Jom Bincang Ekonomi!

modified1. Tulisan saya berkaitan sistem ekonomi Islam nyata provokatif. Semalam, seorang teman mengingatkan saya agar berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan. Katanya, pendapat bahawa sistem ekonomi Islam tidak wujud adalah pandangan puak-puak Islam Liberal khususnya di Indonesia. Ia boleh menggoncangkan aqidah, katanya lagi.

2. Ada juga pembaca yang memberi amaran agar saya tidak sewenang-wenangnya bercakap atau menulis tentang perkara yang saya jahil. Ada juga yang menempelak dan memaki hamun saya dengan kata-kata yang kurang enak.

3. Saya berlapang dada dengan pandangan dan teguran sedemikian. Saya juga akur bahawa istilah ‘tidak wujud’ lebih sesuai digantikan dengan ‘belum wujud’ . Namun, pendirian asal saya bahawa sistem ekonomi Islam yang belum wujud masih tetap dan tidak berubah. Dan saya bertanggungjawab atas pandangan yang saya keluarkan itu.

4. Perkara paling asas sebelum berbincang tentang sistem ekonomi Islam adalah kita perlu faham apa maksud sistem. System dari perkataan Yunani, Systema bermaksud rangkaian yang saling berinteraksi atau badan yang membentuk keseluruhan perkara. Ia juga merujuk kepada satu set peraturan yang mentadbir perilaku dan struktur (Wikipedia).

5. Sistem juga memiliki beberapa ciri-ciri termasuk:

  • Sistem memiliki struktur yang dibahagikan mengikut bahagian dan komposisi tertentu.
  • Sistem memiliki perilaku, yang mencakupi input, proses serta output dari bahan, tenaga atau maklumat.
  • Sistem memiliki kesinambungan, yakni semua bahagian dalam sistem mempunyai hubungan fungsi serta struktural  antara satu sama lain.

6. Maksud sistem ekonomi pula adalah mekanisme (institusi sosial) yang menguruskan pengeluaran, pengagihan serta penggunaan barang dan perkhidmatan dalam sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi juga berperanan menyelesaikan masalah-masalah dalam ekonomi seperti alokasi dan kekurangan sumber.

7. Berdasarkan dua definisi di atas, adakah kita masih boleh mengatakan bahawa sistem ekonomi Islam sudah wujud dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan?

8. Diakui, Islam telah menggariskan prinsip dan panduan yang sangat lengkap dan komprehensif dalam menguruskan ekonomi. Namun malangnya, prinsip dan panduan itu belum diterjemahkan kepada suatu himpunan set-set peraturan dan teori yang mampu menjawab persoalan-persoalan ekonomi semasa.

9. Saya yakin, jika masyarakat kita rajin berfikir,mengkaji, berwacana mengenai isu-isu ekonomi dan berterusan mencadangkan penyelesaian bagi masalah-masalah ekonomi berdasarkan prinsip yang telah digariskan dalam Islam, maka suatu hari nanti sistem ekonomi Islam akan wujud dan berdiri megah.

10. Masalah ekonomi bukan hanya tertumpu pada soal pemilikan tanah, soal bagaimana mengelakkan riba atau soal bagaimana peranan Baitulmal dalam membangunkan ekonomi ummah semata-mata.

11. Ia mencakupi masalah yang sebesar-besarnya hinggalah kepada masalah yang sekecil-kecilnya. Daripada soal bagaimana untuk mengatasi masalah stagflasi sehinggalah kepada bagaimana mahu memastikan harga biskut kering di Kampung Pinang Sebatang dapat dikawal. Daripada soal bagaimana untuk mengalakkan kemasukan FDI ke dalam negara hinggalah kepada soal bagaimana untuk memastikan tiada ikan-ikan di Sungai Gombak yang mati akibat pencemaran hasil bahan buangan kilang. Daripada soal bagaimana untuk meningkatkan produktiviti negara hinggalah kepada bagaimana kaum ibu yang berkerja masih mampu berperanan dalam mendidik ahli keluarga di rumah.

12. Paling penting, bagaimana kita mahu wujudkan sistem ekonomi yang berupaya membangunkan akhlak manusianya selari dengan pembangunan material yang dikejar. Kita tidak mahu menjadi seperti bangsa Eropah yang maju pembangunan materialnya, namun runtuh pembangunan insaniahnya.

13. Ada beribu-ribu masalah ekonomi yang mesti difikirkan jika kita benar-benar mahu melihat negara kita benar-benar makmur. Makmur dalam ertikata yang sebenarnya.

14. Persoalan-persoalan itu tidak mampu dijawab dalam masa yang singkat. Ia juga tidak mampu dijawab sekiranya kita masih meneruskan budaya lama masyarakat kita yang malas berfikir.

15. Bukan mudah untuk mengubah masyarakat apatah lagi sesebuah bangsa. Namun ia tidak mustahil dilakukan jika kita mampu memulakannya dengan diri kita sendiri.

2 thoughts on “Jom Bincang Ekonomi!

  1. John Perkins – ejen kapitalis dunia (Hishamuddin Rais)

    Pada 2004, John Perkins menulis Confession of an Economic Hit Man – Pengakuan Tukang Pukul Ekonomi. Buku ini melakar bagaimana Perkins direkrut oleh National Security Agency (NSA) untuk menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

    Untuk menghalalkan tugasnya, Perkins telah dimasukan bekerja di sebuah syarikat konsultan ekonomi sebagai baju yang dipakai oleh Perkins kerana syarikat ini memiliki hubungan rapat dengan NSA.

    Sebagai penasihat ekonomi, Perkins merayau-rayau ke Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Arab Saudi, Iran dan negara yang dianggap memiliki potensi ekonomi.

    Tugas Perkins cukup enteng: dia akan menasihatkan pemimpin negara-negara ini untuk membuat projek-projek mega (seperti projek Bakun).

    Perkins tidak memiliki masaalah untuk bertemu dengan pemimpin politik negara-negara Dunia Ketiga kerana dia sedar bahawa pemimpin-pemimpin ini, apabila mendengar ada Mat Saleh ingin bertemu mereka, maka mulut dan buntut mereka ternganga luas.

    Perkins dijemput untuk menghadiri pelbagai seminar dan mesyuarat (seperti Invest Malaysia 2009) dan dijemput dalam perbincangan percambahan pendapat.

    Akhirnya Perkins akan membuat dan mengajukan kertas kerja dan cadangan untuk memunculkan projek mega.

    Dalam masa yang sama, melalui Perkins, Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau bank-bank lain akan bersiap sedia mengeluarkan dana.

    Projek mega ini cara “merasuah” para pemimpin dan kroni para politikus Dunia Ketiga. Projek-projek ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan ekonomi warga negara itu walaupun dengan lunak Perkins akan menggambarkan bagaimana projek mega ini akan memberi manfaat untuk rakyat. Ia hanyalah kelentong.

    Kontraktor-kontraktor projek, perkakas pembuatan – semuanya didatangkan daripada nasihat Perkins. Projek ini akan menggunakan pakar-pakar ‘Mat Saleh’ yang dibayar dengan lumayan berbanding dengan pakar tempatan.

    Perkins melahirkan pekerjaan untuk para Mat Saleh yang dipanggil ‘pakar’.

    Dalam masa yang sama, Perkins cukup sedar banyak dana ini akan masuk ke dalam poket para pemimpin negara ini – ia sebahagian daripada strategi Perkins. Ia perangkap yang sengaja dipasang.

    Sedikit demi sedikit negara ini akan terhutang dengan lembaga-lembaga bank antarabanga – IMF, Bank Dunia, Bank Eropah dan pelbagai lembaga dana yang bekerja erat dengan Perkins.

    Bunga dan hutang ini akan meningkat, lalu menambahkan lagi beban negara. Perkins akan mengusulkan cara terbaik untuk mencari dana agar dapat membayar hutang dan bunga.

    Cadangan Perkins: subsidi mesti dihapuskan. Kawalan makanan dilupuskan, import dibesarkan. Barangan eksport dimurahkan.

    Nilai ringgit dikurangkan dengan alasan akan menarik orang luar membeli barangan eksport.

    Akhirnya – akan sampai suatu masa – hutang begitu menjerut untuk negara ini. Maka Perkins akan ‘menasihatkan’ para politikus agar Pertamina memberikan hak untuk Exxon menjalankan cari gali di Ambalat – mislanya yang terjadi di Indonesia.

    Ia perangkap awal.

    Jika pemimpin politik ini memiliki perasaan nasionalisme dan terus berdegil, maka akan dihantar apa yang di panggil ‘the Jackals’. Mosaddeq di Iran menjadi mangsa pada 1953.

    Presiden Guatemala pada 1954 menjadi mangsa agar bumi negaranya selamat untuk dijadikan ladang pisang United Fruits Company. Sukarno pada 1965, Ecuador pada 1981.

    Mari kita melihat kes klasik sejarah Terusan Panama yang telah dimiliknegarakan oleh Omar Torrijos pada 1977. Kemudiannya, pada 31 Julai 1981, kapal terbang yang dinaikinya meletup di udara.

    Sesudah Torrijos mati, Amerika kembali mendapat hak untuk meletakan tenteranya di Terusan Panama. Khalas.

    Di negara kita sendiri perkara yang sama pasti berlaku. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilakar oleh Razak Hussein mengetepikan kepentingan pemodal antarabangsa. Kaum pemodal ini berasa kurang senang dengan dasar ini. Melalui media dunia, mereka terus mempertikaikan dasar ini.

    Dasar ini juga dikritik oleh kapitalis nasional dan kapitalis komprador yang suaranya diwakili oleh MCA.

    Ketika itu air, api, telekom, universiti, jalan raya, hospital, tanah Felda dan perbadanan kemajuan ekonomi peringkat negeri SEDC – semuanya milik orang ramai, yakni milik negara.

    Kritikan dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Mak Jah peniaga warung di Gombak atau Pak Huseing pembuat budu di Pengkalan Chepa. Kritikan ini datang daripada kaum kapitalis yang tidak dapat membuat keuntungan maksimum.

    Apabila Mahathir Mohamad naik, semua ini diubah. Untuk mendapat sokongan kapitalis komprador dan kapitalis nasional (baca: pemodal Cina), Mahathir telah menswastakan harta rakyat ini. Maka gembiralah dan berkendurilah kaum kapitalis ini.

    Harta kekayaan mereka bertimbun-tambah. Laporan terbaru membuktikan bagaimana 58 bilion ringgit harta negara di tangan swasta, hanya 2 bilion ringgit sahaja yang menjadi milik Melayu.

    Mahathir naik tocang apabila dinobatkan oleh kaum pemodal (kaum: Cina) sebagai penjana pembangunan. (Ia tidak ada sangkut paut dengan Mak Cik Limah di Felda Chomomoi atau Haji Timah tuan punya warung di Senawang) DEB hakikatnya adalah dasar ekonomi kapitalis yang penuh dengan percanggahan.

    Dasar ini bercita-cita untuk memunculkan ‘zaibatsu’ Melayu atau Bumiputera. Ia hanyalah mimpi tegang yang tidak terpancut-pancut.

    Cita-cita ini tidak mungkin tercapai hingga bumi meletup. Kalaupun tupai beranakkan gajah, dasar ini tidak akan tercapai!

    Dasar DEB tidak akan berjaya kerana dalam hukum ekonomi kapitalis “apa boleh jual akan dijual, apa yang boleh dibeli akan dibeli”.

    Dalam ekonomi kapitalis, tidak ada agama atau bangsa. Setiap kali modal dilabur untuk Melayu, ia pasti akan bertalian dengan ekonomi Cina yang telah lama kukuh. Wang yang mengalir ini belum mengambil kira jumlah rasuah.

    Tidak mungkin semua orang Melayu/Bumiputera akan dapat dikayakan. Pemodal memerlukan buruh yang boleh diupah murah. Pemodal memerlukan pengguna untuk membeli.

    Kalau Melayu semua kaya, siapa pula yang akan menjadi buruh di ladang sawit, penanam padi, nelayan dan Minah Karan dan Mat Spanar?

    DEB hanyalah satu kelentongan atau tipu helah – lubuk para politikus Melayu berkumpul membuat dasar atas nama Melayu.

    Dengan bersandarkan kemelayuan, maka para politikus Melayu ini dapat ‘merembat’ harta negara.

    Pada ketika DEB dimulakan, pergaduhan Melayu lawan bukan Melayu baru selesai (peristiwa 13 Mei 1969). Kapitalis nasional dan kapitalis komprador tidak berani menyuarakan tentangan pada ketika itu.

    Mereka melihat dari jangka panjang kepentingan mereka lebih terjaga dengan dasar DEB ini. Anggapan mereka cukup tepat.

    Siapa dia Lim Goh Tong, siapa dia Ananda Krishnan, siapa dia Vincent Tan?

    Dasar untuk menjadikan 30 peratus harta kekayaan negara ini dimiliki oleh Melayu/Bumiputera adalah mimpi kosong dan dasar yang salah. Tidak perlu membuat kajian ilmiah – pergi sahaja keluar dari Kuala Lumpur dan lihat sendiri kehidupan orang-orang di kampung.

    Memang betul ada perubahan. Kalau dulu, pada 1974, di Kampong Chenor (kampung saya) tidak ada elektrik dan air, hari ini telah ada.

    Tetapi air dan elektrik kini dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Hospital dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.

    Sekolah dan universiti dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.

    Jalan raya dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Telefon dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Inilan perbezaannya.

    Inilah hakikatnya.

    Dua minggu dahulu Najib Razak telah membuat dasar liberalisasi. Perkataan LIBERALISASI ini perkataan hampeh – perkataan putar alam bertujuan untuk mengelirukan kefahaman yang tuntas kepada orang ramai terutama kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda.

    Liberalisai bermakna syarikat antarabangsa dibenarkan berniaga bebas dalam negara ini.

    Dua hari lalu Najib telah mengubah satu jalur DEB. Kaum pemodal pasti akan mengalu-alukan dasar (baru) ini. Ertinya pasaran Malaysia terkangkang luas untuk dientot. Ertinya, tidak ada lagi halangan untuk sesiapa sahaja memiliki harta kekayaan negara ini.

    (Kalau saya kapitalis, saya akan terpancut siang malam dan meleleh air liur melihat harta negara ini boleh dimiliki).

    Kenapa Najib membuat dasar baru ini?

    Cukup senang untuk memahaminya. Najib memiliki masaalah peribadi yang berat. Jangan silap baca, ia tidak ada sangkut paut dengan berat isteri Najib. Berat di sini bermakna berat dari segi politik.

    Contohnya, parti yang dipimpin oleh Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Retak-retak kelihatan dalam gabungan Barisan Nasional. Dan paling menakutkan Najib apabila kaum kapitalis komprador dan kapitalis nasional (baca: pemodal Cina) telah menjauhkan diri daripada Najib.

    Dalam masa yang sama media antarabangsa terus menghantui Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, wanita cun dari Mongolia. Media luar ini alat pembesar suara untuk memastikan kepentingan kaum pemodal antarabangsa terjaga rapi.

    Kaum pemodal antarabangsa ini telah lama ingin merembat harta kekayaan negara ini. Hantu-hantu, polong-polong dan puaka-puaka ini perlu dijaga.

    Najib wajib melakukan sesuatu. Seperti Mahathir menswastakan harta negara untuk kaum komprador dan kapitalis nasional, maka Najib menswastakan seluruh bumi Malaysia ini untuk kepentingan kelas kapitalis dari dalam dan luar negara – inilah hakikat dari dasar ekonomi yang akan dijalankan oleh Najib.

    Di mana Perkins kaki pukul sedang bersemayam?

    Jangan risau, si Perkins ini masih wujud. Perkins telah menghantar budak suruhannya dari Singapura. Lupakah projek mega, jambatan ketiga yang dicadangkan Najib sewaktu berkunjung ke republik itu?

    “Perkins-Perkins” ini mungkin ada jaringan dalam Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri. Si Perkins ini mungkin masih bersarang di Tingkat Empat atau ingin pindah ke tempat yang lebih tinggi seperti di Menara Petronas.

    Si Perkins sedang berselerak menjalankan tugas untuk memastikan kepentingan kaum kapitalis akan didahulukan.

    DEB atau Dasar Pendekatan Baru ini semuanya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat biasa. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Gopal pemandu teksi dari Segambut. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Swee Heng peniaga nasi itik di Jalan Petaling.

    Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Hajah Limah pembekal kerepek ubi dari Sijangkang.

    Rakyat biasa tidak berjudi di bursa saham. Rakyat biasa tidak tahu apa itu ‘pink form’. Rakyat biasa tidak memahami turun naiknya Nasdaq atau Index Hang Seng. Rakyat biasa mahu keselesaan dan bukan mahu diikat dengan pelbagai gaya – cukai, tol, bil hospital, bil air, bil api, bil sewa rumah, cukai rumah – di mana mereka wajib dan dipaksa mengeluarkan duit yang tidak mereka miliki.

    Dasar ekonomi terbuka dan terkangkang ini akan menjemput kapitalis antarabangsa – dengan alasan untuk melabur dan membawa modal. Hujah ini betul-betul daripada kertas kerja John Perkins. Beginilah cara yang digunakan oleh Perkins untuk memastikan sesebuah negara itu akhirnya akan dapat dijajah kembali.

    Satu kerajaan yang baik adalah kerajaan yang berkiblatkan rakyat. Sebuah kerajaan yang adil tidak akan mempedulikan kepentingan kaum kapitalis kerana mereka menghisap darah warga negara. Dasar yang wajib dinobatkan ialah dasar kepentingan ramai mendahului kepentingan peribadi. Kepentingan ramai menjadi nakhoda dan juragan.

    Kerajaan yang adil ialah sebuah pentabiran yang telus di mana dasar ekonominya akan menobatkan kepentingan kaum buruh dan tani kerana dari tenaga mereka inilah munculnya modal.

    Modal muncul daripada tenaga manusia. Modal bukan wang ringgit. Wang ringgit adalah tanda nilai tenaga dan fikrah manusia. Modal datang daripada tenaga warganegara itu sendiri.

    Modal bukan datang daripada IMF atau Bank Dunia. Duit daripada IMF atau Bank Dunia itu hasil rompakan tenaga kaum buruh dan tani dari seluruh dunia.

    Justeru, dasar menjual Felda mungkin dilihat dapat mengumpulkan modal. Awas! Menjual Felda samalah seperti Lebai Sudin di Kuala Nerang yang hanya memiliki sebuah rumah dan tiga relung sawah.

    Satu hari untuk membaiki atap rumahnya Lebai Sudin telah menjualkan tiga relung tanah sawahnya kepada…

  2. Salam akhi,

    Ana bergitu kecewa membaca entri anta kali ini.

    Bagi ana, entri anta kali ini seolah-olah sebuah manifestasi dari jiwa yang kalah.

    Ya, memang benar sistem ekonomi Islam itu belum lagi wujud secara realiti tetapi tidak bermakna ianya tidak ada!

    Perlu kita sedari (sekurang-kurangnya kita imani) bahawa sistem ekonomi Islam itu telah wujud secara fikrah (idea) sejak 1400 tahun dahulu dan pernah menungguli perekonomian dunia secara praktis berabad-abad lamanya.

    Oleh itu bagi persoalan yang anta lontarkan pada point 7, yang berbunyi; “Berdasarkan dua definisi di atas, adakah kita masih boleh mengatakan bahawa sistem ekonomi Islam sudah wujud dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan?”

    Ana secara berani kerana yakin berkata, “YA

    Ana bersedia untuk berjumpa dengan anta untuk membuktikannya secara intelektual!🙂

    Wasalam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s