Ancaman Terbesar PAS

1. Apakah ancaman dan masalah terbesar bagi parti PAS pada masa kini?

2. Kerajaan Perpaduan? Bagi saya tidak. Kerajaan Perpaduan bukanlah ancaman atau masalah sebaliknya ia adalah kesempatan untuk menilai tahap kebijaksanaan PAS dan ahli-ahlinya.

3. Cadangan Kerajaan Perpaduan adalah baik dan bernas. Pelbagai tafsiran boleh dibuat pada istilah itu. Ia mungkin dimaksudkan dengan sebuah kerajaan yang melibatkan pelbagai parti yang berbeza. Masing-masing memainkan peranan sebagai kerajaan dan pimpinan-pimpinannya berpeluang untuk berada dalam kabinet Jemaah Menteri. Ini tafsiran secara akademik, bersesuaian dengan konteks negara kita yang melaksanakan sistem Demokrasi Berparlimen.

4. Ia berbeza dengan konteks negara Republik Indonesia yang mengguna pakai sistem Demokrasi Parlimenter. Presiden dan Timbalan Presidennya adalah dari dua parti berbeza yang memenangi banyak kerusi dalam pilihanraya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan bergandingan dalam Pemilihan Umum Presiden dan Wakil Presiden (PILPRES). Ia juga berbeza dengan konteks negara Israel yang mana parti-parti di negara mereka yang berbeza ideologi akan bergabung untuk membentuk kerusi majoriti dalam Dewan Perwakilan (Knesset) sekaligus menjadi kerajaan. Parti Buruh mungkin akan bergabung dengan parti Likud untuk membentuk kerajaan jika dengan cara itu jumlah majoriti mereka boleh mengatasi kerusi parti Kadima. Mereka adalah parti yang berbeza dan tidak terikat antara satu sama lain.

5. Di Malaysia, Barisan Nasional tidak boleh dianggap ‘Unity Government’ sebaliknya ‘Coalition Government’ kerana mereka bertanding di bawah satu parti yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Barisan Nasional adalah parti besar yang menelan parti-parti kecil di dalamnya sebagaimana berlaku kepada PPP, PGRM, PAS sewaktu menyertai Perikatan pada 1973. Maknanya secara akademik jika PAS menyertai Barisan Nasional, istilah Kerajaan Perpaduan tidak boleh digunapakai kerana PAS telah terikat dengan disiplin parti di bawah parti Barisan Nasional.

6.  Konsep Kerajaan Perpaduan hampir boleh dilihat bersamaan dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini serta kerajaan di Selangor pada hari ini. PAS, DAP dan PKR adalah parti yang berbeza namun membentuk kerajaan. Mereka tidak terikat dengan sebarang peraturan sebaliknya bergerak atas prinsip hormat-menghormati dan saling memahami di antara satu sama lain. Bila-bila masa mereka boleh berpecah.

7. Tafsiran secara politik pula mungkin lebih luas. Konsep Kerajaan Perpaduan itu mungkin melibatkan perpaduan di antara kerajaan Pusat dengan kerajaan-kerajaan Negeri walaupun berbeza parti yang menguasainya. Ia melibatkan prinsip hormat-menghormati dalam menjalankan pemerintahan berdasarkan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama di dalam jadual Dua Perlembagaan Malaysia. Selain itu, kita juga boleh menganggap bahawa Kerajaan Campuran atau ‘Coalition Government’ sebagai salah satu bentuk ‘Unity Government’. Ini definisi yang lebih luas secara politiknya, namun bukan lagi secara akademik.

8. Tafsiran yang pelbagai ini memang memeningkan ahli-ahli PAS tidak kira samada mereka faham atau tidak tentang Kerajaan Perpaduan. Lebih memeningkan lagi apabila pimpinan-pimpinan PAS yang miliki puluhan media dan jentera penerangan parti tidak mampu memberikan penerangan yang jelas dan terang kepada ahli-ahlinya. Penerangan yang boleh mengelakkan pelbagai salah faham dan bibit-bibit pemberontakan senyap (silent protest) akibat salah faham yang berlaku itu. Lebih malang apabila pimpinan menunjukkan pertelagahan terbuka yang langsung tidak matang. Terbaru kenyataan keras Mursyidul Am PAS yang mengecam secara terbuka Timbalan Presiden gara-gara isu Kerajaan Perpaduan yang dimain-mainkan media. Ini sangat memalukan.

9. Di sebalik isu kerajaan perpaduan dan pelbagai lagi isu-isu berbangkit yang lain, satu isyarat jelas yang harus dinilai oleh pimpinan PAS adalah tentang kualiti ahli-ahlinya yang masih belum mampu menghadapi persoalan-persoalan yang rumit dan luar kebiasaan. Keadaan ini sebenarnya disebabkan oleh kurang dan sempitnya budaya membaca di kalangan mereka. Inilah ancaman terbesar PAS.

10. Dunia telah banyak berubah dan zaman semakin maju. Ahli-ahli PAS (termasuk pimpinan) seharusnya tidak lagi menjadi manusia yang hanya pakar dalam satu-satu bidang semata-mata. Memang ramai yang suka membaca – namun hanya gemar membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang kepakarannya semata-mata. Para Ulama’ dengan kitab-kitab agamanya, doktor perubatan dengan dengan buku-buku perubatannya, ahli ekonomi dengan buku-buku ekonominya, jurutera dengan buku-buku kejuruteraannya, ahli korporat dengan buku-buku perniagaannya dan remaja dengan novel-novel cintanya. Keadaan ini bagus, namun ia tidak lebih daripada menghasilkan ahli PAS yang pakar dalam satu bidang sebaliknya jahil dan sangat dangkal dalam ratusan bidang-bidang yang lain. Maka, apa bezanya mereka dengan golongan yang langsung tidak membaca? Melainkan sedikit perbezaan – mereka sebenarnya sama.

11. Ramai remaja-remaja dan pemuda-pemuda Islam di Malaysia pada hari ini yang bercita-cita besar mahu menjadi pemimpin negara. Mereka mahu menjadi para amilin barisan hadapan parti yang akan meletakkan PAS di puncak kuasa pada suatu hari nanti. Cita-cita mereka ini bagus, namun tanpa ilmu yang cukup mahu ke mana mereka?

12. Kepada para pimpinan, bakal-bakal pimpinan, para amilin (aktivis) serta bakal-bakal amilin parti yang mahu melihat partinya kuat pada suatu masa nanti, anda hanya  ada dua pilihan. Samada anda perlu mendapatkan sekurang-kurangnya lima ijazah dalam lima bidang yang berbeza (Misalnya Sarjana Muda Ekonomi, Undang-Undang, Sains Politik, Syariah serta Kejuruteraan) ataupun anda perlu mula membaca buku-buku dalam semua lapangan ilmu.

13. Masa terbaik untuk mula membaca buku pelbagai bidang ilmu adalah 10 atau 20 tahun yang lalu, namun masa kedua terbaik adalah pada hari ini!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s