Di Sebalik Dasar Ekonomi Baru (DEB)

1. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan di Malaysia antara tempoh 1970 hingga 1990. Oleh kerana dasar tersebut telah tamat sejak 19 tahun yang lalu, maka sebarang pertikaian mengenai DEB hanyalah bersifat retorik dan polemik semata-mata. Isu yang sebenarnya perlu dibincangkan bukanlah DEB, sebaliknya tindakan affirmatif (affirmative action).

2. Apakah itu tindakan affirmatif?

3. Affirmative action adalah satu bentuk diskriminasi positif dalam penggubalan polisi tertentu yang mengambilkira soal kaum, etnik, agama, jantina dan status kecacatan agar dapat mencapai peluang yang sama (equal apportunity) di dalam apa-apa bidang. Bidang yang biasanya dikaitkan dengan tindakan affirmatif adalah bidang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perniagaan (kontrak awam).

4. Pelbagai negara di dunia ini melaksanakan tindakan affirmatif termasuklah negara-negara maju. Antaranya Amerika Syarikat, Jepun dan juga Britain. Namun kebiasaannya, tindakan affirmatif di negara-negara mereka hanya melibatkan golongan etnik minoriti yang kebiasaannya lemah dan tertindas.

5. Di Malaysia, adakah orang Melayu lemah dan tertindas?

6. Orang Melayu adalah separuh (50.6 peratus) daripada jumlah 26 juta orang penduduk Malaysia. Orang Cina pula 25 peratus dan orang India sekitar 7 peratus. Sebahagian besar tindakan affirmatif dilaksanakan terhadap orang Melayu. Sekali lagi, adakah orang Melayu lemah dan tertindas? Dan adakah kaum penduduk majoriti ini rela dianggap lemah dan tertindas?

7. Tidak dinafikan bahawa ramai orang Melayu hari ini sudah berasa malu untuk mengakui bahawa mereka adalah dari golongan lemah dan tertindas. Seboleh mungkin mereka tidak mahu lagi sebarang tindakan affirmatif terhadap bangsa mereka. Kebanyakan daripada mereka itu sebenarnya adalah anak-anak Melayu yang sudah berjaya hasil tindakan affirmatif kerajaan pada masa lalu. Dulu, mereka juga adalah dari golongan orang Melayu yang lemah dan tertindas.

8. Kita tidak perlu malu untuk mengakui bahawa bangsa Melayu pada hari ini sememangnya masih lemah dan tertindas. Mengapa harus malu pada hakikat ini sedangkan kita tahu bahawa tindakan affirmatif yang dilaksanakan dan DEB pada tahun 1970 hingga 1990 tidak berkesan sepenuhnya. Ada perubahan namun tidak mencapai sasaran.

9. Kita tidak perlu malu dengan orang Cina kerana mereka lebih kompeten dalam banyak bidang. Mereka unggul dalam pendidikan dan mereka juga hebat dalam perniagaan. Hasilnya, mereka dapat menikmati sebahagian besar kek ekonomi negara. Kompetensi itu bukanlah sifat semula jadi mereka. Berbanding dengan bangsa Jepun, mereka juga lebih lemah dan ketinggalan. Orang Cina di Malaysia adalah datang dari keturunan Cina Tanah Besar China. Nenek moyang mereka telah mewariskan intipati tamadun yang cukup berharga dalam aspek kehidupan. Tamadun Cina telah wujud jauh lebih lama daripada tamadun orang Melayu di Nusantara ini. Ketamadunan yang lebih matang serta wujudnya masalah dan ancaman sewaktu di Tanah Besar China sebenarnya telah banyak mengajar mereka untuk menjadi bangsa lebih kuat demi survival hidup mereka. Pengalaman dan ilmu yang diperolehi hasil pergolakan hidup yang berpanjangan itu telah diwarisi dari generasi ke generasi. Hasilnya, kaum Cina pada hari ini telah menjadi begitu teliti dan bijak dalam setiap aspek kehidupan yang mereka lalui.

10. Berbeza dengan orang Melayu, ketamadunan kita masih baru – belum mencecah seabad. Semasa awal era Kesultanan Melayu Melaka, ancaman yang wujud adalah kecil dan sedikit. Antaranya adalah ancaman lanun-lanun di kawasan laut serta binatang buas di kawasan hutan. Tanah Melayu pada ketika itu tidak terdedah dengan ancaman letusan gunung berapi, ancaman cuaca melampau ataupun ancaman pergaduhan puak-puak secara besar-besaran. Hasilnya , kaum Melayu menjadi begitu selesa. Mereka tidak perlu berfikir dan berkerja dengan kuat. Pepatah “Ulat dalam batu pun boleh hidup, ini kan pula manusia” paling tepat untuk menggambarkan situasi pada zaman itu. Hari-hari yang mereka lalui begitu hambar, tiada inovasi dan penciptaan teknologi baru. Mereka hanya melalui hari-hari dengan rutin biasa sahaja. Hasilnya, tidak banyak yang mereka pelajari dalam kehidupan dan sudah tentu tidak banyak jugalah yang mereka boleh warisi kepada generasi yang terkemudian.

11. Apabila Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511, orang Melayu tidak mampu memahami keadaan yang berlaku apatah lagi memikirkan cara untuk mengalahkan Portugis. Akal nenek moyang kita pada ketika itu tidak mampu memikirkan jalan untuk menewaskan Portugis kerana mereka terlalu jauh dari kemajuan pemikiran dan inovasi teknologi yang kaum Eropah itu telah miliki. Mereka terkejut dan teruja dengan orang asing yang sedang menjajah mereka. Penjajahan demi penjajahan yang berlaku dalam tempoh yang panjang itu sedikitpun tidak mampu memaksa orang Melayu untuk berfikir dan berkerja dengan kuat. Walaupun ada, ia hanyalah penentangan-penentangan kecil yang lebih bersifat fizikal semata-mata. Seribu kali malang, tempoh yang lama dijajah itu turut menjadikan orang Melayu berasa begitu rendah diri dan tidak berkeyakinan.

12. Kita tidak mewarisi banyak perkara yang boleh dibanggakan daripada nenek moyang kita. Adakah kita juga mahu melakukan sedemikian kepada anak-anak cucu kita?

13. Dasar Ekonomi Baru adalah dasar yang baik dan telah diwujudkan tepat pada masanya. Diharapkan dengan dasar tersebut, taraf hidup orang Melayu akan meningkat. Kerajaan berpendapat apabila ramai usahawan melayu diwujudkan melalui monopoli kontrak awam dan peluang perniagaan kepada orang Melayu, maka taraf hidup orang Melayu secara keseluruhannya akan meningkat. Orang Melayu yang sudah berjaya itu dijangka akan turut membantu orang Melayu yang masih lemah untuk turut sama berjaya.

14. Namun ternyata pendapat itu salah. Kelahiran tokoh-tokoh korporat dan ahli perniagaan Melayu tidak langsung membantu memperbaiki taraf hidup kaum Melayu secara keseluruhanya. Apabila mereka (korporat dan ahli perniagaan) mendapat kekayaan hasil projek yang mereka perolehi, kekayaan itu tidak dikongsi ataupun sekurang-kurangnya digunakan untuk membantu membiayai pendidikan anak bangsa di pinggir desa yang miskin sebagaimana dilakukan oleh orang Cina dan orang India kepada anak bangsa mereka. Sebaliknya kekayaan yang diperolehi itu digunakan untuk melobi projek baru bagi mendapat kekayaan yang lebih besar. Projek-projek negara wang diumumkan dalam segala jenis pakej rangsangan ekonomi hanya mampu membuncitkan perut segelintir golongan kaya-raya Melayu ini. Hasilnya, lahirlah kelompok aristokrat Melayu kaya-raya yang hidup dalam dunia mereka sendiri. Lebih malang apabila Melayu-Melayu Kayangan itu tetap tegar bercakap tentang survival bangsa Melayu dan hak-hak orang Melayu yang tertindas. Hakikatnya, golongan Melayu itulah yang menindas Melayu. Mereka adalah pengkhianat Melayu yang sebenarnya!

15. Dari hari ke hari orang Melayu sebenarnya semakin lemah. Walaupun kita masih punya kuasa politik, itu tidak diguna dan diuruskan dengan baik. Kuasa politik itu masih kita pegang kerana orang Melayu masih ramai di negara ini. Orang Melayu masih mencatatkan kadar fertiliti yang tinggi berbanding kaum-kaum lain. Kadar fertiliti yang tinggi itu bagus kerana ia akan terus membanyakkan orang Melayu dari sudut kuantiti. Namun belum tentu dari sudut kualiti. Anak yang ramai kebiasaannya sukar dijaga.

16. Pada hari ini orang Melayu benar-benar berada dalam dilema. Dilema Melayu pada kali ini adalah lebih parah dan menyayat hati. Ia jauh lebih parah dan menyayat hati daripada yang telah disebutkan oleh Dr. Mahathir dalam bukunya, Dilema Melayu.

17. Hari ini, kita segan dan malu untuk terus dilayan dengan tindakan-tindakan affirmatif kerajaan seolah-olah kita terlalu lemah dan cacat. Namun untuk meninggalkan tindakan -tindakan affirmatif tersebut, kita mungkin terpaksa melihat anak-anak Melayu kita yang masih miskin dan lemah terpaksa berjuang sendirian – tanpa ada pertolongan dari orang Melayu kaya yang telah berjaya.

~Petikan di Mstar

3 thoughts on “Di Sebalik Dasar Ekonomi Baru (DEB)

  1. dasar tindakan affrirmatif ini memang diakui banyak kebaikannya terutama pada orang melayu namun akibat salah guna kuasa dan ketirisan dalam pentadbiran maka hilanglah kredibiliti kerajaan yang telus dan bermaruah maka ini harus dilihat dan diambil iktibar oleh Kaum Melayu agar tidak lagi leka dengan kuasa dan memajukan diri sendiri

  2. (komentar petikan dari blog)

    Kecamukkan fakta dan ketumpulan pemikiran yang mungkin berpunca daripada kekurangan pembacaan bercampur dengan perasaan yang cukup emosional serta dikaburi dengan luahan ideolisma prejudis telah mencacatkan penyampaian ide melalui penulisan oleh Presiden Majlis Pimpinan Mahasiswa Ekonomi, Mohd Hasbie Muda di dalam sebuah rencana yang dipaparkan di halaman 13, Mingguan Wasilah edisi 28 Jun – 4 Julai 2009.

    Penulisan beliau yang bertajuk ‘Wajarkah tindakan Affirmatif diteruskan’ pada hemat saya tidak mencatatkan pendirian yang nyata samada menyokong penerusan polisi ‘affirmatif’ yakni yang ditekankan di dalam rencana tersebut adalah New Economic Policy (NEP)/Dasar Ekonomi Baru (DEB), ataupun dasar tersebut perlu ditambah-baikkan mahupun digantikan dengan sebarang polisi ekonomi yang sekurang-kurangnya setara mungkinpun yang lebih baik. Sebaliknya Mohd Hasbie Muda telah mengambil kaedah tidak langsung dan menyerahkan kepada pembaca untuk mentafsirkan samada beliau menyokong ataupun membantah.

    Turut mengusutkan lagi hujah-hujah beliau, pemimpin pelajar ini tidak sedikitpun memuatkan sebarang rumusan atau kupasan tentang Dasar Pembangunan Nasional ataupun New Development Policy (NDP) yang digunapakai oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia daripada tahun 1991-2000 sebagai pengganti kepada DEB/NEP. Bukankah NDP ini juga suatu tindakan ‘affirmatif’? Oleh itu mengapa perlu lagi dibincangankan tentang polisi yang lapuk dan telah diberhentikan jika penulis benar-benar ingin membahas tentang dasar-dasar dan tindakan-tindakan bercorak ‘affirmatif’?

    Tindakan sengaja untuk mengkaburi pendirian berhubung dengan hal ini saya kira suatu kaedah yang paling tidak tepat dan amat menyedihkan sekiranya jawatan ‘Presiden’ majlis pimpinannya itu sebenarnya mencerminkan seorang individu yang jelas pendiriannya dan benar-benar berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang diyakininya untuk membawa sesuatu pencerahan para ahli yang diwakili dan dipimpinnya dan masyarakat amnya. Pemimpin golongan ilmuan tidak harus mengambil kaedah populis seperti seorang polikus.

    Turut menokok kepada kegusaran saya terhadap kewibawaan sekaligus tahap keilmuan ‘Presiden’ ini bilamana saya kira penulisan beliau itu menggambarkan bahawa dia seorang yang memandang rendah terhadap kebolehan, kepandaian, ketamadunan‘bangsa’ Melayu itu sendiri. Diharapkan saya tersalah tanggap namun saya berasa amat tersinggung dan kesal dengan penulisan beliau berhubung dengan sikap dan tamadun orang Melayu di dalam rencana itu. Ini kerana kesimpulan daripada fahaman beliau digunakan sebagai fakta untuk menyokong hujah-hujahnya.

    Bagaimana mungkin seorang ilmuan berhujah menggunakan fakta yang boleh dianggap sebagai tanggapan umum semata-mata?

    Mohd Hasbie Muda menegur ‘bangsa’ Melayu sepaya tidak berasa malu dengan DEB kerana mereka hari ini, ‘…masih lemah dan tertindas.’ Tambahan pula DEB itu,’…tidak berkesan….’ Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan ‘lemah’ dan ‘tertindas’ itu tidak langsung dikupas. DEB sebenarnya telahpun digantikan. Oleh itu apakah jendela waktu hujah beliau itu? Masihkah relevan?

    Mungkinkah beliau cuba membayangkan yang wujudnya program penjajahan ekonomi terancang terhadap ‘bangsa’ Melayu itu sendiri? Jika ini benar, saya kira iayanya boleh ditafsirkan sebagai sebuah kenyataan yang jelas berbau hasutan kerana dewasa ini, setakat yang saya faham, kaum Melayu bukan lagi kaum yang tercicir di antara tiga kaum utama walaupun telah diakui bahawa jurang antara golongan berada dan yang papa kian meluas di dalam setiap kaum. Jurang yang meluas di dalam sesebuah kaum inilah yang menjadi cabaran baru yang ingin diatasi oleh para negarawan kita sekarang.

    Selain itu penggunaan istilah ‘bangsa’ Melayu dan ‘orang’ Cina itu sendiri dengan jelas mencerminkan suatu perasaan prejudisma di dalam pemikiran pemimpin muda ini. Mengapakah pengertian ‘bangsa’ dan ‘orang’ didalam ruang lingkup penulisan beliau dibezakan antara Melayu dan Cina? Benarkah ‘bangsa’ Melayu itu wujud di zaman Melaka?

    Apabila menilai ‘Melayu’ di dalam konteks sejarah di abad ke 16, kita seharusnya tidak mengambil istilah ‘Melayu’ sepertimana yang digunapakai di dalam perundangan dan perlembagaan Malaysia yang wujud setelah Perang Dunia Kedua. Sebaliknya kita perlu mengambil istilah berasaskan kepada kebudayaan Melayu iaitu sebagai suatu rumpun budaya kolektif di kawasan kepulauan Nusantara Melayu. Oleh itu, kegagalan penulis untuk memahami Melayu di dalam ertikata yang lebih luas lantas mengecilkan penglihatan beliau serta membataskan pemahaman beliau terhadap ketamadunan dan kebudayaan masyarat Melayu itu sendiri.

    Jelas beliau lagi, ‘orang’ Cina, ‘…lebih kompetan dalam banyak bidang. Mereka unggul di dalam pendidikan…dan…perniagaan.’ Pendapat sebegini sebenarnya telah banyak dipatahkan oleh para ilmuan baik di dalam negara, di rantau asia mahupun di peringkat dunia. Namun kesilapan tanggapan ini turut juga dikongsi oleh ramai ‘cerdik-pandai’ termasuk seorang pensyarah wanita berketurunan Cina-Filipina ternama di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat melalui buku-buku beliau berhubung dengan kejatuhan sesebuah empayar atau tamadun. Jadi kalau ‘Presiden’ majlis ini pun bertanggapan seperti itu, apa boleh saya buat.

    Sedihnya, tamadun masyarakat ‘Melayu’ yang ‘muda’ itu dianggap tidak, ‘…teliti dan bijak dalam setiap aspek kehidupan…’ kerana tamadun ini hanya bermula daripada, ‘…Kesultanan Melayu Melaka…’ yang terdedah kepada ancaman yang ‘…kecil dan sedikit [seperti]…lanun-lanun…serta binatang buas….’ Jadi orang ‘Melayu’ itu cukup selesa dan,’…. Hari-hari yang mereka lalui begitu hambar, tiada inovasi dan pencapaian teknologi baru.’ Malah penulis beranggapan orang ‘Melayu’ pada waktu itu,’…melalui hari-hari dengan rutin biasa sahaja. Hasilnya tidak banyak yang mereka pelajari di dalam kehidupan dan sudah tentu tidak banyak jugalah yang mereka boleh warisi kepada generasi terkemudian.’

    Malang sungguh nasib orang Melayu bila pemimpin yang dipilih buta sejarah!

    Saya menyarankan kepada Mohd Hasbie Muda untuk memperbanyakkan lagi pembacaan buku-buku berkaitan dengan perkara ini. Sebagai contoh, tahukan beliau jurumudi Magellan yang dinobatkan sebagai kelasi handalan barat itu sendiri adalah seorang ‘Melayu’? Tahukan beliau yang keupayaan membuat meriam yang dipelajari daripada saudagar asing membantu mengalahkan serangan Siam ke atas kerajaan Melayu Langkasuka? Tahukah beliau orang Melayu Nusantara menggunakan ‘khidmat’ tiupan angin monsun Timur Laut dan Barat Daya untuk berdagang di Melaka dan perairan serantau hingga ke India dan Cina? Tahukan beliau yang orang Melayu beragama Hindu membina candi-candi hebat yang terdapat di rautau Asia Tenggara? Tahukan beliau yang orang Melayu Aceh adalah satu-satunya negara yang tidak dapat ditawan oleh Belanda sehinnga Belanda terpaksa membebaskan negara Aceh daripada taklukannya? Tahukan beliau yang orang Melayu Patani yang berhijrah ke Mekah dan terkenal sebagai golongan peniaga dan kaya yang kini dikenali sebagai orang Fatani? Tahukan beliau yang bahasa Melayo-Indonesia adalah bahasa yang ke 5 besarnya di dunia mengikut The Christian Science Monitor?

    Malang sungguh mereka yang memilih pemimpin sebegini.

    Bagaimana seseorang itu hendak berasa bangga dengan kemelayuannya kalau ‘Melayu’ itu dilihat dari sudut perundangan dan perlembagaan Malaysia?

    Keterbatasan pemahaman penulis tentang sejarah Tanah Melayu cukup ketara di dalam rencana ini bilamana penulis meringkaskan kejatuhan Melaka disebabkan kebodohan orang ‘Melayu’ memahami keadaan ketika hatta ‘Melayu’ teramat bodoh hingga tidak reti untuk mengalahkan Portugis. Lantaran daripada kebodohan itu, orang ‘Melayu’ membiarkan sahaja penjajah menakluki negara mereka. ‘Melayu’ bekan sahaja orang yang kecil-kecil tetapi tidak mahu berusaha dan amat,’…rendah diri dan tidak berkeyakinan.’

    Rencana serba pincang ini turut dimuatkan dengan ungkapan berbunyi: ‘Hakikatnya, golongan Melayu itulah yang menindas Melayu. Mereka adalah pengkhianat Melayu yang sebenarnya.’

    Wah! Sungguh gah kata-katanya. Malangnya, beliau sendiri termasuk di dalam golongan yang mengkhianati kaumnya sendiri.

    Nasihat saya supaya beliau pelbagaikan bahan bacaannya selari dengan status sebagai orang ilmuan yang menuntut di Menara Gading.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s