Mansuhkan Syarat Ekuiti Bumiputera 30 Peratus?

Menurut Utusan Malaysia 28 Oktober, MCA meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Naib Presidennya, Datuk Liow Tiong Lai berkata berpendapat bahawa elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kini adalah daya saing yang kuat bagi membolehkan negara berhadapan dengan kesan buruk ekonomi dunia.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang melahirkan keyakinan bahawa unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato’ Hussein. Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:

  • Mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
  • Mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Di antara strategi ke arah mencapai matlamat yang kedua adalah memastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

Pada pendapat saya, syarat pegangan ekuiti 30 peratus oleh Bumiputera bukanlah perkara penting yang perlu dibangkitkan oleh MCA jika menyentuh soal DEB.

Sebaliknya soal ketelusan dalam pembahagian kek ekonomi di kalangan rakyat keseluruhannya adalah jauh lebih utama. Perlaksanaan tender terbuka dalam kegiatan ekonomi masih dijalankan secara acuh tak acuh oleh kerajaan. Kalaupun wujud, tender-tender itu sentiasa cenderung untuk hinggap di tangan korporat-korporat Bumiputera yang ada kaitan erat dengan pihak pemerintah.

Kerajaan perlu memikirkan mekanisme terbaik supaya penjawat-penjawat awam yang bertanggung jawab untuk menentukan bidaan tender mana yang terbaik perlu memilihnya secara profesional tanpa terikat dengan kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Kini, kita menyaksikan bukan tender yang paling rendah kosnya serta paling efisyen yang memenangi tender kerajaan atau frasarana dalam persekitaran ekonomi terbuka, sebaliknya golongan yang paling rapat dengan pemerintah dengan kesanggupan untuk mengeluarkan duit kopi untuk mendapat kontrak tersebut. Ini adalah barah yang perlu dihapuskan segera. Ketelusan ini juga harus dikukuhkan dengan perlaksanaan undang-undang yang telus dan dilihat telus di negara kita.

Berbalik kepada syarat ekuiti 30 peratus. Saya berpendapat bahawa ia tidak boleh dijadikan salah satu asbab utama yang memungkinkan daya saing di kalangan syarikat-syarikat perniagaan di Malaysia ini lemah.

Kita perlu melihat kepada pelbagai faktor lain yang menyebabkan perkara itu berlaku. Misalnya soal kesenangan berniaga di Malaysia yang perlu diperkasakan secara bersungguh-sungguh. Selain itu, cukai korporat di negara ini iaitu 26 peratus masih jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara tertentu seperti Singapura (20 peratus) dan Hong Kong (17.5 peratus).

Oleh itu, cadangan untuk menghapuskan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera belum sesuai untuk dibangkitkan pada masa ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s