Graduan Ekonomi Universiti Malaya

1. Alhamdulillah, semalam saya diizinkan oleh Allah untuk bergraduasi tepat pada masanya – 3 tahun pengajian. Saya juga bersyukur kerana diizinkan-Nya untuk hadir ke Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya semalam walaupun kesihatan agak kurang memberangsangkan. Saya bimbang juga, takut-takut pitam sebelum sempat menerima skrol di pentas.

2. Setelah bertungkus-lumus selama 3 tahun di UM, setahun di KMKN, 5 tahun di SMAPK, 3 tahun di SKKN dan 3 tahun di SKDM – akhirnya ilmu saya diiktiraf dengan pengurniaan Ijazah Sarjana  Muda Ekonomi Universiti Malaya.

3. Impian untuk bergelar graduan Ekonomi telah berputik seawal di tingkatan 2. Namun, angan-angan itu saya halakan ke UKM ataupun UIA. UM terlalu jauh dari angan-angan. Kata senior-senior saya, persaingan di UM terlalu mencabar.

4. Sebelum melangkah ke SMAPK pada tahun 2000, Abang sulung saya, Abang Jaladi pernah membawa saya meninjau-ninjau UKM. Katanya ” Sudah datang belajar di Kajang, mesti kena make sure dapat masuk Universiti”. Cabaran itu telah saya telan dengan rasa yang payah. Bukan mudah mahu bergelar pelajar universiti. Apatah lagi universiti tersohor seperti UKM.

5. Sesudah menerima keputusan SPM, hati saya hampir sepenuhnya untuk ke UIAM. Pada waktu itu, pelajar SMAPK memang ramai tertumpu ke UIAM. Saya tidak terkecuali. Surat tawaran untuk ke Matrikulasi KPM iaitu ke KMKN telah saya lipat dan bakulsampahkan. Tekad ke UIAM kononnya. Namun apabila Istikharah saya membawa makna yang agak kontradik dengan niat asal, saya akhirnya memilih untuk merantau jauh ke Kuala Nerang Kedah. Alhamdulillah, jalan yang Allah tunjukkan itu membawa begitu banyak nikmat dan rahmat yang tidak mampu digambarkan.

6. Sesungguhnya perjuangan menuntut ilmu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia payah penuh dengan onak ranjau. Saya berterima kasih kepada semua yang banyak membantu saya selama ini. Antaranya:

  • Bonda saya Puan Kelthom Mohd Amin yang tidak jemu-jemu melayan karenah anaknya ini. Juga Ayahanda Muda Abdullah yang telah kembali kerahmatullah pada usia saya 1o tahun.
  • Adik-beradik yang sangat supportive. Semua yang banyak memberikan dorongan, nasihat dan semangat di masa susah dan senang – Kak Nor, Kak Dah, Kak Ha, Abang Di, Saifu (Allahyarham), Din, Kero, Kak Tie, Ro, Kay, YaMie, MieYu, abang-abang dan kakak ipar.
  • Saudara-mara.
  • Para guru dan pensyarah yang komited mendidik.
  • Sahabat,teman-teman rapat, kawan-kawan dan semua kenalan.
  • PMIUM dan IKRAM
  • SKDM
  • SKKN
  • SMAPK
  • KMKN
  • Universiti Malaya
  • ECONS Malaysia

7. Doakan semoga ilmu yang saya miliki mampu diterjemahkan kepada himpunan budi dan jasa yang pahalanya berkekalan. Terima kasih semua!
publish konvo hasbie