Selamat pengantin baru, sahabat

1. Saya agak ralat kerana last minute terpaksa membatalkan trip ke Kuantan petang ini dan kemudiannya ke Shah Alam pagi esok.

2. Cuti Ahad telah diluluskan tetapi kekangan kerja memaksa saya untuk tetap ‘bertugas’ dalam cuti. Persidangan ke-11 Persatuan Perlebahan SeAsia & ApiExpo 2012 anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan kerajaan Terengganu akan berlangsung seminggu lagi. Hampir sepanjang masa perlu bersedia untuk menjawab panggilan dan berada depan laptop.

3. Ahad akan berlangsung majlis perkahwinan seorang sahabat saya. Kami kenal sejak tingkatan 1, berkawan dan kemudiannya bersahabat baik. Beliau ini seorang yang baik dan well organized person. Seorang doktor perubatan (masih HO) dan aktif berjuang dalam lapangan dakwah.

4. Sepanjang 12 tahun, saya tidak pernah ada sebab atau alasan untuk merasa sakit hati, marah atau berkecil hati dengan beliau.

5. Sudah tentu, orang yang baik akan dikasihi oleh orang-orang di sekelilingnya.

6. Dan sudah tentu, orang yang baik juga akan mendapat pasangan yang baik.

7. Dari sudut hati yang paling dalam, ingin saya ungkapkan:

“Cha,
Selamat pengantin baru. Semoga perkahwinan ini mendapat keberkatan Allah dan kalian berdua dilimpahkan rahmat kebahagiaan hingga ke anak cucu. Juga semoga dikurniakan anak-anak soleh lagi bijaksana sebagai penolong dan penerus perjuangan Islam.
Maaf tak dapat hadir majlis penting kalian. 
 Doaku sentiasa bersama.”

Selamat hari guru 2011

Ucapan: Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) yang telah mendidik saya. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian dalam memandaikan anak bangsa untuk menjadi orang yang berguna.

* Nota: Tidak dilupa kepada semua guru-guru SMAPK khususnya sesi 2000 – 2004 yang gambarnya tiada dalam poster di atas. Ada yang tidak diletakkan gambar sebab gambar tiada dalam simpanan saya.

Sumber gambar-gambar di dalam poster: Ihsan dari laman FB guru-guru dan para pelajar SMAPK.

Salam Syawal 1431 Hijriah

Segala puji bagi Allah, yang masih membenarkan kita bernafas mengumpul amal kebaikan.

Sesungguhnya Syawal adalah ruang yang luas untuk kita memperbaiki hubungan sesama manusia (hablum minan nas) setelah sekian lama kita tanpa sedar telah merosakkan silaturrahim yang sepatutnya kukuh terbina. Kita terkadang tidak menyedari tutur kata dan perlakuan kita telah mengguris hati insan-insan lain.

Marilah kita membudayakan amalan ziarah-mengziarahi, maaf memaafkan serta ingat-mengingati antara kita. Mudah-mudahan kasih-sayang tidak hanya berlegar dalam kalangan ahli keluarga semata-mata.

Bagi pihak diri sendiri, izinkan saya menyusun 10 jari memohon maaf di atas kesalahan dan kekhilafan saya selama ini. Mudah-mudahan ukhuwwah kita berkekalan abadi.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir & Batin.

Langkah-Langkah kehidupan

1. Saya akui blog Pencak Bicara MHM ini agak terbengkalai semenjak dua menjak ini. Maaf atas kegagalan saya menulis secara konsisten.

2. Menulis adalah suatu hobi yang sangat menarik. Tapi ia tidaklah semudah menulis surat cinta kepada orang yang tersayang. Kadang-kadang, untuk menulis sesuatu topik, saya perlu membaca beberapa buah buku yang berkaitan agar apa yang saya tulis benar-benar bermanfaat kepada pembaca.

3. Ia juga menarik kerana dengan menulis, saya berpeluang menyatakan pandangan yang terbuku di hati. Sekurang-kurangnya, saya tidak tertekan dengan masalah yang berlegar-legar di sekeliling saya.

4. Buat masa ini penulisan saya di blog ini berehat buat sementara waktu. Saya lebih banyak menulis di blog saya yang satu lagi iaitu blog Sejuta Wajah. Blog baru ini lebih bersifat jurnal foto. Ia lebih mudah untuk dikemaskini.

5. Selamat berkunjung!

Ucapan Syawal 1430

mohd hasbieSempena Syawal kali ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali saya. Semoga lebaran kali ini memberikan kita ruang untuk bersama dengan orang yang tersayang.

Bagi yang berjauhan khususnya di perantauan, sesungguhnya ingatan ikhlas daripada orang-orang yang tersayang adalah sangat bererti dan berharga.

Maaf Zahir dan Batin.

Salam Ramadhan 1430 Hijrah

Ramadhan Kareem kembali lagi dan syukur Alhamdulillah kerana kita masih diizinkan Allah untuk melaluinya.

Bagi insan yang tahu dan mahu berfikir, kesempatan ini akan digunakan untuk dekatkan diri dengan Khalik. Juga untuk lebih menjaga hubungan sesama Makhluk.

Setiap detik yang berlalu tak akan mampu diundur kembali.

Saya sentiasa yakin bahawa semua manusia dilahirkan baik dan ingin menjadi manusia yang baik. Kadang-kadang perjalanan yang panjang tersedia onak ranjau dan berliku. Ada yang jatuh. Lebih malang ada yang jatuh dan tidak mampu bangun kembali.

Allah menjadikan begitu banyak ruang dan peluang untuk kita bangkit kembali.

Maafkanlah mereka yang pernah berdosa kepada kita. Semoga kita akan dimaafkan oleh orang-orang yang kita pernah berdosa kepada mereka. Kepada insan-insan yang pernah terluka dan berkecil hati dengan percakapan, perlakuan dan tulisan saya – maafkanlah juga.

Selamat menghadapi Ramadhan 1430 Hijrah.

p/s :  Rindu Ramadhan di kampung halaman. Sudah 10 tahun tidak merasainya melainkan dua tiga hari sebelum raya yang auranya semakin pudar.

Graduan Ekonomi Universiti Malaya

1. Alhamdulillah, semalam saya diizinkan oleh Allah untuk bergraduasi tepat pada masanya – 3 tahun pengajian. Saya juga bersyukur kerana diizinkan-Nya untuk hadir ke Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya semalam walaupun kesihatan agak kurang memberangsangkan. Saya bimbang juga, takut-takut pitam sebelum sempat menerima skrol di pentas.

2. Setelah bertungkus-lumus selama 3 tahun di UM, setahun di KMKN, 5 tahun di SMAPK, 3 tahun di SKKN dan 3 tahun di SKDM – akhirnya ilmu saya diiktiraf dengan pengurniaan Ijazah Sarjana  Muda Ekonomi Universiti Malaya.

3. Impian untuk bergelar graduan Ekonomi telah berputik seawal di tingkatan 2. Namun, angan-angan itu saya halakan ke UKM ataupun UIA. UM terlalu jauh dari angan-angan. Kata senior-senior saya, persaingan di UM terlalu mencabar.

4. Sebelum melangkah ke SMAPK pada tahun 2000, Abang sulung saya, Abang Jaladi pernah membawa saya meninjau-ninjau UKM. Katanya ” Sudah datang belajar di Kajang, mesti kena make sure dapat masuk Universiti”. Cabaran itu telah saya telan dengan rasa yang payah. Bukan mudah mahu bergelar pelajar universiti. Apatah lagi universiti tersohor seperti UKM.

5. Sesudah menerima keputusan SPM, hati saya hampir sepenuhnya untuk ke UIAM. Pada waktu itu, pelajar SMAPK memang ramai tertumpu ke UIAM. Saya tidak terkecuali. Surat tawaran untuk ke Matrikulasi KPM iaitu ke KMKN telah saya lipat dan bakulsampahkan. Tekad ke UIAM kononnya. Namun apabila Istikharah saya membawa makna yang agak kontradik dengan niat asal, saya akhirnya memilih untuk merantau jauh ke Kuala Nerang Kedah. Alhamdulillah, jalan yang Allah tunjukkan itu membawa begitu banyak nikmat dan rahmat yang tidak mampu digambarkan.

6. Sesungguhnya perjuangan menuntut ilmu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia payah penuh dengan onak ranjau. Saya berterima kasih kepada semua yang banyak membantu saya selama ini. Antaranya:

  • Bonda saya Puan Kelthom Mohd Amin yang tidak jemu-jemu melayan karenah anaknya ini. Juga Ayahanda Muda Abdullah yang telah kembali kerahmatullah pada usia saya 1o tahun.
  • Adik-beradik yang sangat supportive. Semua yang banyak memberikan dorongan, nasihat dan semangat di masa susah dan senang – Kak Nor, Kak Dah, Kak Ha, Abang Di, Saifu (Allahyarham), Din, Kero, Kak Tie, Ro, Kay, YaMie, MieYu, abang-abang dan kakak ipar.
  • Saudara-mara.
  • Para guru dan pensyarah yang komited mendidik.
  • Sahabat,teman-teman rapat, kawan-kawan dan semua kenalan.
  • PMIUM dan IKRAM
  • SKDM
  • SKKN
  • SMAPK
  • KMKN
  • Universiti Malaya
  • ECONS Malaysia

7. Doakan semoga ilmu yang saya miliki mampu diterjemahkan kepada himpunan budi dan jasa yang pahalanya berkekalan. Terima kasih semua!
publish konvo hasbie

Penangan Sajak Allahyarham Rendra

Ws_rendraSemalam WS Rendra atau Wahyu Sulaeman Rendra menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 73 tahun. Rendra bukan hanya dikenali sebagai penyair, pelakon teater dan sasterawan yang masyhur, namun juga seorang aktivis masyarakat dan hak asasi manusia yang cemerlang.

Perkenalan saya dengan Rendra melalui puisi-puisinya seawal darjah 5 lagi. Kebetulan buku kompilasi sajak-sajak beliau ada terdapat di rumah saya. Saya pernah membacanya – kononnya memiliki minat yang mendalam terhadap sastera.

Satu kenangan lucu yang saya sukar lupakan adalah pada suatu pagi di Tingkatan 2 Neptun, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK). Kami telah diminta untuk menyiapkan dua buah sajak.

Berbekalkan sedikit memori pada sajak Rendra yang bertajuk “Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta”, saya mengarang sajak saya sendiri yang bertajuk “Pelacur Sial Kota Jakarta” – karya ciplak namun sarat dengan bahasa yang agak keras dan ke’pelacur’an. Satu lagi adalah sajak yang bertajuk “Pemimpinku” – luahan kritikan saya kepada para pemimpin negara yang korup. Pada waktu itu, pengaruh Reformasi puak-puak penyokong Anwar Ibrahim masih kuat dalam diri saya.

Continue reading “Penangan Sajak Allahyarham Rendra”

Ada Kaitan?

472018745_4aff6ff4d71. Minggu lepas, saya sempat membaca satu emel yang dikirimkan seorang kawan. Dalam emel itu, terisi belasan gambar-gambar orang Eropah (yang kononnya lebih bertamadun) sedang mencium babi dengan penuh kasih sayang. Dikaitkan bahawa budaya mencium babi di Eropah adalah punca kepada virus Selsema Babi.

2. Betul atau tidak teori itu, saya tidak pasti.

3. Namun bagi saya, budaya mencium haiwan yang digelar khinzir atau babi itu adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima akal.8990304

4. Barangkali ini adalah tanda keruntuhan tamadun Eropah. Apabila anak-anak yang lahir ke dunia sudah tidak tahu ke mana kasih sayang mahu dialirkan, maka kasih mereka tertumpah ke merata walaupun pada binatang yang bergelar babi.

5. Kita mungkin sudah buntu untuk berhujah dengan golongan yang memandang remeh isu perzinaan atau seks bebas, namun tuhan selaku pencipta alam pasti ada caranya.

Tranformasi Afiq dan Barack Obama

afiq hfa1_874070427l

Ini gambar kawan baik saya, Muhammad Afiq Abdul Karim. Kami berkawan semenjak di alam matrikulasi.

Gambar di sebelah kiri adalah sewaktu dia berumur 10 tahun. Di sebelah kanan pula sewaktu 21 tahun.

Masa di bangku sekolah, memang Afiq seorang yang agak berisi. Pipinya tembam dan jalannya lambat-lambat. Awek pun tak berapa nak dekat. Maklumlah, terlebih berat.

Disebabkan tekanan, Afiq tekad mahu berubah. Habis SPM, dia berjoging setiap petang, berdiet, kawal selera makan dan kuat bersenam. Tak sampai lima bulan, beratnya turun mendadak. Di kolej kami dulu, Afiq adalah antara jejaka yang menjadi idaman. Ramai aweks yang mahu menjadikannya teman.

Afiq mengajar saya tentang erti perubahan. Transformasi. Ianya payah, tapi amat bererti.

Continue reading “Tranformasi Afiq dan Barack Obama”

Coret-Coret MHM 1

>>Kursus Pelatihan ESQ 165

1. Saya dijemput mengikuti Kursus Pelatihan ESQ 165 pada 20 dan 21 Jun yang lepas. Terima kasih kepada pihak ESQ dan Kak Zalinda.

2. Kebanyakan perkara yang didedahkan mungkin biasa kita temui dan dengari sebelum ini, namun pendekatan mereka luar biasa. Saya ingat, hati saya sudah terlalu keras dan kering untuk mengalirkan air mata keinsafan. Rupanya tidak.

3. Saya seperti telah mendapat ‘diri’ yang baru. Moga perubahan ke arah yang lebih baik ini berterusan dan konsisten.

4. Bagi yang belum pergi, saya cadangkan baik segera mendaftar. Nilai RM1380 (eksekutif) atau RM550 (mahasiswa) adalah sangat berbaloi jika dilaburkan dengan menyertai kursus tersebut. Benar, wujud beberapa kritikan kepada ESQ. Namun perkara-perkara itu telah dan sedang diperbaiki. Mengapa kita terlalu melihat perkara-perkara negatif walaupun yang positifnya banyak menimbun?

Continue reading “Coret-Coret MHM 1”