) 3% yang membebankan mahasiswa.
2) Melanjutkan tempoh permulaan pembayaran dari 6 bulan selepas tamat pengajian kepada 18 bulan selepas tamat pengajian supaya peminjam benar-benar stabil dengan kerjaya dan kedudukan kewangan untuk mula membayar pinjaman.
3) Menukar status 1/3 satu pertiga daripada jumlah pinjaman kepada biasiswa bagi mahasiwa yang tamat pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda kelas kedua tinggi sebagai motivasi buat mahasiswa untuk cemerlang dalam pelajaran.

Tuntutan ini amat biasa bagi sebuah kerajaan yang kaya, namun ia adalah amat bermakna bagi mahasiswa atau graduan yang masih belum punyai kedudukan kewangan yang stabil. Ia juga adalah bukti kasih kerajaan Barisan Nasional dan Pak Lah yang paling tulus buat mahasiswa menjelang Pilihanraya Umum ke-12 yang semakin hampir.

Mohd Hasbie bin Muda,
Ahli Majlis Tertinggi,
Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).
50300 Kuala Lumpur.

(Catatan penulis: Artikel ini dipetik dari akhbar online Malaysiakini pada oktober 2007.)

One thought on “Isu PTPTN menguji ketulusan kasih Pak Lah pada mahasiswa

  1. Kadar faedah PTPTN teramat rendah…
    Victor | Oct 29, 07 4:57pm

    Saya menulis untuk membalas surat saudara Mohd Hasbie Muda PTPTN: Tiga tuntutan utama mahasiswa. Sebagai seorang bekas peminjam PTPTN, saya tidak faham dengan tuntutan saudara. Kadar faedah yang dikenakan PTPTN sudah teramat rendah.

    Jika saudara membuat pinjaman kereta atau rumah, kadar faedahnya hampir berganda. Saudara berkata kadar faedah yang dikenakan PTPTN selama 10 tahun berjumlah RM3,500. Sebenarnya, ini tidak sampai RM30 sebulan.

    Adakah sebagai mahasiswa begitu sukar untuk membayar RM30 sebulan sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang telah berbesar hati meminjamkan RM28,000 kepada saudara untuk kursus selama empat tahun?

    Sebagai mahasiswa, bukankah tanggungjawab saudara untuk melangsaikan pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan? Persamaan dengan pinjaman Along adalah sangat tidak tepat. Kadar faedah dari Along hampir 20 peratus!

    Saudara, tidakkah tempoh enam bulan yang diberikan kerajaan sangat bersesuaian? Sebagai contoh, saya telah mencari pekerjaan sebelum saya menamatkan pengajian lagi. Adalah tanggungjawab saudara untuk memikirkan bagaimana hendak menangani isu kewangan ini.

    Tambahan pula, tuntutan saudara bahawa semua pelajar dengan ijazah kelas kedua tinggi diberi biasiswa, adalah tuntutan yang langsung tidak munasabah.

    Saya rasa semua orangpun tahu bahawa ijazah kelas pertama dari universiti tempatan sekalipun, tidak dipandang tinggi oleh mana-mana syarikat. Apa yang penting ialah “survival skill” anda di alam pekerjaan dan inisiatif anda sendiri.

    Dan tanggapan bahawa kerajaan kita kaya? Saya bersetuju dengan pendapat ini. Kalau tidak, dari mana kerajaan ada duit untuk hantar angkasawan ke bulan dan beli senjata berbilion-bilion ringgit. Jadi jangan bimbang, mungkin kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan saudara.

    (komentar ini disiarkan di malaysiakini.com pada okt 29,2007)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s