Iktibar dari Doa Nabi Musa

Berkata (Nabi Musa) : “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku”.

– Surah Taha Ayat 25 – 28

Al-Qur’an berulang-kali menceritakan kisah-kisah perjuangan beberapa orang Nabi. Antaranya adalah kisah perjuangan Nabi Nuh, Nabi Luth, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa. Kisah-kisah yang diceritakan bertujuan memberikan kesedaran kepada kita agar sentiasa taat dan beriman kepada Allah. Jika engkar kepada perintah Allah, maka azab Allah amatlah pedih.

Di antara kisah-kisah tersebut, kisah Nabi Musa adalah antara kisah yang agak panjang diceritakan di dalam Al-Qur’an. Ia bermula daripada awal kelahiran Nabi Musa, waktu baginda remaja hinggalah waktu dewasa. Di antara banyak-banyak nabi juga, Nabi Musa adalah antara nabi yang menerima ujian yang agak berat, kerana itulah baginda digolongan sebagai salah seorang nabi bertaraf ‘Ulul Azmi’. Baginda telah mendapat perintah Allah yang amat berat iaitu untuk berdakwah kepada seorang pemerintah Mesir yang sangat zalim bergelar Firaun.

Kezaliman Firaun telah digambarkan dengan jelas dalam Al-Qur’an, antaranya Firaun telah memerintahkan agar anak lelaki dari kaum Israil disembelih hidup-hidup. Firaun bertindak demikian kerana bimbang dengan nujum ahli sihirnya yang meramalkan bahawa akan lahir dari kalangan bayi laki-laki kaum Israil seorang pemuda yang akan menghancurkan kekuasaannya.

Dalam abad ini, kita beruntung kerana agak sukar untuk bertemu dengan pemerintah sekejam Firaun. Idi Amin Dada (Uganda), Hitler (Jerman), Ariel Sharon (Israel) atau Slobodon Milosevic (Serbia) masih boleh dianggap rendah tahap kekejaman mereka jika dibandingkan dengan Firaun. Jika diperintahkan kita untuk berdakwah dan menegur kezaliman beberapa pemimpin yang disebutkan tadi pun, belum tentu kita berani. Tetapi Nabi Musa, walaupun takut untuk berhadapan dengan Firaun, baginta tetap akur dengan perintah Allah.

Beliau bermohon kepada Allah 3 permintaan utama iaitu agar (1) diterangkan dadanya yakni dengan ilmu pengetahuan dan hikmah, (2) dipermudahkan urusannya dan (3) dilancarkan lidahnya dalam berkata-kata.

Permohonan Nabi Musa kepada Allah adalah mencakupi tiga elemen penting bukan hanya kepada bakal pendakwah (dan pengislah), tetapi juga bagi golongan pemimpin organisasi, masyarakat dan negara. Ia selari dengan peranan Nabi Musa yang turut berperanan memimpin kaumnya iaitu kaum Israil yang teruk ditindas Firaun tetapi kemudiannya kufur dengan nikmat yang diberikan kepada mereka. Elemen pertama adalah ilmu pengetahuan, keduanya adalah soal pengurusan dan yang ketiga adalah kemahiran komunikasi atau keupayaan berhujah.

Ramai beranggapan bahawa dengan keputusan akademik yang baik, maka kecerdikan dalam semua bidang akan hadir dengan mudah. Ramai juga yang menganggap bahawa ilmu hanya diperoleh di bilik darjah. Tanggapan ini menyebabkan sumber-sumber ilmu selain pembelajaran dalam bilik darjah/kuliah diambil secara sambil lewa. Hasilnya, ramai manusia hari ini yang gagal berperanan dengan baik di dalam masyarakat.

Proses pembelajaran yang berkesan seharusnya berjalan secara serentak. Kita mestilah tahu tentang asas-asas ilmu bagi semua bidang misalnya soal perundangan, ekonomi, sains, politik, kekeluargaan, agama, kemasyarakatan dan sebagainya. Selain buku dan laman sesawang yang mudah diakses, kita juga perlu membudayakan budaya ‘perkongsian pintar’ dalam kalangan masyarakat. Golongan dewasa perlu lebih mesra dengan golongan remaja. Golongan remaja pula perlu lebih erat mendampingi golongan dewasa. Dengan perhubungan yang erat, segregasi antara kumpulan umur dapat diperbaiki.

Intisari kedua dalam doa Nabi Musa adalah soal bagaimana untuk menguruskan diri sendiri. Kemahiran menguruskan diri walaupun seringkali dipandang remeh namun bukanlah semudah yang disangka. Pengurusan mencakupi pengurusan masa, pengurusan harian, pengurusan kewangan, pengurusan aset dan liabiliti, pengurusan matlamat, pengurusan organisasi, pengurusan krisis, pengurusan perubahan dan bermacam-macam lagi perubahan.

Untuk mahir dalam sesuatu perkara, kita mestilah mengaplikasikan sesuatu yang kita telah pelajar. Misalnya kemahiran berenang, kita tidak akan pandai berenang jika hanya belajar teorinya tanpa mula mencuba untuk berenang secara praktikal. Begitu juga dalam soal pengurusan diri secara keseluruhan. Seorang yang mahir dalam pengurusan kewangan mestilah biasa berurusan dengan instrumen-instrumen pelaburan yang wujud dan tidak hanya memahami terma-terma yang digunakan.

Selain bab pengurusan, perkara ketiga yang dipohon oleh Nabi Musa adalah agar baginda dipermudahkan untuk berkomunikasi dengan baik. Menurut riwayat, baginda mengalami sedikit kekakuan pada lidahnya semenjak kecil. Oleh kerana itu, Nabi Musa bimbang jika ucapannya tidak dapat difahami dengan baik oleh Firaun dan kaumnya.

Dalam konteks kita pada hari ini, keupayaan berkomunikasi adalah antara elemen yang sangat penting. Kita boleh menyampaikan hujah dengan baik disamping mampu bergaul dengan mudah dalam masyarakat.

Antara cabang terbesar dalam kemahiran komunikasi adalah kemahiran untuk berpidato. Sebagai pemimpin di semua peringkat, kita bertanggungjawab untuk memberikan arahan, menyatakan pandangan serta mendidik masyarakat untuk menjadi lebih baik. Pemimpin berpengaruh dunia umpamanya Sukarno, Hitler, Martin Luther King Jr dan berbagai lagi nama besar telah mengubah sejarah dunia dengan pidato mereka yang hebat.

Ketiga-tiga perkara ini mestilah menjadi panduan asas kepada kita untuk menjadi pendakwah mahupun pemimpin yang baik. Juga menjadi panduan kepada kita untuk memilih pemimpin terbaik dalam kalangan kita.

2 thoughts on “Iktibar dari Doa Nabi Musa

  1. Jolo tu abe bie..3 instrumen itu sangat penting.Bile dah keje baru aku rase betapa pentingnya ilmu,pengurusan dan komunikasi.tambah2 keje yang memerlukan kita banyak turun ke padang bermasyrakat…org mude nak bergelak ketawa dengan team2 org lame ni bukan senang yeop…semoga Allah permudahkan kawe…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s