Analisis Keputusan Pilihanraya Kampus 2001 – 2012

(Dikemaskini dari versi asal 23 Februari 2011)

1. Pada era pasca-Reformasi ’98 iaitu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, masyarakat kampus secara mutlak menolak front-front mahasiswa yang pro-Barisan Nasional dan memilih front-front anti-establishment. Ada juga kampus yang dimenangi tanpa bertanding kerana front-front utama melakukan persefahaman politik (tahalluf siyasi) sesama sendiri.

2. Pada ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan para menteri gusar untuk turun ke kampus kerana takut diboo dan dimalukan. Kebangkitan front-front yang dilabelkan pro-pembangkang menyebabkan pemimpin Umno/BN tidak senang duduk. Mereka perlu melakukan sesuatu.

3. Hasilnya, grand design dilakar dengan penuh cermat. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diwujudkan pada 27 Mac 2004 bagi kononnya untuk memberikan tumpuan kepada hal ehwal pengajian tinggi, sebaliknya meningkatkan campur tangan parti politik dal hal ehwal kampus. Sebelum itu, Kementerian Pelajaran menaungi Jabatan Pengajian Tinggi.

4. Beberapa wakil Pemuda Umno dan Puteri Umno bergabung tenaga untuk mencari jalan memenangkan front pro-BN. Front pro-kerajaan dijenamakan sebagai Aspirasi menggambarkan mereka sebagai kelompok yang mendokong aspirasi kerajaan Umno/Barisan Nasional. Naib Canselor yang neutral dan tidak bersedia menurut perintah Umno ditukarkan satu persatu. Di UM, Datuk Dr Annuar Zaini Mohd Zain ditamatkan dan digantikan dengan Datuk Hashim Yaacob. TNC HEP dilantik dari kalangan ahli akademik yang terlibat aktif dengan Umno/Alumni Kelab Umno Luar Negara. Antaranya Datuk Dr Razali Agus dan Datuk Dr Azarae Idris (gambar).

Continue reading “Analisis Keputusan Pilihanraya Kampus 2001 – 2012”

Advertisements

Pendidikan percuma vs Pemansuhan PTPTN

1. Pendidikan percuma adalah impian semua orang. Semua orang suka benda yang percuma.

2. Sebelum ini, Pakatan Rakyat pernah umum untuk berikan percuma kepada rakyat. Saya sokong 110%. Tapi persoalannya, sejauhmana ‘percuma’ yang dimaksudkan?

3. Terbaru, Pakatan Rakyat (dibaca: DSAI) umumkan pemansuhan PTPTN. Saya kurang bersetuju. Lebih-lebih lagi apabila Rafizi Ramli umumkan bahawa Pakatan Rakyat akan mewujudkan sebuah tabung khas untuk menggantikan fungsi PTPTN. Ia sedikit mengelirukan.

“Bagi pelajar di institusi awam yang tidak memenuhi syarat untuk menerima elaun sara hidup kerana datang dari keluarga berpendapatan tinggi, mereka boleh memilih untuk membiayai sendiri elaun sara hidup atau layak untuk memohon pinjaman elaun sara hidup dari satu tabung khas untuk membiayai kos sara hidup dan pendidikan swasta yang akan ditubuhkan kelak” – Rafizi

4. Bermakna tabung sepertimana PTPTN tetap perlu. Bezanya, ia tidak lagi menampung pelajar IPTA dari keluarga berpendapatan rendah kerana elaun sara hidup akan diberikan kepada kelompok itu.

“Yuran pengajian di institusi awam akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan juga akan menyediakan elaun sara hidup untuk menanggung kos sara hidup bagi pelajar-pelajar yang layak. Kelayakan untuk menerima elaun sara hidup dikira berdasarkan tahap pencapaian akademik dan latar belakang sosio ekonomi pelajar mengambil kira tanggungan keluarga” – Rafizi

Continue reading “Pendidikan percuma vs Pemansuhan PTPTN”

Isu PTPTN dan pendidikan percuma

1. Sejak ditubuhkan pada tahun 1997 sehingga 2011, PTPTN telah meluluskan pinjaman pelajaran sebanyak RM41.4 billion. Daripada jumlah itu, RM27.5 billion telahpun dipinjamkan kepada mahasiswa. Jumlah yang telah dikutip dari peminjam pula adalah sebanyak RM2.8 billion.

2. Isu PTPTN hangat apabila Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim umum akan mansuhkan PTPTN. Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, antara langkah yang akan diambil untuk membiayai pemansuhan PTPTN adalah melalui 1) Penerbitan bon 2) Tambahan RM2 billion hasil minyak dan gas diperuntukkan khusus untuk dana pendidikan 3) Pengurangan projek mega, pembelian senjata dan lain-lain.

3. Menerbitkan bon bermakna menambahkan hutang negara. Dalam keadaan bajet negara yang defisit selama 14 tahun, penerbitan bon ini sudah tentu bertentangan dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk mengurangkan hutang negara sekaligus mengatasi bajet defisit. Selain itu, kaedah berhutang untuk menyelesaikan hutang ibarat meminjam dari bank B untuk membayar hutang dengan bank A. Kadar faedahnya sudah tentu berganda. Hasilnya, hutang negara akan lebih membusung.

4. Cadangan tambahan peruntukan RM2 billion dari hasil petroleum dan dividen Petronas untuk menampung perbelanjaan pemansuhan PTPTN juga wajar dikaji semula. Umum mengetahui hasil petroleum dan dividen Petronas agak besar. Ia mewakili 1/3 daripada jumlah hasil negara. Pada tahun 2010 misalnya, hasil petroleum dan  dividen Petronas berjumlah RM55.3 billion. Namun, dalam masa yang sama peruntukan kerajaan untuk pendidikan dan pengajian tinggi adalah sebanyak RM50.1 billion. Nisbah antara peruntukan pendidikan dan pengajian tinggi dengan hasil petroleum dan dividen Petronas adalah 90.5%. Ini adalah nisbah yang sangat besar. Jika terus ditambah, apa lagi yang tinggal untuk sektor yang lain dari hasil utama negara ini?

Continue reading “Isu PTPTN dan pendidikan percuma”

Kenapa AUKU dibantah?

Insiden Adam Adli menurunkan bendera wajah Dato’ Sri Najib Razak di bangunan PWTC serta insiden mahasiswa berdemonstrasi di UPSI awal tahun baru yang lalu sedikit sebanyak membuka mata masyarakat umum tentang isu-isu mahasiswa di Malaysia. Walaubagaimanapun, kedua-dua insiden tersebut hanyalah sekadar ‘tip of the iceberg’.

Saya meneliti komen-komen rakyat Malaysia yang berbilang kaum, fahaman politik dan peringkat umur di laman-laman maya. Sebahagiannya kurang memahami secara mendalam isu sebenar yang diperjuangkan oleh mahasiswa. Komen-komen tanpa maklumat yang mencukupi sebegitu akhirnya membuahkan polemik yang memualkan.

Secara umumnya, perjuangan mahasiswa di Malaysia adalah mengenai beberapa tuntutan. Antaranya adalah tuntutan agar kebebasan mahasiswa berpolitik dijamin melalui pemansuhan atau pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), tuntutan agar autonomi pentadbiran universiti dan kolej universiti dikembalikan,  serta tuntutan kebebasan akademik samada dalam kalangan mahasiswa mahupun ahli akademik.

Tulisan ini akan menumpukan perkara yang pertama iaitu soal kebebasan mahasiswa melalui pemansuhan atau pindaan AUKU.

Continue reading “Kenapa AUKU dibantah?”

Masa membuat tuntutan

1. Undi kaum Cina telah menyelamatkan Umno/BN dalam pilihanraya umum 1999. Waktu itu, orang Melayu mengundi PAS secara besar-besaran namun PAS/Barisan Alternatif gagal menguasai kerusi Dewan Rakyat kerana undi Cina mutlak milik Barisan Nasional. Buat pertama kalinya DAP termasuk Lim Kit Siang tersungkur teruk.

2. Kemudian Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (SUQIU) muncul sebagai ketumbukan suara kaum cina dan membuat 83 tuntutan penting kepada kerajaan BN.

3. Kerajaan terpaksa akur dengan beberapa tuntutan SUQIU kerana ‘terhutang budi’ dengan undi kaum Cina yang memenangkan mereka. Antara tuntutan yang diterima adalah penghapusan sistem kuota dan digantikan dengan sistem meritokrasi.

4. Kerajaan boleh sahaja mengabaikan tuntutan-tuntutan itu, tetapi mereka mungkin terpaksa membayar dengan kekalahan dalam piliharaya penggal seterusnya.

Continue reading “Masa membuat tuntutan”

Tahniah Pro Mahasiswa!

1. Pro Mahasiswa kembali menawan kampus-kampus utama dalam keputusan pilihanraya kampus (PRK) tahun ini. Pro M menang di UM, UKM, UPSI,UMK, USIM dan UMS manakala tewas di kampus UPM, USM dan UTM.

2. Sebelum ini, memang front mahasiswa yang anti-Umno menguasai kampus. Namun apabila Umno melaksanakan grand design menguasai MPP seluruh kampus, front-front tersebut tumbang di hampir kesemua kampus. Pada PRK 2003/04, semua kampus dirampas oleh front Aspirasi (Pro-Umno) kecuali UM dan UIAM.

3. Tahun-tahun gelap itu berlangsung hampir sedekad.

4. Tidak mustahil, grand design akan direncanakan semula. Lebih-lebih lagi Ketua Pemuda Umno kini tiada banyak kerja kerana tidak dilantik sebagai menteri.

5. Apapun, saya rakamkan ucapan tahniah kepada adik-adik Pro M di semua kampus. Allah telah menganugerahkan kemenangan hasil kerja-keras saudara-saudari. Moga ia diteruskan dalam mengisi kemenangan ini.

6. Kerja kuat!

Ujrah PTPTN lebih zalim?

1. Dalam perkara kelima dalam dokumen perjanjian Ujrah PTPTN ada menyebut :

“PERBADANAN berhak mengenakan Upah Pengurusan Pembiayaan sebanyak 1% setahun atau apa-apa kadar yang ditetapkan oleh PERBADANAN dari semasa ke semasa ke atas Jumlah Pembiayaan sepanjang tempoh bayaran balik yang ditetapkan mulai Tarikh Kuatkuasa Bayaran Balik Pembiayaan Tersebut.”

2. Saya melihat perkara ini agak aneh kerana ia jelas berat sebelah. Dengan kata lain, PTPTN berhak menetapkan apa-apa kadar dari semasa ke semasa.

3. Dalam perjanjian sebelum ini, PTPTN memang menetapkan kadar 3%. Oleh kerana itu, peminjam terpaksa memperbaharui surat perjanjian apabila kadar bunga diturunkan kepada 1%.

4. Saya berharap pemimpin mahasiswa dan pemimpin anak muda turut memperjuangkan perkara ini.