Isu PTPTN dan pendidikan percuma

1. Sejak ditubuhkan pada tahun 1997 sehingga 2011, PTPTN telah meluluskan pinjaman pelajaran sebanyak RM41.4 billion. Daripada jumlah itu, RM27.5 billion telahpun dipinjamkan kepada mahasiswa. Jumlah yang telah dikutip dari peminjam pula adalah sebanyak RM2.8 billion.

2. Isu PTPTN hangat apabila Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim umum akan mansuhkan PTPTN. Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, antara langkah yang akan diambil untuk membiayai pemansuhan PTPTN adalah melalui 1) Penerbitan bon 2) Tambahan RM2 billion hasil minyak dan gas diperuntukkan khusus untuk dana pendidikan 3) Pengurangan projek mega, pembelian senjata dan lain-lain.

3. Menerbitkan bon bermakna menambahkan hutang negara. Dalam keadaan bajet negara yang defisit selama 14 tahun, penerbitan bon ini sudah tentu bertentangan dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk mengurangkan hutang negara sekaligus mengatasi bajet defisit. Selain itu, kaedah berhutang untuk menyelesaikan hutang ibarat meminjam dari bank B untuk membayar hutang dengan bank A. Kadar faedahnya sudah tentu berganda. Hasilnya, hutang negara akan lebih membusung.

4. Cadangan tambahan peruntukan RM2 billion dari hasil petroleum dan dividen Petronas untuk menampung perbelanjaan pemansuhan PTPTN juga wajar dikaji semula. Umum mengetahui hasil petroleum dan dividen Petronas agak besar. Ia mewakili 1/3 daripada jumlah hasil negara. Pada tahun 2010 misalnya, hasil petroleum dan  dividen Petronas berjumlah RM55.3 billion. Namun, dalam masa yang sama peruntukan kerajaan untuk pendidikan dan pengajian tinggi adalah sebanyak RM50.1 billion. Nisbah antara peruntukan pendidikan dan pengajian tinggi dengan hasil petroleum dan dividen Petronas adalah 90.5%. Ini adalah nisbah yang sangat besar. Jika terus ditambah, apa lagi yang tinggal untuk sektor yang lain dari hasil utama negara ini?

5. Dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjanjikan agar dividen Petronas dikurangkan daripada RM30 billion kepada RM26 billion sahaja bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk berkembang. Langkah ini akan menjadikan hasil negara berkurangan sedangkan peruntukan tambahan yang dijanjikan Pakatan agak banyak.

6. Niat untuk menambah peruntukan RM2 billion akan mengorbankan kepentingan kelompok masyarakat yang lain. Untuk rekod, peruntukan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang didalamnya wujud Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2010 adalah sebanyak RM2.4 billion.

8. Mengenai cadangan pengurangan projek mega, pembelian senjata serta lain-lain perkara yang tidak perlu, saya setuju.

9. Tambah Rafizi, kerajaan PR akan menambah 10 IPTA baru dengan sasaran penambahan 100,000 tempat baru untuk mahasiswa. Jangkaan kos ada sekitar RM5.8 billion setahun.

10. Saya sokong niat murni itu. Benar, jumlah IPTA di Malaysia hanya 20 buah sedangkan jumlah IPTS sebanyak 485 buah. Dari segi jumlah ia jauh ketara berbeza. Namun perlu disedari kewujudan UiTM dan kampus cawangannya yang banyak. Jumlah pelajar UiTM sebanyak 170 ribu sahaja mewakili hampir separuh jumlah pelajar IPTA di Malaysia. Oleh itu, jumlah 10 buah IPTA baru mungkin boleh dikurangkan. Pakatan Rakyat barangkali boleh menggandakan jumlah cawangan UiTM baru dengan mengambil-alih IPTS-IPTS yang gulung tikar. Kos RM5.8 billion boleh dikurangkan dengan cara ini.

11. Selain itu, skim yuran pengajian dan penginapan yang rendah di UiTM juga menarik untuk diteliti.

12. Pada hemat saya, cadangan untuk memansuhkan PTPTN pada masa ini kurang sesuai dan praktikal. Secara purata, hanya 25 – 30% sahaja duit yang dipinjam daripada PTPTN adalah untuk bayar yuran pengajian, 20% untuk penginapan (yuran kolej kediaman atau sewa bulanan rumah sewa) manakala selebihnya untuk duit saku sepanjang pengajian. Walaupun pendidikan percuma dapat diwujudkan, mahasiswa (dari keluarga berpendapatan rendah) tetap perlukan duit saku untuk tujuan sara hidup. Tanpa PTPTN, adakah kita mahu mereka meminjam dari bank atau ceti haram?

13. Berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara, kerajaan berupaya menjadikan PTPTN sebuah tabung pinjaman pengajian tanpa faedah dengan hanya perlu menanggung kadar faedah 5%  yang ditetapkan oleh institusi kewangan. Jika jumlah RM24.7 billion pinjaman semasa, kerajaan hanya perlu menanggung RM1.235 billion setahun untuk kadar faedah. Hanya penambahan sebanyak RM0.25 billion daripada tanggungan tahun 2012. Nilai ini lebih realistik dan mampu dibiayai.

14. Yuran pengajian juga mungkin boleh dimansuhkan jika urustadbir cemerlang dapat dicapai. Namun nisbah yuran pengajian dengan kos keseluruhan pengajian hanya sekitar 20 – 25% sahaja. Bermakna kos sara hidup/duit poket bagi perbelanjaan harian seperti makan, buku, pakaian dan sebagainya tetap memerlukan sebuah tabung untuk mahasiswa meminjam. Melainkan jika kerajaan bermurah hati untuk memberikan elaun bulanan kepada mereka. Namun langkah ini agak mustahil dengan kekangan kewangan yang kita ada.

15. Saya mendokong penuh perjuangan pihak-pihak yang menuntut pendidikan percuma. Namun ianya tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Untuk tempoh sepenggal pentadbiran (lima tahun) jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, pemansuhan kadar faedah/ujrah/kos pentadbiran sudah cukup besar maknanya kepada rakyat khususnya peminjam. Oleh itu, janji yang dibuat mesti praktikal dan tidak bersifat populis semata-mata.

16. Apapun, saya berdoa mudah-mudahan impian pendidikan percuma akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

17. Penghormatan untuk adik-adik mahasiswa yang sedang berjuang di Dataran Merdeka!

One thought on “Isu PTPTN dan pendidikan percuma

  1. sekadar ingin bertanya…kenapa kerajaan negeri selangor bagi pinjaman yayasan selangor tetapi pelajar perlu bayar balik….kan elok bagi percuma sebagaimana yang nak dibuat untuk PTPTN….lagi 1…terdapat kolej swasta di bawah kerajaan negeri selangor….kenapa pelajar dikenakan yuran…kenapa x bagi pendidikan percuma Kerjaan Negeri Tanggung perbelanjaan….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s