Iktibar Kegagalan Semangat 46

1. UMNO masih parti politik yang kuat. Sebagai sebuah parti pemerintah (ruling party), UMNO masih sukar ditewaskan.

2. Sepanjang sejarah pilihanraya di Malaysia, telah wujud pelbagai pakatan parti-parti politik yang serius mahu menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional. Namun semuanya telah gagal.

3. Barisan Sosialis (SF) misalnya yang dianggotai Parti Rakyat dan Parti Buruh gagal disebabkan tekanan pemerintah pasca Tragedi 13 Mei 1969 di samping ideologi perjuangan sosialis yang kurang diterima oleh rakyat pada ketika itu. Barisan Sosialis juga telah dikaitkan dengan anasir komunisme.

4. Sebelum wujudnya Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan Pakatan Rakyat pada 2008, telah wujud dua lagi pakatan parti politik yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah (melibatkan Parti Melayu Semangat 46, PAS, Berjasa, KIMMA dan HAMIM) dan Gagasan Rakyat (melibatkan Parti Melayu Semangat 46, PRM, DAP dan PBS). Kedua-duanya diterajui oleh YM Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), Presiden Parti Semangat 46.

5. Kedua-duanya menyertai Pilihanraya Umum 1990 untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional.

6. Walaupun menjadi peneraju kepada kedua-dua pakatan tersebut, namun pencapaian Parti Semangat 46 tidaklah memberangsangkan. Sebaliknya, PAS telah menguasai Kelantan melalui muafakat di dalam APU manakala PBS telah menawan Sabah melalui muafakat di dalam Gagasan Rakyat. Manakala DAP telah mendapat kerusi Dewan Rakyat paling banyak berbanding rakan-rakan parti pembangkang yang lain sekaligus Lim Kit Siang diangkat menjadi Ketua Pembangkang.

7. Malang seribu kali malang apabila satu-persatu ahli Semangat 46 melompat kembali kepada UMNO. Akhirnya pada tahun 1996, Semangat 46 dibubarkan apabila Ku Li sendiri mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO.

8. Semangat 46 sebenarnya berpeluang besar untuk menewaskan Barisan Nasional khususnya UMNO dalam Pilihanraya Umum 1990. Namun isu ‘Tengkolok Kristian’ gagal di‘counter‘ di saat-saat akhir memandangkan penguasaan media hanya didominasi oleh UMNO-Barisan Nasional (UBN).

9. Selain itu, yang lebih utama adalah pengundi di kawasan Pantai Barat Semenanjung khususnya Melayu masih gagal melihat Parti Semangat 46 sebagai sebuah parti berasaskan Melayu. Oleh kerana pengundi Melayu adalah pengundi terbesar di Malaysia, undi mereka tetap condong kepada UMNO atau PAS sahaja. Hasilnya, UMNO kekal dominan di Pantai Barat dan PAS pula berjaya menawan Kelantan di kawasan Pantai Timur. Semangat 46 pula hanya ‘menang tersorak namun kampung tergadai’.

10. Setelah menyedari sentimen kemelayuan yang masih kuat di kalangan pengundi, akhirnya pada tahun 1994 Parti semangat 46 telah dijenamakan semula sebagai Parti Melayu Semangat 46. Namun, segala-galanya telah terlambat. Dua tahun selepas itu, Parti Melayu Semangat 46 akhirnya tersungkur menyembah bumi dan berkubur tanpa nesan.

11. Pada hari ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding Parti Melayu Semangat 46. Pencapaian PKR juga jauh lebih baik. Namun, pengajaran lama tidak sepenuhnya diteladani.

12. PKR perlu mengkaji semula ideologi perjuangan serta pasak kekuatan parti.

13. Dari sudut ideologi perjuangan parti, PKR masih kabur ideologi perjuangannya kerana PKR disertai oleh pelbagai latar belakang individu. Golongan sosialis, liberal, islamik, nasionalis semuanya berkumpul di bawah suatu lembayung perjuangan menuntut keadilan. Namun ideologi mana yang dominan?

14. Perlunya ideologi yang dominan adalah kerana ia yang akan memcitrakan sesebuah parti kepada pengundi ‘massa’. Oleh itu, nak tak nak PKR perlu memilih sebuah ideologi yang dominan namun ideologi lain dibiarkan terus bergandingan. Sebagaimana Islam diangkat sebagai agama rasmi namun agama lain bebas dianuti di negara kita.

15. Pasak kekuatan pula mestilah pada dasar serta perlembagaan parti dan bukannya pada sosok tubuh pemimpinnya. Kesilapan Semangat 46 adalah kerana meletakkan sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan parti khususnya Ku Li sebagai pasak kekuatan parti. Dasar parti dibiarkan terumbang-ambing tanpa suatu ketetapan yang tekal dan kukuh. Perlembagaan parti Semangat 46 juga telah diambil mudah oleh pucuk pimpinannya pada ketika itu. Banyak keputusan berasaskan ijtihad politik pemimpin utamanya.

16. PKR juga telah mengulangi kesilapan sedemikian. Struktur parti tidak diperkuatkan sebaliknya dibiarkan berubah-ubah. Perlantikan jawatan-jawatan utama seperti Setiausaha Agung juga telah dilakukan secara ekslusif oleh kelompok kecil pemimpin atasannya. Maka tidak hairanlah jika mantan Setiausaha Agungnya seperti Salehuddin Hashim, Anuar Tahir, Rahman Osman dan beberapa lagi boleh berpindah randah dan keluar parti sewenang-wenangnya. Mereka dipilih berdasarkan keakraban mereka dengan pemimpin utama parti dan bukannya merit dan kesetiaan mereka kepada perjuangan parti.

17. Pemimpin atasan perlu sedar bahawa parti tidak akan tumbang jika mereka tidak dihormati. Namun parti akan tumbang jika batang tubuh parti tidak dihormati.

18. Pilihanraya Umum ke13 hanya tinggal sekitar dua tahun sahaja lagi. Dalam tempoh ini, Pakatan Rakyat khususnya PKR mestilah melakukan sesuatu agar parti mereka benar-benar kuat dan kelihatan kuat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s