Analisis Kuasa Politik Negeri-Negeri di Malaysia

1. Sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 dan juga penggabungan membentuk Malaysia pada 1963, setiap negeri di Malaysia mempunyai kedaulatan, kekayaan dan sejarah yang tersendiri.

Konsep & Semangat Federalisme

2. Apabila bergabung membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, penggabungan ini diikat dengan Perlembagaan Malaysia. Hubungan antara negeri-negeri dan kerajaan pusat pula dijelaskan melalui konsep federalisme yang bermaksud wujudnya dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang tiap-tiap kerajaan itu mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan orang lain.

3. Konsep federalisme ini dinyatakan dengan jelas dalam  dalam Jadual 9, Perlembagaan Malaysia. Ada senarai negeri, senarai pusat dan senarai bersama. Walaubagaimanapun, bidang kuasa itu kadangkala dicabuli.

4. Misalnya, kerajaan negeri berkuasa penuh dalam soal tanah dan juga soal hal ehwal agama Islam. Namun kewujudan Majlis Tanah Negera serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seakan bercanggah dengan bidang kuasa negeri dalam kedua-dua perkara ini. Hakikatnya kerajaan persekutuan tiada kuasa dalam soal tanah dan agama selain hanya di tiga wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

5. Semangat federalisme pula membawa erti bahawa kedua-dua pihak iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mestilah saling sokong-menyokong dan bersatu. Ini terungkap jelas pada moto ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ pada jata negara. Sabotaj antara satu sama lain bererti sabotaj kepada Malaysia secara keseluruhannya.

6. Dalam isu penyerahan royalti minyak petroleum 5% kepada kerajaan Terengganu dan Kelantan yang dinafikan hanya kerana berbeza warna bendera parti pemerintah, ia jelas suatu pencabulan semangat federalisme yang ketara.

7. Begitu juga dengan dalam soal agihan kerusi Dewan Negara yang merupakan dewan tertinggi dalam cabang legislatif Malaysia. Kesemua 13 negeri di Malaysia hanya boleh menghantar 2 wakil bagi setiap negeri untuk menduduki kerusi Dewan Negara / Senat. Kesemuanya berjumlah 26 orang manakala Perdana Menteri (atas nama YDP Agong) pula boleh melantik 44 orang untuk ke Dewan Negara. Di mana semangat Federalisme jika kuasa seorang PM jauh lebih besar berbanding kuasa negeri-negeri yang membentuk Malaysia?

8. Kini, dengan pengamalan demokrasi yang dilihat tempang, Dewan Negara dilihat hanya sekadar ‘rubber stamp’.

9. Lebih malang lagi, ia juga dilihat sebagai pintu belakang untuk melantik wakil rakyat yang kalah untuk menjadi menteri. Ia amat memalukan.

Persempadanan Semula (garrymandering)

10. Kuasa negeri-negeri dalam Dewan Rakyat juga tidak seimbang dan agak mengelirukan bagaimana jumlah kerusi parlimen ditentukan.

11. Kerusi parlimen bagi 4 negeri (Perlis, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan) adalah 25 kerusi hampir menyamai kerusi parlimen negeri Perak (24 kerusi) dan menyamai negeri Sabah (25 kerusi).

12. Jika diukur dari segi jumlah jumlah populasi dan jumlah pemilih berdaftar, Selangor sepatutnya mendapat jumlah kerusi parlimen yang paling banyak namun hanya mempunyai 22 kerusi sedangkan Sarawak pula memiliki kerusi tertinggi iaitu 31 kerusi walaupun jumlah populasi dan pemilihnya adalah keempat tertinggi.

13. Jika dikatakan jumlah keluasaan yang menjadi pertimbangan utama, ia boleh dipertikaikan kerana keluasan Terengganu adalah dua kali ganda Negeri Sembilan tetapi diperuntukkan jumlah kerusi perlimen yang sama banyak iaitu 8 kerusi.

14. Dalam Perlembagaan Malaysia, tidak dinyatakan dengan jelas kriteria dalam membuat persempadanan semula.

15. Yang ada digariskan hanyalah:

Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117, Perlembagaan Malaysia adalah:

(a) di samping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi, bahagian-bahagian pilihan raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;

(b) perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;

(c) bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;

(d) perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagianbahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

16. Ada kerusi parlimen mencatatkan jumlah pemilih seramai 112,224 orang (Kapar, Selangor) manakala ada juga parlimen yang hanya 6608 orang (Putrajaya).

17. Ada sesetengah kerusi parlimen di Johor, Perak dan Sabah mempunyai jumlah pemilih yang jauh lebih rendah berbanding pemilih kerusi DUN di Kelantan atau Kedah.

18. Persoalan yang masih belum mampu dijawab kini adalah bagaimana sesebuah kerusi parlimen ditentukan. Tanpa garis panduan yang jelas, bermakna ruang penyalahgunaan kuasa dalam hal ini terbentang luas.

19. Ia juga bermakna, kuasa politik negeri-negeri yang jauh berbeza juga bukanlah suatu gambaran semangat federalisme yang sihat.

20. Adakah logik jika masa depan negara ini boleh ditentukan oleh 5 buah negeri iaitu Sarawak, Sabah, Johor, Selangor dan Perak yang membentuk 128 kerusi daripada 222 kerusi parlimen?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s