Salahkah Berhimpun?

Gambar A. Samad Said (Demo Bantah PPSMI)1. Sebahagian rakyat Malaysia masih memandang serong pada perhimpunan aman. Kononnya, ia dilihat sebagai budaya rakyat Malaysia yang emosional dan berfikir pendek.

2. Pada asasnya, saya berpendirian menolak sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Anarki. Tiada kompromi. Namun, benarkah berhimpun sebagaimana semalam boleh membawa Malaysia ke arah sebuah negara Anarki – negara yang kacau bilau dan tidak berperaturan. Kononnya, pelabur tidak akan datang, FDI akan jatuh, peluang pekerjaan akan berkurangan dan ekonomi negara akan merudum. (Frasa dan ayat-ayat ini biasa dimomokkan dalam kursus BTN.)

3. Sejujurnya, saya bukanlah orang yang berminat dengan perhimpunan atau ‘Demonstrasi’. Selalu juga disindir oleh teman-teman sewaktu menjadi pimpinan pelajar dulu kerana jarang turun berhimpun atau berdemonstrasi. Walaupun kurang berminat, saya tidak menafikan perlunya berhimpun.

4. Kita harus jujur dalam membuat penilaian. Salahkah berhimpun? Pendek akalkah orang-orang yang berhimpun sebagaimana prasangka kita?

5. Benar, kita boleh menyalahkan mereka yang berhimpun jika ia dilakukan terlaku kerap. Setiap bulan misalnya. Tidak dinafikan, kesesakan jalanraya akan berlaku, perniagaan ada yang terpaksa ditutup dan sudah tentu keheningan hujung minggu juga terganggu. Namun mereka berhimpun sekadar dua tiga kali setahun. Besar sangatkah impak kepada aktiviti ekonomi negara jika 2 atau 3 hari daripada 365 hari digunakan oleh segelintir rakyat untuk berhimpun menyatakan sesuatu kepada kerajaan?

6. Mereka yang berhimpun bukanlah untuk suka-suka atau mahu menghuru-harakan negara. Janganlah disamakan rakyat Malaysia pada masa ini dengan rakyat Malaysia pada 40 tahun lalu dalam Tragedi 1969, ataupun rakyat Singapura/Malaysia yang terlibat dalam Rusuhan Natrah pada 1950. Rakyat Malaysia pada masa ini sudah ramai berpendidikan tinggi dan cerdik-cerdik. Zaman telah banyak berubah, saya yakin tiada siapa yang tidak sayangkan nyawa. Memang bodoh bagi sesiapa yang berhimpun untuk kehilangan nyawa. Mereka sudah tentu berhimpun kerana bersebab. Jika tidak, lebih baik bersantai di rumah bersama keluarga.

7. Pengalaman menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI dulu cukup mengharukan. Polis terbukti menjadi punca perhimpunan bertukar ganas. Mereka melepaskan gas pemedih mata dengan membabi buta. Apa salahnya dibiarkan peserta berhimpun dan menuju ke Istana Negara? Saya tidak nampak sebarang senjata yang mereka bawa dan aliran trafik pun tidak tersekat walaupun sedikit terganggu. Namun tindakan polis (FRU) langsung tidak berperikemanusian. Mereka langsung seperti alat kerajaan yang tidak mampu berfikir. Merekalah punca kekasaran fizikal dan gangguan trafik yang parah.

8. Kebiasaannya, perhimpunan yang dilakukan bukanlah langkah pertama atau usaha awal dalam perjuangkan sesuatu. Ia adalah jalan terakhir. ISA telah dikecam sejak 49 tahun sejak ia digubal pada 1960. Pelbagai wacana akademik, penulisan, disertasi, tesis, memorandum, referandum dan sebagainya yang berkaitan ISA dibuat semata-mata untuk membantah perlaksanaannya di Malaysia. Namun adakah ia berkesan?

9. Kerajaan masih juga tanpa segan silu menyalahgunakan ISA.

10. Kita akui bahawa ISA mampu menyelesaikan beberapa ancaman berkaitan keselamatan negara dan kita memang memerlukan akta yang berupaya mencegah ancaman dalaman. Namun, kerajaan Barisan Nasional/Perikatan semenjak 1960 tanpa pernah rasa bersalah telah menggunakan ISA untuk menahan ahli-ahli politik khususnya pembangkang, aktivis masyarakat dan juga orang awam yang tidak berkaitan.

11. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar, Halim Arshat, Karpal Singh, Maximus Ongkilli, Teresa Kok adalah antara ahli politik dan aktivis masyarakat yang pernah merengkok. Berbahayakah mereka? Apa ancaman mereka kepada keselamatan negara?

12. Banyak cadangan yang lebih waras untuk diambil dalam membantah ISA. Namun, akan pedulikah kerajaan?

13. Kerajaan khabarnya akan mengkaji semula ISA. Ia satu permulaan yang baik jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu berubah.

14. Membantah ISA bukan bermaksud kita tidak mahu akta pencegahan yang mampu menjaga keselamatan dalaman negara kita. Namun, bantahan ini diharapkan agar mampu mendesak kerajaan supaya sekurang-kurangnya meminda peruntukan tertentu yang membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

15. Membantah ISA juga bukan bermaksud kita membenci apatah lagi mahu menyusahkan kerajaan. Sebaliknya kita mahu supaya suara insan yang menderita akibat ISA didengari dengan lebih kuat oleh pemimpin kerajaan yang kita kasihi itu.

16. Kita tidak merasa menderita kerana kita tidak berada di tempat orang-orang yang sedang menderita itu. Cubalah memahami.

*Pautan akhbar

MStar , Malaysianinsider, Detik Daily, Mahasiswakini

3 thoughts on “Salahkah Berhimpun?

  1. 1. Apabila sahaja saya dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974, maka Anwar Ibrahim pun mula menghasut penuntut universiti untuk mengadakan tunjuk perasaan jalanan. Isunya apa saya sudah lupa.

    2. Walaupun Anwar bukan pengasas demonstrasi jalanan tetapi sejak dia memasuki politik, taktik memperalat orang untuk menjayakan dirinya melalui demonstrasi jalanan kerap diguna olehnya. Dianya memuncak apabila disingkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tiap minggu demonstrasi diadakan.

    3. Budaya demonstrasi datang dari luar. Memang dalam keadaan terlalu tersepit dan tidak ada cara lain untuk memperjuangkan sesuatu, demonstrasi jalan terpaksa diadakan. Demikian semasa melawan Malayan Union, orang Melayu berdemonstrasi.

    4. Tetapi apabila cara lain terbuka luas demonstrasi tidak sepatutnya menjadi pilihan.

    5. Sebabnya ialah orang yang menjadi mangsa bukan Kerajaan sahaja. Yang jadi mangsa ialah peniaga, terutama peniaga kecil yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagi mereka ini demonstrasi adalah mala petaka yang lebih buruk daripada hujan lebat. Barangan jualan terutama makanan sudah disiap dan tidak boleh disimpan. Kerugian sehari tidak dapat ditampung dengan keuntungan 10 hari atau lebih.

    6. Peniaga lain juga akan tanggung kerugian. Tetapi kerugian yang terbesar ialah pembangunan negara untuk rakyat. Kita sedar bahawa pembangunan negara membawa banyak nikmat kepada seluruh rakyat. Banding sahaja pendapatan per kapita sebelum Malaysia dibangun dengan selepas kemajuan dicapai.

    7. Apabila demonstrasi jalanan diadakan, pelabur samada tempatan atau asing akan curiga untuk melabur. Dengan itu peluang untuk kontraktor, pembekal barangan, khidmat pengangkutan, pekerja dan penjual makanan untuk pekerja – semua peluang ini akan hapus.

    8. Polis terpaksa ambil tindakan. Gas pemedih mata dan belantan diguna. Kegunaan cara keras ini biasanya diumpan oleh pendemonstrasi. Imej polis dan negara jadi buruk. Ini sangat menggembirakan Anwar kerana inilah ceritanya kepada orang luar negeri. Malaysia katanya adalah tidak demokratik, zalim, tidak ada kebebasan bagi rakyat, dan lain-lain. Demonstrasi bukan untuk mengugut kerajaan sahaja tetapi untuk tunjuk kepada dunia betapa buruknya Negara sendiri. Secara tidak langsung tujuan demonstrasi ialah supaya dianya memerintah Negara ini. Na’uzubillah.

    9. Ada negara-negara di mana demonstrasi kerap diadakan. Di rantau ini pun ada. Apakah negara-negara ini berjaya?

    10. Demokrasi mengizinkan demonstrasi. Samada demokrasi menguntungkan pengamal bergantung kepada pengamal. Jika pengamal tidak faham cara mengguna demokrasi, kebaikan dan keuntungan tidak akan tercapai.

    11. Ada orang di sebelah sana, di Barat yang amat gembira apabila kita tidak dapat bangunkan Malaysia. Nama mereka adalah seperti Wolfowitz, Cohen dan lain-lain yang menjadi sahabat karib DSAI.

  2. Demonstrasi jalanan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada hari Sabtu lepas telah menyemarakkan lagi perdebatan mengenai akta ini. Pada asasnya, saya menyokong keputusan Kerajaan untuk mengkaji semula ISA agar sesuai dengan keperluan semasa, sepertimana yang saya sebut sewaktu membincangkan ISA dalam rancangan 101 East di saluran Al-Jazeera (tayangan dijadualkan Khamis, 8.30 malam).

    Pertama sekali, perlu ditegaskan bahawa Malaysia memerlukan mekanisme penahanan pencegahan (preventive detention), dalam erti kata seseorang individu boleh ditangkap dan ditahan bagi mengelakkan kesalahan atau jenayah yang belum diperlakukan, sebagai salah satu usaha pengurusan ketenteraman secara proaktif.

    Dalam pada dunia mengalami ancaman ekstrimis dan pengganas, ditambah pula dengan sensitiviti unik dalam negara Malaysia yang berbilang kaum, kita tidak boleh menanti sesuatu bencana terjadi sebelum mengambil tindakan. Oleh itu, saya yakin rakyat Malaysia sejagat boleh memahami peri pentingnya kuasa sebegini diberi kepada Kerajaan.

    Walau bagaimanapun, agenda keselamatan dalam negeri perlu juga diimbangi dengan tuntutan demokrasi, yakni hak asasi manusia, kebebasan sivil dan keadilan. Maka, ISA atau sebarang undang-undang pencegahan tidak boleh sama sekali digunakan untuk menghentikan bantahan yang sah (legitimate dissent) atau melenyapkan cabaran politik dengan cara ‘mudah’. Dalam erti kata lain, agenda keselamatan negara tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Antara lain, skop definisi ancaman keselamatan kepada negara perlu diperketatkan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa ISA.

    Selari dengan komitmen untuk memartabatkan sistem demokrasi negara, UMNO dan BN peka kepada kemahuan ramai di kalangan generasi muda yang tidak selesa dengan ISA. Saya tidak bersetuju kita melabelkan golongan ini sebagai buta sejarah atau seolah-olah memecah-belahkan bangsa Melayu semata-mata tentangan mereka terhadap ISA; sebaliknya kita perlu mendengar dan memahami pandangan mereka sejajar dengan proses pembaharuan yang ingin dijalankan parti dan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

    Oleh sebab itulah maka kita harus mengkaji dan menghalusi ISA agar mengambil kira pertimbangan dan juga pandangan dari masyarakat umum. Saya ingin mengambil pendekatan yang lebih konstruktif dan membina di dalam perdebatan mengenai ISA dan menyoal akan hala tuju peruntukan undang-undang ini – samaada mahu dikekal, dimansuh atau dipinda? Dalam konteks ini, saya berpendapat bahawa YAB Perdana Menteri telah memberi isyarat yang jelas bahawa akta ini tidak harus dikekalkan sepertimana ia sekarang. Samaada ISA akan dipinda atau diganti dengan suatu peruntukan undang-undang yang baru adalah satu keputusan politik. Dalam hal ini, ada kemungkinan yang ISA ini sudah penuh dan sarat dengan beban politik yang menuntut satu penghijrahan dari legasi lampau. Oleh sebab itu, selain dari pindaan kepada ISA satu pendekatan adalah dengan memansuh dan menggantikannya dengan suatu akta penahanan pencegahan yang mengimbangi aspek keselamatan negara serta hak asasi dan kebebasan rakyat, melalui proses penggubalan undang-undang yang merangkumi konsultasi dan maklum balas dari masyarakat umum.

    Namun, sebelum itu, beberapa isu penting berkenaan peruntukan sedia ada harus diambil kira dan diberi perhatian terlebih dahulu termasuklah aspek paling hangat dibahas mengenai ISA, iaitu berkenaan kuasa yang diberikan kepada Kerajaan untuk menahan seseorang tanpa perlu dibicara. Secara khususnya, saya mendapati bahawa ramai yang kurang selesa dengan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri di bawah seksyen 8 akta tersebut untuk menandatangani arahan penahanan selama dua tahun – dan boleh diperbaharui setiap dua tahun – tanpa perlu melalui proses semakan kehakiman atau ‘judicial review’. Khususnya, selepas pindaan kepada ISA pada tahun 1989, perintah tahanan Menteri Dalam Negeri langsung tidak boleh disemak oleh mahkamah. Hasilnya, Menteri Dalam Negeri secara teori boleh menahan seseorang itu untuk jangkamasa yang panjang kerana Lembaga Penasihat yang diperuntukkan oleh ISA untuk mengkaji status tahanan tidak mempunyai kuasa untuk menidakkan keputusan Menteri. Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada yang tidak selesa dengan kuasa hampir mutlak yang diberikan kepada seorang Menteri – tidak kira siapa pun yang memegang portfolio itu – untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan.

    Bagi memastikan bahawa individu yang ditahan kerana disyaki membawa ancaman kepada keselamatan negara mendapat perbicaraan yang adil dan tidak disimpan bertahun-tahun tanpa diberi peluang untuk membela diri, sistem kehakiman perlu diberi ruang untuk mengadili kes-kes sebegini. Namun, memandangkan banyak ancaman keselamatan negara ini berkisar hal-hal sensitif yang tidak mungkin boleh dikendalikan dengan kaedah biasa seperti kes-kes yang melibatkan maklumat dari badan-badan risikan, barangkali ada baiknya jika mahkamah khas disediakan untuk mengadili kes sedemikian melalui perbicaraan tertutup (in camera), misalnya.

    Disamping itu, seksyen 73 ISA membenarkan seseorang individu ditangkap oleh Polis dan dihalang dari berhubung dengan dunia luar – kadangkala keluarga si tahanan juga tidak dimaklumkan tentang penangkapan itu sendiri inikan lagi tempat di mana individu itu ditahan. Malah, hak mendapat khidmat peguam juga tidak dijamin. Sungguhpun terdapat kes di mana tahanan ISA dibebaskan oleh mahkamah melaui permohonan habeas corpus, kebanyakan kes ini terhad kepada skop permohonan yang terbatas kepada isu-isu prosedur penangkapan sahaja dan tidak mencakupi semakan kehakiman mengenai sebab-sebab dan asas penangkapan. Di sini, saya percaya perlu ada pembaharuan supaya khidmat guaman diberi kepada mereka yang ditangkap bawah ISA di samping kelonggaran untuk berhubung dengan anggota keluarga.

    Ini adalah antara cadangan yang boleh dibincangkan demi kebaikan bersama dan untuk menyelesaikan kemelut kontroversi ISA. Pada hemat saya, demonstrasi pada hari Sabtu lepas langsung tidak memberi impak positif kepada perbincangan ini kerana hanya menuntut pemansuhan mutlak ISA tanpa menyumbang apa-apa cadangan realistik yang mengimbangi tuntutan demokrasi dan keselamatan negara yang memerlukan kuasa penahanan pencegahan. Jika kita ingin budaya masyarakat terbuka sejajar dengan kematangan berpolitik yang jitu, maka semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan menaikkan mutu perdebatan kita.

    Tidak lagi boleh kita mengambil pendirian yang mudah – yakni mutlak pro atau anti ISA. Sebaliknya kita perlu kepada satu pendirian yang lebih matang, syumul dan kompleks yang mengambil kira segala keperluan demi kebaikan rakyat.

    (komentar ini diambil dari blog saudara KJ)

  3. tak salah. tapi biar lah yang dibenarkan polis. bukankah boleh buat di stadium, tempat tertutup dan yang sewaktu dengannya.

    saja modal buat di jalanan supaya nampak gah. pastu bawak makcik, anak-anak sekali. ni apa cerita ni. yang ni sedara tak nak komen pula menyalahi undang-undang mempergunakan budak2?

    jadi pemimpin pelajar jangan berat sebelah. anda pemimpin masa depan. kena adil pada yang hak.

    tiow mana2 yang salah.

    kita jadi pemimpin bukan untuk memihak mana2 pihak. tetapi untuk memihak kebenaran dan rasional kedua-dua belah pihak.

    kena ada timbal balik.

    pro dan cons.

    positif dan negatif.

    apapun tahniah atas kejayaan graduasi.

    assalamualaikum wbt.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s