Kenapa AUKU dibantah?

Insiden Adam Adli menurunkan bendera wajah Dato’ Sri Najib Razak di bangunan PWTC serta insiden mahasiswa berdemonstrasi di UPSI awal tahun baru yang lalu sedikit sebanyak membuka mata masyarakat umum tentang isu-isu mahasiswa di Malaysia. Walaubagaimanapun, kedua-dua insiden tersebut hanyalah sekadar ‘tip of the iceberg’.

Saya meneliti komen-komen rakyat Malaysia yang berbilang kaum, fahaman politik dan peringkat umur di laman-laman maya. Sebahagiannya kurang memahami secara mendalam isu sebenar yang diperjuangkan oleh mahasiswa. Komen-komen tanpa maklumat yang mencukupi sebegitu akhirnya membuahkan polemik yang memualkan.

Secara umumnya, perjuangan mahasiswa di Malaysia adalah mengenai beberapa tuntutan. Antaranya adalah tuntutan agar kebebasan mahasiswa berpolitik dijamin melalui pemansuhan atau pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), tuntutan agar autonomi pentadbiran universiti dan kolej universiti dikembalikan,  serta tuntutan kebebasan akademik samada dalam kalangan mahasiswa mahupun ahli akademik.

Tulisan ini akan menumpukan perkara yang pertama iaitu soal kebebasan mahasiswa melalui pemansuhan atau pindaan AUKU.

AUKU digubal pada tahun 1971 dan pindaan dilakukan pada tahun 2009. Pada dasarnya, AUKU adalah suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbirkan Universiti dan Kolej Universiti dan bagi perkara lain yang berkenaan dengannya.

Secara keseluruhannya, mahasiswa paling kritikal pada seksyen 15 AUKU 1971 yang menyebut:

1) Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti boleh menjadi seorang ahli, atau boleh dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua pertubuhan, badan atau kumpulan orang lain, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang, sama ada ia di dalam Universiti atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam Malaysia atau di luar Malaysia, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh atau di bawah Perlembagaan, atau kecuali sebagaimana yang diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor.

3) Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti, boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang haram.

Akibat desakan mahasiswa yang kuat serta keputusan pilihanraya umum ke-12 yang lalu, Seksyen 15 ini dipinda pada tahun 2009 dengan menyebut:

(1) Seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, sama ada ia di dalam atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam atau di luar Malaysia, selain—

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib Canselor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh
semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap—

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

Dan ditambah dengan:

(6) Walau apa pun subseksyen (5), seseorang pelajar Universiti tidak boleh dihalang daripada—

(a) membuat pernyataan mengenai sesuatu perkara akademik yang berhubungan dengan perkara yang pelajar itu terlibat dalam pengajian atau penyelidikannya; atau

(b) menyatakan sendiri mengenai perkara yang disebut dalam perenggan (a) pada sesuatu seminar, simposium atau majlis seumpamanya yang tidak dianjurkan atau ditaja oleh mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, atau mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

Setelah AUKU 1971 dipinda pada tahun 2009, pelbagai bantahan tetap disuarakan oleh mahasiswa. Hal ini membuktikan bahawa mahasiswa masih tidak berpuas-hati dengan pindaan yang dibuat. Dengan jelas, hak mahasiswa untuk berpartisipasi dalam politik masih dinafikan walaupun warganegara Malaysia yang lain boleh berbuat demikian.

Hujah biasa yang diberikan oleh kerajaan mahupun penyokong kerajaan untuk menjustifikasikan larangan ini adalah dengan alasan bahawa mahasiswa mesti fokus pada akademik semata-mata. Penglibatan dalam politik bagi mereka akan menjejaskan tumpuan sekaligus menyebabkan mereka gagal dalam akademik. Untuk menguatkan hujah, mereka menyertakan beberapa fakta kes melibatkan aktivis mahasiswa yang lemah akademik dengan pencapaian CGPA yang rendah walaupun pada hakikatnya jumlah mahasiswa sebegitu sangatlah kecil dan terpencil.

Hujah sebegini tidak boleh diterima-pakai oleh mana-mana pemilik akal yang waras.

Akademik adalah prasyarat utama untuk mendapat segulung ijazah, namun akademik hanyalah sebahagian daripada usaha untuk melengkapkan diri kira dengan ilmu dan kemahiran untuk hidup. Masih banyak ilmu yang perlu kita kuasai antaranya kemahiran bergaul, berkomunikasi, memasak, berpersatuan, berpolitik, menguruskan program, bersosial dan sebagainya. Semua ini dipelajari sepanjang masa tanpa ada sekatan-sekatan tertentu.

Penglibatan dalam politik pada usia mahasiswa adalah pendedahan awal yang sangat mustahak kerana mahasiswa adalah pelapis kepimpinan negara. Setiap apa yang berlaku di sekeliling mereka akan dinilai melalu neraca akademik yang sedang mereka dalami sepanjang menuntut di menara gading. Amatlah malang jika tempoh ini hak mereka untuk belajar bernegara dinafikan.

Kebebasan berpolitik bukan bermaksud menggalakkan mereka berpolitik semahu-mahunya sehingga mengabaikan akademik atau melakukan huru-hara dalam negara. Sebagaimana kita memberikan kebebasan kepada individu yang minat dalam sukan bolasepak, kesenian atau tarian, individu yang akan terlibat hanyalah sebahagian kecil. Setiap orang dilahirkan dengan minat dan bakat yang berbeza.

Kita harus membuka ruang dan membiarkan mahasiswa belajar tentang hidup tanpa terlalu banyak sekatan dan kekangan. Pada akhirnya, setiap orang akan menyumbangkan sesuatu yang bermakna buat negara yang dicintainya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s