Petikan Akhbar Sempena SIDANA ’09

Saya tertarik untuk berkongsi 2 lontaran pandangan yang dikemukan oleh 2 tokoh (Datuk Ibrahim Ali dan Saudara Feriz Omar).Kedua-duanya diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

1) Jangan Ganggu Mahasiswa (Arkib 2 Mac 2009)

KUALA LUMPUR 1 Mac – Parti-parti politik diminta tidak mengganggu atau mempengaruhi persatuan-persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi mengelak berlakunya perpecahan di kalangan pelajar.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, campur tangan parti-parti politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang hanya akan mengeruhkan keadaan dan memecah-belahkan perpaduan mahasiswa.

Menurutnya, campur tangan itu menyebabkan persatuan mahasiswa kini turut terbabit dengan isu-isu sensitif mengenai agama, perkauman dan bahasa yang boleh mewujudkan polarisasi di kalangan mereka.

”Biarkan persatuan mahasiswa bergerak tanpa pengaruh luar, biar mereka pilih haluan sendiri agar mereka dapat membentuk jati diri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia di Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau menambah, campur tangan parti-parti politik hanya menjadikan persatuan mahasiswa kaku dan lesu jika dibandingkan dengan persatuan mahasiswa dahulu terutama pada era 70-an.

“Pada era saya, pemimpin dan kepimpinan pelajar di IPTA juga tidak memihak kepada mana-mana parti politik di luar kampus, kami berjuang ikut aspirasi dan misi kami sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

“Kami bertindak menentang kerajaan bukan kerana menjadi boneka kepada sesiapa, kami membangkang, menentang dan buat tuntutan semata-mata demi kepentingan seluruh pelajar,” katanya.

Ibrahim adalah bekas Presiden Kesatuan Siswazah ITM dan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia pada era 70-an.

Jelas beliau, perjuangan persatuan mahasiswa pada eranya tidak berpaksi pada sesiapa kerana mahasiswa ketika itu bukan sahaja tidak sehaluan dengan kerajaan, tetapi juga tidak sehaluan dengan pembangkang.

Sehubungan itu, beliau juga meminta kepada persatuan-persatuan mahasiswa di IPTA agar mengelak daripada mengaitkan diri dengan mana-mana parti politik dan perlu bersifat neutral.

“Saya beranggapan bahawa corak perjuangan mahasiswa Islam Malaysia ketika ini seolah-olah sudah menjadi ‘ideology based’ atau bertukar menjadi perjuangan berasaskan ideologi siasah di luar kampus.

“Pada saya, perubahan paksi perjuangan yang ‘ideology based’ ini boleh menyebabkan perpecahan di kalangan generasi muda Islam di peringkat IPTA,” katanya.

Menurutnya, perjuangan persatuan mahasiswa hari ini yang banyak berasaskan ideologi politik tertentu adalah sesuatu yang kurang sihat.

Selain menumpukan pada masalah tempatan, beliau juga menyarankan agar persatuan mahasiswa memberikan juga perhatian terhadap isu antarabangsa terutama yang melibatkan dunia Islam kini.

“Abad ke-21 adalah abad yang amat mencabar kepada agama Islam, dunia Islam dan umat Islam di serata dunia. Cabaran global ini menuntut umat Islam sejagat untuk mengeratkan perpaduan dan mengukuhkan tekad perjuangan biar menjadi sangat tajam, fokus dan berwibawa,” katanya.

2) Mahasiswa Islam Perlu Fahami Konsep Keutamaan (Arkib 3/02/09)

KETERBATASAN mahasiswa bantut kepimpinan masa depan?

Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia 2009 (SIDANA ‘09) yang diadakan di Universiti Malaya pada hari Sabtu, 28 Februari 2009 lalu telah menarik ratusan kepimpinan mahasiswa dari seluruh negara. Dalam mengimbangi kecelaruan politik negara di luar kampus dan juga penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ketat, program perbincangan intelektual aman sebegini sepatutnya mendapat perhatian penuh kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan sekurang-kurangnya menghantar wakil pengurusan tertinggi ke majlis perasmian SIDANA 09 yang lalu.

Ini sebenarnya cabaran kali ke-4 yang saya terima untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa di kampus di bawah tajuk perbandingan “Mahasiswa Luar Negara dan Mahasiswa Dalam Negara.”

Jemputan saya untuk mewakili kepimpinan NGO-NGO Malaysia telah saya guna sebaik-baik mungkin untuk berkongsi ilmu dalam merungkai pelbagai isu yang membelenggu warga kampus semua universiti di Malaysia.

Harapan ikhlas saya adalah untuk melihat mahasiswa-mahasiswi negara terus diwakili oleh kepimpinan yang mempunyai critical mind dan tidak mudah dimanipulasikan atau ditunggang oleh kepimpinan politik luar kampus.

Islam, jawapan kepada semua kekeliruan

Hari ini begitu ramai pemimpin Melayu yang menyeru bangsa Melayu untuk bangkit dan mencapai wawasan-wawasan besar seperti pembentukan personaliti agung (towering personality), memartabatkan ketuanan Melayu dan sebagainya.

Memang benar mereka cuba menjadi pemimpin-pemimpin Melayu yang idealis namun seingat saya, sewaktu berdialog bersama pemimpin-pemimpin begini, persoalan asas yang saya duga seperti “Siapakah aku seorang Melayu?” masih lagi gagal dijawab mereka dengan baik.

Kegagalan untuk menjawab persoalan fundamental seperti itu adalah jawapan mengapa permasalahan hari ini berlaku. Sudah terang lagi bersuluh. Permasalahan hari ini berpunca daripada isu jati diri dan isu roh yang lemah. Apabila roh lemah, kita mudah dilanda kekeliruan dan ramai juga yang mengambil kesempatan. Sebaliknya apabila roh kita kukuh, biar dilanda pelbagai cabaran sekalipun, Melayu dan Islam tetap utuh.

Melayu dan Islam perlu bersatu

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita Ehud Olmert dari parti Kadima yang diangkat menjadi Perdana Menteri Israel sekalipun jumlah peratusan undi rakyat yang diperolehnya kurang satu peratus daripada parti yang sebenarnya meraih undian terbesar pada pilihan raya umum Israel yang lalu.

Dalam situasi sama pada tahun 1969, Parti Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak berjaya mentadbir Pulau Pinang sekalipun kalah dalam pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri setelah parti Gerakan yang diterajui oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Atas membuat keputusan untuk menyertai Perikatan.

Kedua-dua senario ini dicapai atas kata sepakat parti-parti bukan komponen kerajaan yang masih mahu wawasan bangsa dan agama dicapai sekalipun mereka memegang manifesto perjuangan yang sedikit berbeza.

Dalam kecelaruan politik hari ini, Melayu dan Islam juga perlu bersatu agar kita terus dapat memastikan isu-isu negara berada dalam ruang lingkup yang masih boleh dikawal. Adalah menjadi amanah kita juga sebagai kepimpinan muda untuk merancakkan usaha mencari persamaan dan bukannya perbezaan agar bangsa Melayu dan agama Islam bersatu di Malaysia.

Tetapi dalam keadaan kita perlu bersatu, ada juga yang tergamak menganjurkan perbahasan terbuka semata-mata untuk meraih populariti.

Gerak kerja kepimpinan efektif

Kepimpinan mahasiswa di kampus dan parti-parti politik perlu mengkaji visi, aspirasi dan kerangka gerak kerja efektif yang menjadi driving force kepada tindak balas NGO-NGO terhadap permasalahan masyarakat.

Selain daripada berjuang berpandukan al-Quran, Hadis dan Sunnah, Ijma’ serta Qiyas, terdapat empat prinsip gerak kerja yang saya amalkan dan boleh diguna pakai dalam perjuangan kepimpinan muda.

Pertamanya, Islam adalah agama syumul yang cukup lengkap mengatur cara politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Kedua, keutamaan hidup adalah mendahulukan (i) Allah; (ii) diri sendiri; (iii) keluarga; (iv) jiran, sahabat dan saudara mara; dan (v) masyarakat. Ketiga, memegang keyakinan tinggi bahawa Allah jualah yang sebenar-benarnya memberikan rezeki. Keempat, laksanakan amanah dan tanggungjawab seperti tiada hari esok.

Dalam prinsip gerak kerja kedua, keutamaan seorang mahasiswa dalam pendidikan jatuh dalam kategori keutamaan untuk diri sendiri. Ini bermaksud, sekiranya pemimpin mahasiswa itu tidak cemerlang dalam pelajarannya maka dia tidak layak untuk mengutamakan orang ramai yang dipimpinnya.

Fikir-fikirkanlah, ramai juga pemimpin mahasiswa masa kini yang tidak memahami konsep keutamaan ini. Sebagai contoh, graduan yang keluar universiti, pandai-pandai terjun ke arena politik mendahulukan masyarakat, sedangkan belum lagi masuk ke dunia kerjaya sebenar dan memperoleh pendapatan kukuh untuk menyara keluarga.

Tidak kira sama ada kita belajar di institusi mana sekalipun tetapi jika pendidikan awal tidak diasuh dengan pendidikan agama Islam dan sejarah bangsa Melayu dan Malaysia, maka pemimpin yang kita lahirkan akan memakan diri, menjual negara dan mengamalkan strategi ‘politik gila-gila’ !

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s