Tengku Razaleigh Hamzah

1. YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah adalah putera raja Kelantan yang dilahirkan pada 13 April 1937.

2. Beliau berusia 12 tahun lebih muda berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun begitu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li adalah pemimpin UMNO yang lebih kanan berbanding Dr. Mahathir sewaktu di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Beliau terlebih dahulu dipilih sebagai naib Presiden UMNO.

3. Sewaktu Tun Hussein Onn mengambil-alih teraju pimpinan parti dan negara setelah Tun Razak meninggal dunia secara mengejut di London pada 1976, beliau telah diminta oleh Tun Hussein Onn untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, Tun Hussein Onn telah bercadang melantik Tan Sri Ghazali Shafie (King Ghaz) sebagai timbalan beliau. Namun disebabkan Tan Sri Ghazali bukanlah salah seorang daripada Naib Presiden UMNO, maka 3 Naib Presiden telah meminta Tun Hussein Onn membatalkan niat  itu dan meminta agar senioriti Naib-Naib Presiden UMNO dihormati. Konsensus Tun Hussein dan 3 Naib Presiden itu kemudiannya sepakat agar Ghaffar Baba dipilih memandangkan kedudukannya sebagai Naib Presiden terkanan.

4. Namun, pada waktu pagi sebelum pengumuman jawatan Timbalan Perdana Menteri dibuat, Ku Li sekali lagi dipanggil oleh Tun Hussein Onn. Tun Hussein Onn mahu menukar keputusannya buat kali kedua. Ia suatu keputusan yang mengejutkan. Lebih mengejutkan apabila Tun Hussein Onn bercadang untuk mengumumkan Ku Li sebagai pengganti.

5. Ku Li, dengan sifat rendah dirinya membantah cadangan itu. Beliau yang baru berusia 39 tahun mencadangkan agar pemimpin yang lebih berpengalaman dan dewasa daripadanya dipilih. Oleh itu, beliau mencadangkan Dr. Mahathir. Pada masa itu, Dr. Mahathir masih lagi kawannya yang agak akrab. Maka, akhirnya Dr. Mahathir dipilih sebagai TPM manakala Ku Li telah dilantik sebagai Menteri Kewangan.

6. Pada hujung pentadbiran Tun Hussein Onn, sekali lagi Ku Li dipanggil untuk suatu cadangan yang mengejutkan. Tun Hussein Onn bercadang untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan dan mahu Ku Li Menggantikannya. Sekali lagi Ku Li tidak bersetuju. Walaupun tiada peruntukkan dalam perlembagaan bahawa TPM secara outomatik menggantikan PM apabila berlaku kekosongan, namun dari sudut senioriti sebagai TPM, maka adalah wajar jika Tun Hussein Onn mempertimbangkan Dr. Mahathir sebagai penggantinya. Tambahan pula, Ku Li merasakan bahawa masanya sebagai PM akan tiba jua memandangkan umurnya yang jauh lebih muda berbanding Dr. Mahathir.

7. Disebabkan Ku Li bertegas untuk tidak menerima tawaran itu, maka akhirnya Tun Hussein Onn akur untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dr. Mahathir.

8. Pertemuan enam mata antara Ku Li, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir diadakan. Dalam pertemuan ini, konsensus dicapai agar Dr. Mahathir dilantik sebagai PM manakala Dr. Mahathir pula berjanji untuk melantik Ku Li sebagai timbalannya.

9. Malangnya, janji Mahathir tinggal janji. Pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO menjadi alasan agar Ku Li tidak dilantik secara terus sebagai TPM. Kononnya menghormati demokrasi dan suara ahli parti.

10. Ku Li akur. Beliau bertanding menentang Musa Hitam yang juga kawan baiknya. Malangnya, dalam Pemilihan Agung UMNO 1981 beliau tewas di tangan Musa Hitam dengan majoriti 203 undi. Sebelum itu, ucapan Tun Hussein Onn yang dilihat condong menyentuh isu pelajaran dianggap perwakilan sebagai isyarat agar Musa Hitam (Menteri Pelajaran) diberikan pilihan. Ada juga yang mengaitkan beliau dengan beberapa skandal yang sengaja diada-adakan.

11. Pada 1984, Ku Li sekali lagi mencabar Musa Hitam. Ucapan Dr. Mahathir sebelum AGM yang banyak memuji Musa Hitam dianggap sebagai signal kepada perwakilan agar mengekalkan status quo yang sedia ada. Isu skandal pembunuhan Encik Jalil, seorang kakitangan Bank Bumiputera cawangan Hong Kong yang dikaitkan dengan Ku Li juga dikatakan menjadi antara sebab mengapa beliau kecundang. Beliau kemudiannya didapati tidak terlibat malahan beberapa akhbar Hong Kong menyiarkan permohonan maaf kerana mengaitkan beliau dengan isu tersebut. Malangnya, semua sudah terlambat.

12. Pada tahun 1987, Ku Li sekali lagi mencabar. Kali ini bukan Musa, sebaliknya Mahathir. Malangnya beliau tewas dalam insiden pengiraan undi yang dianggap sebagai perbuatan khianat pihak tertentu yang menipu undi. Dikatakan bahawa lampu di dewan penjumlahan undi terpadam (black out) sedangkan beberapa alatan elektrik di bilik sebelah berfungsi sepertia biasa.

13. Dr. Mahathir diumumkan menang dengan kelebihan 43 undi. Kemudian kumpulan 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa bahawa ada ahli dari cawangan UMNO yang tidak sah turut sama menjadi perwakilan dan mengundi. Mahkamah kemudiannya mengharamkan UMNO.

14. Apabila UMNO diharamkan, Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baru. Menubuhkan UMNO baru bukanlah suatu yang sukar bagi beliau berana pada ketika itu Pendaftar pertubuhan (ROS) adalah agensi kerajaan di bawah kementeriannya. UMNO Baru walaubagaimanapun tidak menerima Ku Li dan pengikutnya sebagai ahli. Ku Li terpaksa menyertai sebuah parti baru yang didaftarkan dengan nama Parti Semangat 46, mengambil semangat UMNO lama yang ditubuhkan pada tahun 1946.

15. Melalui Semangat 46, Ku Li berpakat dengan PAS, HAMIM, KIMMA dan Berjasa menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Melalui kerjasama dengan DAP dan PBS pula, beliau menubuhkan Gagasan Rakyat. Dalam PRU 1990, APU dan Gagasan Rakyat hanya mampu menguasai Kelantan dan Sabah. Hanya beberapa kerusi Dewan Rakyat sahaja yang berjaya dirampas.

16. Kemudiannya dalam PRU 1995, Ku Li sekali lagi gagal memenangi banyak kerusi Dewan Rakyat.

17. Pada tahun 1996, Ku Li membuat satu keputusan yang sangat mengejutkan. Beliau membubarkan Semangat 46 dan kembali menyertai UMNO. Beliau sudah tidak yakin dengan parti yang beliau pimpin.

18. Penyertaan Ku Li ke dalam UMNO kononnya detik perpaduan Melayu yang sangat bernilai. Kononnya kaum Melayu sudah mulai kuat. Kononnya kaum Melayu sedang menuju ke puncak kegemilangan.

19. Namun rupa-rupanya, penyertaan Ku Li ke dalam UMNO hanyalah umpama menebas semak untuk memudahkan laluan ke denai. Kemasukan beliau memudahkan urusan Dr Mahathir untuk penyingkiran Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Ku Li ibarat hulubalang yang sudah kembali ke istana dan diam membisu patuh pada titah diraja.

20. Pasca 1999, Ku Li cuba beberapa kali untuk kembali ke politik arus perdana. Beberapa kali beliau cuba mencabar jawatan Presiden parti. Namun semua usahanya gagal.

21. Kegagalan menjadi Perdana Menteri bukanlah suatu yang sangat teruk. Di mata ramai rakyat Malaysia, Ku Li adalah salah seorang negarawan yang terbilang. Jasa beliau dalam penubuhan pelbagai institusi ekonomi seperti Petronas, Pernas, Bank Bumiputera serta Bank Islam adalah amat besar ertinya kepada Malaysia. Ku Li tetap arkitek ekonomi Malaysia.

22. Ada banyak iktibar yang boleh dipelajari dari episod dan ranjau politik Tengku Razaleigh Hamzah.

23. Di kalangan pemimpin-pemimpin besar yang bersaing, yang paling mustahak adalah paras keyakinan yang dimiliki. Ramai pemimpin yang cerdik, bersih dan cekap yang tersingkir hanya kerana tahap keyakinan mereka belum berada di aras yang terbaik. Keyakinan adalah penguasa paling berpengaruh. Ia memimpin kecerdikan, pengalaman dan kepakaran. Namun, keyakinan tidak datang dengan sendiri. Ia hadir selari dengan ilmu dan kebijaksanaan. 

24. Ahli politik mestilah mahir berpolitik. Seorang pakar ekonomi atau pakar bedah tidak boleh bergantung dengan kepakaran asal mereka jika mahu menjadi ahli politik yang bagus. Ini mungkin iktibar yang remeh, namun ramai ahli politik yang terleka kerana mereka fikir dengan kepakaran dalam bidang asal mereka akan menjamin undi untuk mereka. Hakikatnya, mereka silap.

25. Negarawan tidak semestinya Perdana Menteri. Perdana Menteri belum tentu Negarawan. Gelaran Negarawan adalah milik individu yang banyak manfaatnya kepada negara, berjiwa besar dengan meletakkan national interest di tempat tertinggi dalam apa jua pertembungan. Negarawan tulen pula meletakkan Islam di tempat tertinggi dalam apa jua pertimbangan.

26. Apapun, Ku Li tetap seorang Negarawan Terbilang yang akan terus dikenang sepanjang zaman.

27. Syabas Tengku Razaleigh!

Rujukan
Ranjit Gill. 1987. Razaleigh : Cita-cita dan perjuangan. Petaling Jaya: Palanduk Publication
Kamal Amir.2010. Tengku Razaleigh Hamzah: Rahsia yang terpendam. Kelana Jaya: Putrajaya Bumi Communication.

8 thoughts on “Tengku Razaleigh Hamzah

    1. Terima kasih Sif. Post ini sebenarya ditulis tahun lepas. Saya sengaja mempromosikannya kembali sebagai usaha utk panaskan semangat saya utk kembali aktif menulis. Haha~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s