Perbezaan Pendapat dan Krisis

“Tidak masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada sebesar zarah sekali pun sifat ego (takabbur)” (Hadis Riwayat Muslim)

freudpics11. Salah satu tanda kematangan gerakan mahasiswa Islam adalah apabila wujudnya perbezaan pandangan di kalangan para pimpinan dan juga ahli-ahlinya. Ia membawa signal bahawa golongan ini sudah semakin dewasa dalam menanggapi sebarang isu serta semakin matang dalam merencanakan arus gerakan. Ia juga membawa maksud bahawa golongan pressure group ini sudah tidak lagi jumud dan terikat dengan sebarang pandangan yang konservatif semata-mata dan mempunyai kesediaan yang tinggi untuk berubah ke arah yang lebih baik.

2. Paling mustahak adalah perbezaan-perbezaan itu bakal menelurkan keputusan yang paling baik hasil daripada pandangan-pandangan yang baik-baik itu. Pimpinan dan ahli semakin terdesak untuk berfikir dengan kuat, menyelidik dengan lebih terperinci dan akhirnya membuat keputusan yang paling tepat. Itulah sebabnya, perbezaan pandangan adalah rahmat.

3. Namun, malang seribu kali malang apabila perbezaan itu tidak mampu diuruskan dengan baik lantas mewujudkan satu lagi masalah – KRISIS.

4. Dalam apa jua situasi, krisis biasanya wujud kerana gagalnya seseorang dalam mengawal sifat ego yang wujud dalam diri masing-masing. Lupakan soal tarbiyah mana yang diperolehi, kondisi kampus mana yang dirasai, buku motivasi mana yang dibaca atau apa sahaja – selagi mana sifat ego tidak mampu diuruskan, maka krisis juga turut tidak mampu dikendalikan.

5. Menguruskan sifat ego bukan bermaksud melenyapkannya sekaligus. Semua manusia memiliki sifat ego cuma yang membezakan adalah ke arah mana ego itu akan dihalakan. Ada ego menuju takabbur dan ada ego menuju pencapaian yang lebih baik. Hadis di atas bukan bermaksud tidak boleh memiliki sifat ego. Namun sifat ego takabbur yang dilarang. ‘Ego’ dan ‘Ego takabbur’ – dua istilah yang nyata berbeza. Sigmund Freud, bapa psikologi menganggap bawa ego adalah salah satu daripada tiga elemen penting dalam struktur jiwa seseorang. Ia memacu manusia agar lebih ghairah meraih pencapaian. Manakala ego takabbur pula adalah perasaan besar diri dan kecenderungan melihat yang lain sebagai kecil.

6. Kadang-kadang sukar juga untuk menyalahkan orang yang bersifat ego takabbur. Mereka ini biasanya dari golongan yang cerdik dan pandai. Ilmu mereka dalam, kerja kuat mereka luarbiasa dan tahap pengorbanan mereka kepada organisasi atau masyarakat cukup tinggi. Dengan kekuatan dan kelebihan yang mereka miliki, banyak kejayaan yang mampu digapai.

7. Banyaknya kejayaan yang digapai akhirnya melekakan. Semakin hari sifat ego yang awalnya positif mula bertukar menjadi semakin negatif. Pandangan orang lain – apatah lagi yang lebih rendah statusnya, cetek ilmu dan pengalamannya, serta kecil pencapaiannya akan mula tidak dihiraukan.

8. Lebih malang lagi adalah kerana sifat ego takabbur memiliki satu ciri yang sangat mengerikan. Ia bersifat membesar (expanding). Semakin hari, sifat takabbur itu makin mengembang dan berkembang biak. Pada masa itu, bukan hanya nasihat dari golongan bawahan yang rendah statusnya sahaja yang tidak dipedulikan. Malahan nasihat dari cerdik pandai yang tinggi ilmunya, luas pengalamannya dan besar pencapaiannya juga akan turut sama dibakulsampahkan. Lebih malang lagi apabila institusi dan sistem yang dibina puluhan tahun juga boleh dirosakkan mereka dalam tempoh semalaman. Semua ini berlaku apabila ego takabbur telah membuahkan sifat yakin diri yang melampau-lampau. Memang percambahan ilmu berlaku. Nasihat dan wacana ilmu juga seringkali didengarkan. Namun semua itu hanya berlegar-legar di kalangan orang-orang yang sealiran.

9. Pada masa itu segala-galanya telah parah dan tiada apa lagi yang mampu mengubah. Pada masa itu juga, tiada apa lagi yang mampu kita lihat melainkan kehancuran. Tiada apa yang mampu lagi diraih selain tangisan dan kekesalan. Yang rosak, boleh dibaiki.Yang lemah, boleh dikuatkan. Namun yang sudah hancur hanya menjanjikan cebisan sisa-sisa harapan dan airmata kekecewaan yang tiada taranya.

10. Sementara keadaan masih belum parah. Jenguklah sekejap mendengar pandangan orang-orang yang menasihati dan berilah ruang untuk kita berfikir dan membuat penilaian secara adil dan waras. Jika keberatan untuk menghormati mereka, cubalah untuk hormati apa yang mereka kata. Mereka mungkin dilihat hina dan biasa, namun mereka juga mahu memberikan sumbangan dan cintakan Gerakan Mahasiswa Islam (GMI).

11. Benar, kebenaran tidak semestinya berada dalam kalangan puak majoriti. Namun janganlah terlalu angkuh untuk melihat puak-puak majoriti itu sebagai bodoh dan langsung tidak berguna. Tidak semestinya kita yang sedikit itu terpilih. Yang sedikit juga mungkin perlu dipulih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s